Kemelut kepimpinan Kedah: UMNO persembah beberapa ...
Selasa 25 Julai 2017 / 1 Zulkaedah 1438

From

Utusan Online Lapor Di Lokasi 2016 @ Utusan Live

  • Kemelut kepimpinan Kedah: UMNO persembah beberapa syor
    Oleh NURULANUAR MANSOR

    KUALA LUMPUR 29 Jan. - UMNO telah mempersembah kepada Jemaah Penasihat Pemangku Sultan Kedah hari ini beberapa cadangan atas nama parti untuk menyelesaikan kemelut politik yang melanda kepimpinan negeri itu.

    Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti yang bermesyuarat petang tadi di Kuala Lumpur.

    Beliau dalam masa sama menafikan berlaku penolakan terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh UMNO bagi meleraikan kekusutan politik di Kedah.

    Selain itu, Presiden UMNO berkenaan juga menolak desas-desus yang mengatakan tiga nama pengganti telah dipersembahkan kepada pengerusi jemaah penasihat berkenaan seperti yang tersebar dalam media.

    "Pucuk pimpinan UMNO pusat mengambil maklum permasalahan yang diutarakan oleh 14 Ketua Bahagian Negeri Kedah pada 20 Januari lepas dan memberi pertimbangan serius kepada perkara itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat MT tersebut.

    Ditanya pula mengenai isu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir diminta tidak menghadiri mesyuarat MT hari ini, Najib berkata, Mukhriz hanya ahli MT yang dijemput untuk turut hadir.

    Mengulas perkara sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan, jika MT UMNO memutuskan ahli MT yang dilantik tidak perlu hadir, maka ahli MT berkenaan tidak perlu menghadiri mesyuarat MT.

    Penjelasan berkenaan diberikan ekoran makluman yang diberikan oleh Mukhriz kepada pemberita bahawa beliau telah diminta untuk beredar meninggalkan mesyuarat tersebut selepas hampir sejam tiba. - UTUSAN ONLINE

View the full stream
Powered by ScribbleLive Content Marketing Software Platform