Perhimpunan Agung UMNO 2015, 8-12 Dis
Ahad 19 November 2017 / 29 Safar 1439

Perhimpunan Agung UMNO 2015, 8-12 Dis

Perhimpunan Agung UMNO 2015, yang diadakan dari 8 hingga 12 Disember ini turut menandakan ulang tahun penubuhan UMNO yang ke-69.

  • Datuk Seri Najib telah masuk ke dalam Dewan Merdeka.

  • Wakil parti-parti luar negara.

  • Para perwakilan sedang diperdengarkan dengan bacaan Al-Quran.
  • Pembentangan laporan perhimpunan diumumkan oleh Setiausaha UMNO, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.
    UMNO parti yang mendukung cita-cita Melayu tanpa mengenepikan bangsa lain.
    Persiapan dari akar umbi, peringkat cawangan dan bahagian lancar.
    Perwakilan 2, 654 orang hadir pada perhimpunan kali ini.

  • Tengku Adnan: Persidangan ini turut dapat liputan luar negara 1,778 orang krew yang membuat liputan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2015.

  • Tengku Adnan: Matlamat UMNO tidak pernah berubah cuma pendekatan berbeza mengikut kesesuaian masa.
    Program berbentuk penerangan dan penjelasan melibatkan hal-hal rakyat dan UMNO.
    Ahli UMNO kini melebihi 3 juta 258 ribu orang.
    50,342 ahli teramai dari Sabah.
    Cawangan transit tidak dikira. Akan diagih-agihkan.

  • 10.05 am- Pengerusi Tetap mengambil tempat.
  • Ucapan dasar Presiden bermula.
  • [NAJIB] Pada pagi ini, 10 haribulan Disember 2015, bersamaan 28 haribulan Safar 1437 Hijriah, sekali lagi Allah-Hu Ta’ala, dengan izinNya telah menghimpunkan kita semua, dalam satu majlis yang begitu indah sekali.

    Seperti yang telah disebutkan oleh Setiausaha Agung parti, saya selaku Presiden, mengalu-alukan sejumlah 2,654 perwakilan,dari 191 Bahagian seluruh negara, bermula di Arau Perlis, membawa ke Lahad Datu, Sabah.
  • [NAJIB] Sehubungan itu, mari kita merakamkan ucapan tahniah setingginya kepada Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah selamat bersidang dengan jayanya.

    Kepada Wanita, sepertimana diisytiharkan pada perhimpunan agung 2013, segala susah payah dan pengorbanan kaum Hawa dalam parti bertuah ini,… selamanya akan diangkat,… dan terus dimartabat,… sebagai tulang belakang UMNO.
  • [NAJIB] Kepada para Pemuda,…mengambil sempena surah Al-Kahfi,… saya mahukan seangkatan besar yang hebat lagi gagah berani,… selaku waris perjuangan bangsa, rela berbakti, kerana,… pada saudara-saudaralah dipertaruhkan harapan untung nasib keturunan kita.

    Buat Puteri pula,…dengan seri merah jambunya di sebalik selendang atau dalam kerudung, walau lasak dan gigih berjuang.

    Semestinya, saudari-saudarilah harapan pertiwi,… kematangan dan kebolehan semua, semakin hari semakin pula, tampak menyerlah.
  • [NAJIB] Orang menyebut, tiada yang dulu, tiada yang sekarang. Satu lagi kelompok yang merupakan pasukan penyokong tegar kepada parti, waima telahpun meninggalkan medan perjuangan secara rasmi, tetap taat dan setia, mencurah khidmat dan nasihat kepada parti tercinta.

    Ayuh,… kita sama-sama memberi tepukan penghargaan, tanda terima kasih kepada golongan veteran UMNO.

    Kepada para pendahulu yang telah pergi lebih awal dan kembali berpulang kepada-Nya, sayugia hanya Allah-Hu Ta’ala yang mampu memberi balasan setimpal, atas segala kebaikan yang telah dilakukan.
  • [NAJIB] Serentak itu juga,bagi pihak seluruh pengurusan parti keramat UMNO, kita rafakkan sembah takziah kepada seluruh kerabat DiRaja Kedah dan DiRaja Johor,masing-masing atas kemangkatan almarhum-almarhum, Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Yang Amat Mulia,Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim.

    Semoga rahmat tercucur di atas roh mereka… Al-Fatihah.
  • [NAJIB] Pucuk pangkalnya, setiap daripada kita, yang berhimpun, di sinilah rumah UMNO, Dewan Merdeka. Saya dan saudara saudari semua, bukanlah hanya sekadar bagian daripada UMNO, akan tetapi, kita adalah UMNO.

    Kitalah tiang serinya, lantai dan dindingnya, jenang dan jendelanya, atap genting dan atap rumbianya, pasak dan tunjangnya, saling bergabung, lengkap melengkapi, yang akan terus mengibar megah sang saka bangsa, panji keramat kepada parti yang berdaulat ini.
  • [NAJIB] Kata orang, alang-alang mahu berjuang, walau langit turun menimpa, meski bumi terbagi dua,… dengan cogankata Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat, UMNO ini satu-satunya parti milik kita, pertahankanlah, pertahankan bersama.
  • [NAJIB] Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, perhimpunan kali ini berbeda dan tidak sama dengan kali kali yang lalu. Dengan kata lain, ekspektasi terhadap perhimpunan ini,luar biasa.

    Kerana, ternyata suasana dan kejadian-kejadian yang kita lalui, sejak setahun yang lalu, penuh liku-liku dan cabaran yang melintang.

    Berpijak di bumi yang nyata, saya tahu daripada 191 bahagian, tidak semuanya seiring pandangan.

    Apatah lagi pada perhimpunan kali ini, setelah episod-episod tidak terduga telah terjadi, pastinya ada sesetengah yang datang, dengan segala bentuk perasaan dan rasa serta hal-hal yang terbuku di dada.

    Walau bagaimanapun,… Alhamdulillah,… saya yakin dan percaya, melihat akan rentak dan semangat yang ditampilkan, selama beberapa hari ini, majoritinya masih teguh berikat dengan kepimpinan saya.
  • [NAJIB] Justeru, pada minggu-minggu yang lepas, dalam ikhtiar pembikinan naskhah ucapan, selaku presiden bagi kali yang ketujuh ini, saya telah mengadakan pertemuan-pertemuan, dengan pelbagai pihak, khususnya para alim ulama, cendikiawan bagi mendapat pandangan serta nasihat.

    Ini semua, saya lakukan, oleh sebab pada hemah peribadi dan rakan-rakan, kita, sedang mendepani detik-detik sukar lagi menduga kesabaran sertajuga sifat istiqamah kepimpinan parti.

    Lalunya, saya dipesan-pesan,…bagi memperingati satu sama lain, antaranya, petikan-petikan dari surah Al-Quraish dan A-li I’mran ayat 160, serta sepotong lagi kalimah-kalimah terakhir,sebagai penutup surah Al-Baqarah.
  • [NAJIB] Begitulah,… saya mengajak saudara dan saudari, sama-sama mengucapkan Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad wa a’la Ali Saidina Muhammad.

    Mudah-mudahan, terurai segala simpulan, terhapus semua kesusahan, tertunai seluruh hajat yang didamba dan tercapai segala hasrat yang diinginkan,… Insya-Allah.
  • [NAJIB] Merujuk apa yang saya nyatakan itu, dalam maksud lain, saban tahun, bukanlah mudah untuk saya berdiri di hadapan semua, di mana,… tubuh atau susuk ini, tiap kali berucap akan dipertanya, sama ada saya ini berucap sebagai apa? Presiden UMNO ataupun Perdana Menteri Malaysia.

    Jawapannya, Ya,… betul, saya sedar, saya adalah Presiden kepada parti UMNO dan benar, dalam masa yang sama, saya juga adalah seorang Perdana Menteri bagi masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama.

    Beriring dengan tanggungjawab ini, setiap kali perhimpunan agung, acapkali juga dipersoal dua lagi perkara, adakah presiden UMNO itu seharusnya berpendirian ultra atau pro-Melayu sahaja,dan keduanya mesti bersifat Islami ataupun tidak?
  • [NAJIB] Ertinya di sini saudara dan saudari, semua orang mesti faham baik-baik, bahawa tugas yang terpikul di bahu saya, sambil dibantu oleh rakan-rakan,umpama seurat rambut dibelah tujuh.

    Maksud yang mendalamnya, di kala Malaysia yang serba moden lagi membangun pesat ini, dengan pelbagai kaum di Semenanjung, menjangkau 40 etnik di Sarawak dan lebih 60 suku di Sabah, tambahan pula, budaya dan faham yang beragam-ragam, teknologi dan media yang makin canggih serta masyarakat yang lebih terdidik, segalanya, daripada sebesar-besar hal kepimpinan dan pentadbiran negara juga parti, kepadalah sekecil-kecilnya urusan, tidak lagi semudah dan sesenang, berbanding waktu yang dulu-dulu.
  • [NAJIB] Maksudnya, peranan kepimpinan parti dan Kerajaan, mencakupi ruang lingkup yang seluas-luasnya, yakni yang dapat dilapiskan pada peringkat nusa atau negara, ummah dan tentunya Melayu Bumiputera.

    Maknanya lagi, amanah yang dimandatkan adalah amat besar, untuk memimpin dan menerajui sebuah kesatuan, bukan sahaja orang Melayu, Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, Islam dan bukan Islam,di mana unjurannya terkini seramai hampir 20 juta orang.

    Malah, tentunya seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah dekat 30 juta kini, tidak kira kaum Cina, India, Serani mahupun orang-orang Siam yang menetap di negara ini,… semuanya,… semuanya bagi kepimpinan UMNO, adalah penting dan mustahak dalam pembikinan sebuah nusa makmur lagi berjaya.
  • [NAJIB] Namun, saya dan kita semua harus faham dengan jelas,…bahawa pendirian kita, tatkala berada di forum dan pada pentas Perhimpunan Agung UMNO ini, barulah munasabah dan barulah berhak bagi kita menjurus untuk cenderung terhadap pembelaan untung nasib serta kebajikan khususnya, orang-orang Melayu dan Bumiputera.

    Jadinya, bagi setiap usul, segala perbahasan dan segenap isu yang diperdebatkan, obor perjuangan yang dinyala, jangan gentar dan usahlah bimbang, malah, kita dalam perhimpunan ini, sewajibnya, tidak lain dan tidak bukan, mesti terus menjulang kepentingan dan kedudukan bangsa serta keturunan Melayu dan Bumiputera, di tanah tumpah darahnya sendiri.
  • [NAJIB] Pujangga ada berpesan, hidup ini tidak pernah pun menjanjikan yang senang-senang saja. Apabila berdepan dengan masalah, kita tidak boleh sekali-kali lari daripadanya. Itulah prinsip saya.

    Jika digali sejarah dan sisir kepimpinan negara, bermula pada zaman Almarhum Tunku, membawa kepada saya sebagai Perdana Menteri yang keenam ini, tidak ada seorang pun yang terlepas atau terkecuali daripada menerima ujian.

    Berhubung semua ini, saudara dan saudari, tatkala dihadapkan dengan pelbagai dugaan, saya sering diperingkatkan oleh rakan-rakan, tentang mafhum dan tafsir surah Al-An’am, yang menjelaskan bahawa, cabaran terhadap seseorang pemimpin itu,harus diterima sebagai satu muhasabah, yang dengannya, mudah-mudahan Allah memberi keampunan dan mengangkat martabat kita.

    Hatta, memetik hikmah kata oleh Bapak Muhammad Nasir, bekas Perdana Menteri Indonesia bahawa, tiada percetakan atau buku-buku panduan, yang bisa atau mampu melahirkan seorang pemimpin.
  • [NAJIB] Kerana pemimpin itu,… sebenarnya tidak lahir di bilik-bilik kuliah, sebaliknya pemimpin itu muncul di gelanggang dan di celah-celah kemelut supayamampu menangani cabaran dan dugaan.
  • [NAJIB] Dari yang tersurat dan tersirat, dengan berbekalkan mutiara qurani dan petikan duniawi,yang telah saya sampaikan tersebut, biar menggunung cabaran menghalang, meski hebat apapun tantangan yang tiba, saya, tidak boleh sesekali menyerah kalah, bahkan, dengan beraninya,… Hiudp UMNO)! Hidup UMNO! Bahkan, saya harus berdepan bagi merungkaikan masalah dan menyelesaikannya, untuk terus memimpin UMNO mara menuju kemenangan.

    Melangkah ke hadapan lagi, dalam mengharung asakan-asakan dan dugaan yang dipertimpa ke atas saya, pada hemat saya, kepimpinan itu bukan soal kebongkakan menongkat langit, bukan juga mengumpul orang di sana sini, untuk mengata dan menuduh sesuka hati.
  • [NAJIB] Sepertimana yang sudah saya nyatakan dengan nada yang tawadu’ di Parlimen baru-baru ini, ya betul, memang benar, saya seorang Presiden dan Pemimpin, akan tetapi, saya juga manusia seperti saudara dan saudari semua. Masing-masing, punyai kelebihan dan kekurangan.

    Tetapi bagi saya, I am a gentleman, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul. Melalui perlembagaan parti.

    Dalam pengertian yang lebih langsung, jika sekalipun pada suatu masa kelak, baton kepimpinan ini akan diserahkan kepada orang lain, dalam Bahasa Inggerisnya, to me, I can’t just abandon our cause and drop our mission, tanpa dengan terlebih dahulu berikhtiar, mempastikan bukan sahaja isu-isu berbangkit dilangsaikan, malah, keadaan parti dan jamaah ini hendaklah kembali dipulihkan seperti sediakala, jika tidak, seperti yang dinasihatkan oleh para alim ulama, saya tidak boleh menjadi seorang pengecut, bahkan, itu bacul namanya.
  • [NAJIB] Sebab itu, terhadap apa-apa perkara pun, ada jalan dan kaedah penyelesaiannya. Dalam ehwal 1MDB, saya ingin maklumkan bahawa, ia sedang ditangani dan dalam proses penyelesaian. Dah nampak. Misalannya, dengan penjualan syarikat Edra, hutang 1MDB kini telah susut sebanyak 17 bilion.Ini membuktikan pelan rasionalisasi 1MDB sedang berjalan dengan baik. InsyaAllah ini akan disusuli dengan beberapa pengumuman yang lain, yang akan meyakinkan rakyat untuk akhirnya nanti mendapat penyelesaian yang tuntas.

    Menyentuh dana 2.6 bilion pula, isu ini pun telah dijawab di sidang Parlimen baru-baru ini oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, bahawa, wang itu adalah derma dari luar negara dan bukannya diambil dari 1MDB. Saya juga telah menjelaskan dengan terperinci kepada para perwakilan semasa taklimat presiden.

    Yang mustahak,… saya yakin,… saya berada di pihak yang benar, dan kebenaran akan terbukti juga.
  • [NAJIB] Bertitik tolak daripada semua itu, antara perkara mustahak yang mahu saya peringatkan, adalah prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.

    Bersabit ini, apa yang mahu saya jelaskan, bukanlah sesuatu yang menurut hawa nafsu, namun disandarkan kepada sirah dan ibrah para nabi, yang didampingi sahabat-sahabat berwibawa.

    Saya turut meninjau sejarah pertubuhan atau organisasi di serata dunia,… dan kita dapati,…jika sifat kesetiaan atau loyalty tidak terwujud kental pada diri masing-masing, dalam mendokong pimpinan utama, sudah barang pasti rosaklah rencana, pincanglah kesatuan.

    Sesungguhnya jua, kesetiaan dan ketaatan bukan sekadar menjadi nilai-nilai utama, malah merupakan sifat, sikap, prinsip dan pegangan yang menjadi berdarah daging dan menunjang dalam diri setiap orang UMNO dari sebawah-bawahnya, hingga kepada pimpinan-pimpinan kanan.
  • [NAJIB] Barulah wujud dan adanya disiplin, tanzim serta ketersusunan dalam organisasi seperti UMNO ini. Hukamak menyebut, sesuatu hak dan kebenaran yang tidak diwaspada pun, boleh tertewas oleh fitnah dan kebatilan yang dikerangkakan dengan rapinya, oleh pihak-pihak yang curang dan berniat jahat.

    Malah, hukum kesetiaan disebut berulang kali dalam Al-Quran dan hadis, antaranya melalui surah An-Nisa’, tentang tuntutan ketaatan kepada Ulil Amri.

    Dalam Islam, berasaskan nas dan matan hadis yang sahih, jumhur ulama, berpegang kepada pandangan dan nilai kesetiaan serta ketaatan, yang disebut sebagai wala’, yang bererti memberi taat, kecintaan, setia dan kasih sayang kepada pemimpin dan institusi kepimpinan itu.

    Sebab itu, kita tidak dapat memisahkan prinsip kepemimpinan dan kepengikutan, yang sebenarnya bersifat saling berkait antara satu dengan yang lain.

    Kendati itu, dalam Sejarah Melayu lama pun, memperakukan dengan halusnya dalam bait-bait indah tentang kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.

    Ia menyebut, diseru dan dipanggil kita datang, disuruh pergi, kita pulang. Begitulah luhurnya prinsip kesetiaan dan ketaatan.
  • [NAJIB] Sebab itulah, saudara dan saudari, Islam secara khulasahnya, menetapkan bahawa adalah wa---jib kita mentaati pemimpin yang memerintah.

    Lagipun, sepanjang saya menempuh onar dan ranjau kerjaya menjadi ahli politik dan anggota pentadbiran, semua orang tahu, Najib Razak ini,…Saya,…seorang yang tidak confrontation, saya juga tidak pernah menjatuhkan sesiapa, apatah lagi untuk mengkhianati parti UMNO tercinta ini.

    Laginya,…hampir kesemua orang yang pernah terlibat dalam politik negara ini pastinya maklum,… bahkan tercatat dalam lipatan sejarah parti ini, bahawasanya,… Najib Razak ini,…saya jugalah pada tahun 1987, di persimpangan getir untuk menyebelahi pucuk pimpinan UMNO pada masa itu, telah dengan penuh kasih dan hormatnya, tetap memilih untuk taat dan setia, kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir, dalam mempertahankan kedudukannya ketika itu, sebagai Presiden UMNO, sekali gus mengekalkan dirinya sebagai Perdana Menteri.
  • [NAJIB] Berbalik kepada situasi semasa UMNO, dimaktubkan dalam perlembagaan parti bahawa, amanah besar dan tanggungjawab yang terpikul di bahu seorang Presiden, melalui fasal 9.8.1, adalah menjadi pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti.

    Manakala, fasal 9.8.2, dengan terang secara harafiahnya, memperincikan tanggungjawab dan amanah utama, bagi seorang Timbalan Presiden itu, fasalnya itu menyebut, “Timbalan Presiden membantu tugas-tugas Presiden”.

    Manakala, bagi fasal 9.8.3 pula, tanggungjawab dan amanah naib-naib presiden itu dinyatakan sebagai,…“Naib-Naib Presiden itu kerjanya membantu tugas-tugas Presiden”.

    Merujuk kepada ahli-ahli pula,… fasal 6.1.1 dan 6.2.1, antara intipatinya menyatakan bahawa, tanggungjawab dan hak “Ahli-Ahli UMNO” ialah memegang teguh dasar parti dan melaksanakan tujuan-tujuannya serta berhak mengemukakan pendapat kepada parti, tetapi mestilah melalui saluran yang betul.
  • [NAJIB] Lantas, dengan berpegang dan memahami maksud perlembagaan ini, barulah pertubuhan atau jamaah UMNO kita ini mampu bergerak dalam ikatan yang kukuh dan sempurna, dipandu oleh etika-etika mahupun tatasusila parti yang sudah disepakati bersama.

    Itulah rahsia,… dan itulah formula,… sesebuah parti politik seperti kita, yang telah bertahan dengan jayanya sehingga kini, mudah-mudahan sampai bila-bila.
  • [NAJIB] Pada perspektif lain, telah berbangkit suara-suara atau cakap-cakap, adakah UMNO masih relevan? Timbul juga, apa yang dikatakan sebagai “perang persepsi” melalui media sosial, yang kita anggap sebagai cabaran terbesar kepada kita kini, di mana sesetengah isu itu, sengaja dieksplotasi, ditohmah dan diperbesar-besarkan.

    Bak kata orang putih, perkara-perkara “half truth” pun boleh menjadi “absolute truth”.
  • [NAJIB] Menjawab persoalan-persoalan tadi, telah terserlah UMNO yang menunjang Barisan Nasional sebagai kerajaan yang mentadbir sejak puluhan tahun, telah membuktikan kejaguhannya, dalam membawa Malaysia tercinta ini…

    Daripada hanya sebuah perdesaan dan perkampungan,… tiada siapa dapat menjangka,…kini kita telah tumbuh dan muncul menjadi sebuah Bintang Timur yang bergemerlapan bukan sahaja di rantau ini, bahkan di seantero dunia.

    Terkini, dalam laporan daya saing global 2015-2016 oleh World Economic Forum, Malaysia telah melonjak dua anak tangga kepada kedudukan 18 daripada 144 buah negara utama ekonomi di dunia.

    Justeru, mana mungkin orang boleh mengata kita sebagai fail state atau pengemis di bawah kepimpinan saya kini.

    Malah, antara contoh yang boleh diperbanggakan lagi, antaranya, Pelantar Gas di Laut Caspian, pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kedua di Istanbul, pelaburan Shale Gas yang merupakan Pelaburan Langsung Asing atau FDI terbesar di Kanada hasil kendalian anak-anak bangsa kita.
  • [NAJIB] Selain itu,Penyediaan Perkhidmatan Kesihatan yakni IHH Healthcare Berhad sebagai yang kedua terbesar di dunia, serta penyelenggaraan fasiliti stesyen dan pengendalian Mekah Metro, adalah juga kejayaan anak-anak bangsakita, dan segalanya ini hasil perjuangan UMNO.
  • [NAJIB] Bercakap di sudut ekonomi juga, dalam hal GST, rakyat perlu tahu, hakikatnya, jika sebelum tahun 2015, 31 peratus daripada pendapatan kerajaan datangnya daripada hasil minyak.

    Namun, akibat daripada penurunan mendadak harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal rendah,akan menyebabkan hasil kerajaan dijangka berkurang sekitar 30 bilion ringgit.

    Jika ini berlaku, badan-badan pengabsah terkemuka di peringkat antarabangsa seperti Standard & Poor’s dan Fitch Ratings,akan menurunkan taraf rating kredit negara.

    Ini juga akan menyebabkankadar-kadar faedah pinjaman seperti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan pinjaman perniagaan melonjak naik.
  • [NAJIB] Implikasinya, menyebabkan ekonomi negara kitaakan merudum, pelaburan akan terjejas, peluang pekerjaan pula menjadi terhakis.

    Dalam konteks ini, tidak dapat dibayangkan, seandainya pihak Kerajaan tidak mempunyai keberanian politik untuk tetap melaksanakan GST, baki akaun semasa fiskal kerajaan akan mencatat defisit sebanyak 10.6 bilion ringgit. Ia juga akan melonjakkan defisit negara daripada 3.1 kepada 4.8 peratus pada tahun pertama dan mungkin akan jauh lebih tinggi pada tahun-tahun berikutnya.

    Akibatnya, kerajaan mungkin terpaksa membuat pinjaman untuk membayar gaji penjawat-penjawat awam, termasuklah para guru dan anggota tentera.

    Jika hal itu terjadi, apa kesannya, tiada kenaikan gaji tahunan kepada kakitangan, begitu juga elaun perjalanan, malah akan berlakunya pembekuan dan tiada pengambilan baru dibuat, hingga barangkali terpaksa mengecilkan pula saiz perkhidmatan awam. Hal ini, mungkin menjejaskan kebajikan seramai 1.61 juta orang kakitangan kerajaan.
  • [NAJIB] Syukur atas petunjuk Allah, pelaksanaan GST oleh pihak kerajaan menjadi satu langkah yang amat tepat, sekalipun tidak popular,… dan,…Alhamdulillah, hasil kutipan GST-lah yang menjadi penyelamat, melindungi rakyat daripada ditimpa kesusahan yang lebih berat jika ia tidak dilaksanakan.
Powered by ScribbleLive Content Marketing Software Platform