Perhimpunan Agung UMNO 2015, 8-12 Dis
Ahad 19 November 2017 / 29 Safar 1439

Perhimpunan Agung UMNO 2015, 8-12 Dis

Perhimpunan Agung UMNO 2015, yang diadakan dari 8 hingga 12 Disember ini turut menandakan ulang tahun penubuhan UMNO yang ke-69.

  • [KHAIRY] Sama juga dengan kenaikan yang lain. Walaupun kita faham beberapa langkah pedih terpaksa diambil tetapi hakikatnya, rakyat sudah tidak boleh terima lagi dan sudah sampai ke breaking point. Jadi cukup-cukuplah. Jangan ditambah lagi bebanan rakyat. Jangan dicurah lagi minyak ke atas api kemarahan rakyat yang marak membara. Pemuda mahu Kerajaan hentikan segala kenaikan selepas ini. Enough is enough!
  • [KHAIRY] Dua tahun akan datang ini, oleh kerana kita sudah membuat segala penjimatan melalui GST, pemotongan subsidi, kenaikan tarif, tambang, tol dan sebagainya, Pemuda hanya mahu mendengar berita yang baik-baik dan menyenangkan rakyat sahaja. Inilah masanya kita gunakan segala penjimatan yang dikatakan kita perolehi daripada segala langkah pedih ini, untuk menggembirakan rakyat. Tunjukkan bahawa langkah penjimatan selama ini boleh membawa kebaikan pada mereka.
  • [KHAIRY] 68. Pemuda juga berharap agar kerajaan dapat menyediakan diskaun khusus untuk orang muda yang menggunakan pengangkutan awam. Selama ini bila tol naik, kita minta anak muda guna pengangkutan awam. Tapi sekarang, lepas kita naikkan harga tol, tambang komuter, tambang ERL, segala-gala tambang pun naik juga. Apa lagi pilihan yang ada pada rakyat, nak suruh mereka jalan kaki?

    Di banyak negara lain, golongan belia diberikan diskaun yang sama seperti warga emas untuk pelbagai kemudahan awam. Kalau nak bantu orang muda, inilah masanya. Saya tengok kesan kenaikan tambang komuter contohnya, begitu membebankan. Buatlah diskaun untuk belia bagi pengangkutan awam. Jangan harga dinaikkan semata-mata, tanpa langsung memikirkan langkah-langkah yang boleh meringankan beban tambahan ini.
  • [KHAIRY] Hari ini kita rasa bertuah dengan kehadiran bekas Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Rahman Dahlan selaku wakil Majlis Tertinggi. Bertuahnya kita sebab beliau juga Menteri Perumahan dan isu perumahan saban tahun dibangkitkan dalam perbahasan kita.
  • [KHAIRY] Untuk makluman Datuk Rahman, Pemuda sentiasa menyokong Kementerian Perumahan untuk mendapat peruntukan yang lebih besar, terutamanya bagi membina rumah kos rendah dan sederhana seperti Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Transit untuk orang muda. Kami pegang pada janji pembinaan sejuta rumah mampu milik sebelum Pilihan Raya Umum ke 14.

    Namun, YAB Presiden sendiri mengakui, setakat ini, baru 16 peratus sahaja sudah disiapkan! Kalau permohonan untuk rumah PR1MA di Cheras sampai lima kali ganda, di Bukit Bintang sampai 25 kali ganda, kedahagaan rakyat untuk perumahan sememangnya cukup terang lagi nyata.
  • [KHAIRY] Pemuda juga minta semua kerajaan negeri mencontohi tindakan tegas dan berani Kerajaan Negeri Sembilan di mana 50 peratus daripada semua projek perumahan di negeri itu mestilah terdiri daripada rumah mampu milik. Inilah masanya kuasa pentadbiran yang ada digunakan untuk memihak kepada pembeli rumah dan bukannya pemaju.
  • [KHAIRY] Seperkara lagi yang mahu saya bangkitkan di sini ialah kemudahan kewangan untuk membantu orang muda membeli rumah pertama. Pemuda antara yang pertama memperjuangkan isu bayaran deposit yang tidak mampu ditanggung oleh orang muda. Selepas perkara itu diketengahkan, kerajaan telah memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku dengan pinjaman seratus peratus untuk pembeli rumah pertama. Dengan itu, ramai orang muda yang seharusnya dapat dibantu. Namun seperti biasa, perlaksanaan sering menggagalkan dasar yang murni.
  • [KHAIRY] Apa yang sepatutnya membantu pembeli rumah, tidak dirasai oleh kebanyakan mereka yang memohon. Saya diberitahu, mengikut,Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) untuk permohonan pertama, kadar penolakan pinjaman perumahan setinggi 70 peratus.
  • [KHAIRY] Oleh itu Pemuda menyokong Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama di bawah Kementerian Perumahan dengan peruntukan RM200 juta. Saya akan berbincang dengan Datuk Rahman supaya pelaksanaannya tidak menghampakan seperti Skim Rumah Pertamaku. Carilah mereka yang betul-betul layak menerima geran ini. Bantulah mereka membeli rumah yang pertama. Pada masa yang sama perbaiki juga Skim Rumah Pertamaku yang sedia ada. Jangan lagi ada halangan yang besar untuk orang muda memiliki rumah pertama mereka.
  • [KHAIRY] Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada hari ini tidak lengkap jika saya memilih pendirian untuk tidak menyentuh dan mengupas isu paling pokok yang sedang dihadapi oleh UMNO ketika ini. Pemuda akan disifatkan berada dalam budaya penafian jika tidak berani menghadapi ombak ketika berumah di tepi pantai. Pemuda UMNO tidak boleh membutakan mata, menulikan telinga dan mengelukan lidah, seolah-olah tidak ada perkara besar yang sedang berlaku di dalam parti, lalu memilih untuk membiarkan tertimbun habuk dan sarap di bawah tikar.
  • [KHAIRY] Sepertimana yang saya petik dalam surah al-Kahfi, Islam menuntut untuk menyatakan yang benar, sementara adat Melayu pula memperingatkan ketika menarik rambut di dalam tepung, dipastikan rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

    Pemuda UMNO dalam menghadapi situasi diluah mati emak, ditelan mati bapa, wajib memiliki hikmah untuk mengimbangkan pelbagai faktor, merangkumi pemimpin, parti, penerimaan rakyat dan perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Bagaimana kesetiaan wajib disemak dengan keadilan dan kebenaran.

    Bagaimana hasrat menyuarakan kebenaran tidak ditafsirkan sebagai penderhakaan. Namun Pemuda juga amat sedar akan realiti pemikiran dan perasaan yang sedang bergelora baik di dalam parti mahupun di kalangan orang Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya; terutama di kalangan generasi muda.
  • [KHAIRY] Dalam sejarah penubuhannya selama 69 tahun, UMNO telah dilanda pelbagai ujian. UMNO terus kukuh dan utuh, berjaya mengatasi setiap ujian yang melanda kerana kebijaksanaan pimpinan menangani masalah yang dihadapi. Kini sekali lagi bahtera UMNO dilanda badai. Namun sebagaimana sejarah telah membuktikan, tiada lambungan gelora yang tidak dapat kita redahi dan tiada lautan api yang terlalu marak untuk kita tempuhi.

    Dan berbekalkan kebijaksanaan dan kematangan yang telah dikurniakan kepada kita setelah 69 tahun berada di muka bumi ini, saya percaya kita akan sekali lagi dapat mendepani ranjau duri ujian ini. Kita mungkin tercalar, kita mungkin terluka, tetapi apa yang lebih penting adalah kita akan melangkah keluar dengan lebih matang, gagah dan dewasa.
  • [KHAIRY] Para Pemuda bakal mewarisi parti ini pada satu masa nanti. Wariskanlah kepada kami, sebuah parti yang kuat, teguh, bersatu lagi dihormati seperti mana pemimpin terdahulu telah mewariskannya kepada pemimpin pada hari ini.

    Dalam sebuah kesempatan, Amirul Mukminin Saidina Umar bin Khattab berkata: “jika aku sedang menghadapi masalah besar, maka yang ku panggil adalah para pemuda.” Yakinlah bahawa berdirinya kami barisan Pemuda hari ini adalah untuk bersamaPresiden, juga barisan kepimpinan di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian, Cawangan dan juga setiap ahli parti untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.
  • [KHAIRY] Marilah bersama saya dalam mendukung idealisme perjuangan kita ini. Bersama kita pastikan agar parti ini dapat kembali berpijak di bumi nyata. Agar akarnya kembali berlegar subur mendekati, mendampingi rakyat. Agar pohonnya tumbuh subur merendang, untuk terus memberikan naungan kepada negara bangsa. Agar UMNO akan terus menjadi nadi dan semangat orang Melayu untuk dulu, kini dan selamanya.

    Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!
  • [WANITA] Nafsiah memulakan persidangan dengan memberi ingatan agar persidangan tidak dicemarkan dengan menyentuh peribadi mana-mana pihak. Beliau seterusnya menjemput Pengerusi Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan pesidangan.
  • [WANITA]/SHAHRIZATArena politik sentiasa berubah dan datang dalam pelbagai bentuk. Wanita perlu berani berubah namun perlu berada juga menjaga barisan untuk bersama presiden dan parti untuk kepentingan negara dan bangsa.

  • [WANITA]/SHAHRIZATWanita adalah tulang belakang UMNO dalam perjuangannya untuk kepentingan dan kecemerIangan generasi masa depan. Tiada wanita sepi parti, tiada wanita tiada program yang jadi.
  • [WANITA]/SHAHRIZATSaya nak beri 'amaran mesra', kamilah yang memberikan sokongan kepada parti dalam suka dan duka.
  • [WANITA]/SHAHRIZATSaya ingatkan kepada semua, apa sahaja tindakan yang kita mahu ambil hendaklah dilakukan dengan ikhlas.

  • [WANITA]/SHAHRIZATDalam menghadapi era digital wanita perlu tidak sia-siakan peluang dan ruang untuk meletakkan parti pada kedudukan terbaik. Jangan sia-siake.cn peluang ini.

    Internet dan ICT merupakan alat terbaik untuk mencapai rakyat dan menambah pendapatan. Carilah ilmu untuk mendapatkan ini.

  • [WANITA]/SHAHRIZATKepesatan teknologi bagaimanapun juga membuka ruang maklumat yang tidak benar tersebar. Oleh itu wanita perlu berhati-hati.
  • [WANITA]/SHAHRIZATWanita bangga Malaysia jadi pengerusi ASEAN. Dalam tempoh ini banyak cadangan mengenai isu wanita telah disampaikan dan didengari .
  • [WANITA]/SHAHRIZATSaya gesa MT beri perhatian kepada trend memperkasakan wanita. Kami cadangkan pada PRU14 nanti letakkanlah 30% daripada calon -calon wanita.
  • [WANITA]/SHAHRIZATKerajaan perlu menyediakan ekosistem ekonomi yang kondusif untuk wanita.
  • [WANITA]/SHAHRIZAT Pada hari ini kita harus bersyukur kerana kerajaan tidak pernah alpa membela semua rakyat daripada dalam masa yang sama menegakkan syiar islam sebagai agama rasmi.

  • Komen Pemuda UMNO Bahagian Dungun, AHMAT RAHMAT RAMLEE

  • Komen Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, MD. RAFIZI MISMAN

  • Komen Pemuda UMNO Bahagian Parit, MOHD. AMIN ABD. HADI

  • Komen Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, MOHD. HAIRI MAD SHAH

  • Komen Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, MOHAMMAD FAKHZAN MD. NOOR

  • PEMERKASAAN WANITA:
    SATU SUARA,SATU NADA, SATU GERAKAN
    TEKS UCAPAN YB DATUK HAJAH MAS ERMIEYATI HAJI SAMSUDIN
    KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA


    KANDUNGAN
    PEMBUKAAN

    PUTERI ASPIRASI WANITA MUDA DAN NEGARA

    MENDEPANI CABARA MASA KINI

    PEMERKASAAN KELUARGA MUDA

    PERTINGKATKAN KESELAMATAN DALAM & LUAR NEGARA

    DAULATKAN ISLAM AGAMA NEGARA

    POLITIK PERPECAHAN & KEBENCIAN

    BAHASA JIWA BANGSA

    SOLIDARITI BERSAMA KEPIMPINAN

    HARAPAN

    PEMBUKAAN

    Bismillah Hir Rahman Nir Rahiim

    YBhg Puan Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
    YAB / YB Wakil Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
    YBhg Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
    YBhg Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
    YBhg Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
    YB / YBhg Barisan Exco dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri-Negeri
    Yang Dialukan Para Mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
    Turut Dialukan Para Pemerhati, Dif-Dif Jemputan & Rakan-Rakan Media
    Yang Dikasihi Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian

    Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
    Salam Sejahtera
    Dan Salam 1Malaysia

    Alhamdulillah, syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Atas kasih dan rahmat-Nya dapatlah kita semua Barisan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berkumpul dalam dewan yang mulia ini. Moga-moga persidangan kali ini akan berlangsung dalam keadaan penuh muhibbah. Saya juga berdoa agar kita semua dapat menyumbang fikiran yang bernas demi melanjutkan kesinambungan perjuangan umat Islam dan Bangsa Melayu tanah air.

    “Kalau tidak kerana bulan
    tidaklah matahari terbit tinggi
    Kalau tidak sokongan kalian
    Tidaklah saya berdiri disini.”

    Saya dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih kepada seluruh kepimpinan dan perwakilan kerana sama-sama menunaikan kewajipan pada kali ini. Setingi-tinggi penghargaan juga saya tujukan kepada paramantan pejuang-pejuang puteri. Dengan keringat dan pengorbanan merekalah, kita semua pada hari ini dapat menikmati segala ruang dan peluang yang diberikan kepada Pergerakan Puteri UMNO. Sebagai Ketua Puteri UMNO Malaysia, saya akan pastikan jasa mereka tidak akan sesekali disia-siakan malah ia akan terus menjadi pembakar semangat dalam meneruskan legasi perjuangan ini.


    Rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi,

    Persidangan kali ini merupakan antara persidangan yang paling penting untuk Pergerakan Puteri UMNO. Angka 5 merupakan angka keramat untuk persidangan kali ini, di mana ia menandakan 5 bulan saja lagi, kita akan menyambut ulang tahun UMNO ke-70 dan 5 bulan lagi, genap 15 tahun usia Puteri UMNO. Dan kita hanya tinggal 5 tahun sahaja lagi untuk masuk ke tahun 2020 dan meraikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Masa depan telah dirangka dan kitalah penentu kejayaannya.

    Oleh itu, ingin saya tegaskan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia harus mempunyai satu suara, satu nada dan satu gerakan.

    Para perwakilan dan pemerhati sekalian,

    Sudah hampir 15 tahun kita bersama-sama dalam perjuangan ini. Jika Puteri UMNO diibaratkan sebuah taman, maka, masa yang berlalu itu tentu telah kita manfaatkan untuk sama-sama menyemai baja perpaduan, dan hasil semaian tersebut haruslah sentiasa mekar dengan sifat sentiasa bersatu hati. Dalam memastikan kemekaran itu, saya melihat pentingnya untuk sentiasa bersama-sama berada dalam satu suara, satu nada dan satu gerakan demi pemerkasaan wanita muda.
    Rekod kita selama ini jelas menunjukkan hanya pergerakan Puteri UMNO sahaja yang mampu menjadi platform bagi agenda pemerkasaan wanita muda. Sebagai Ketua Puteri UMNO, saya dan barisan kepimpinan dengan ini menegaskan bahawa agenda pemerkasaan wanita muda adalah isu paling utama dan perlu mendapat sokongan padu.

    PUTERI ASPIRASI WANITA MUDA DAN NEGARA

    Sidang Perwakilan Dan Pemerhati sekalian,

    Keahlian Pergerakan Puteri UMNO sehingga 31 Oktober 2015 telah menjangkau 388,520 orang dan Puteri menyasarkan 500,000 keahlian menjelang 2017. Oleh itu, Puteri di semua peringkat mesti bekerja lebih kuat untuk memastikan sasaran ini tercapai. Namun, bukanlah kuantiti sahaja yang dikejar, kualiti ahli Puteri juga perlu diberi penekanan. Dalam mengejar target ini, risiko jurang generasi dalam Puteri UMNO Malaysia perlu dikawal.

    Jurang generasi yang dimaksukdkan boleh wujud daripada proses transisi yang berlaku dalam UMNO. Proses transisi akan menyebabkan kelompongan yang besar dalam Puteri, khususnya golongan wanita muda di kelas umur 18 hingga 25 tahun. Masalah ini perlu diatasi, kerana wanita muda merupakan golongan ideal dan pencorak masa depan politik negara. Malah, berdasarkan statistik, golongan inilah yang mendominasi kemasukan universiti. Sayang sekali jika hari ini kita tidak memaksimakan bakat dan tenaga yang ada pada mereka untuk kebaikan bersama.

    Kegagalan dalam menyediakan ruang kepada golongan ini akan menyebabkan UMNO kurang dinamik kepada arus perubahan dan sentiasa kelihatan kurang menarik kepada anak muda.

    Untuk mengatasi masalah tersebut, ADINDA telah diwujudkan sebagai satu inisiatif yang bertujuan mewujudkan satu barisan pelapis di kalangan golongan ini bagi Pergerakan Puteri UMNO. Dengan ruang yang ada dalam ADINDA, program berunsurkan pendidikan dan motivasi dibuat secara berterusan agar wanita muda diberi pendedahan kepada isu-isu dan perkembangan terkini. ADINDA bukan sahaja menjadi wadah pendidikan, ruang ekspresi dan membina kesedaran politik yang sihat, tetapi menjadi penghubung antara Puteri dengan wanita muda. Secara tak langsung, inisiatif seperti ini juga menggalakkan penyertaan mereka untuk bersama-sama dalam perjuangan ini.

    Hubungan Puteri dan golongan wanita muda akan menjadi satu kesinambungan kepada perjuangan Puteri dalam UMNO dan seterusnya mengubah persepsi bahawa politik bukan hanya untuk golongan tertentu tetapi terbuka kepada semua. Saya amat yakin, kewujudan ADINDA ini akan memberi kesan yang bermakna kepada Pergerakan Puteri UMNO dan mampu menjadi antara cara paling efektif kita untuk mencapai keahlian sebanyak 500,000 menjelang tahun 2017.
    Sidang Perwakilan Dan Pemerhati sekalian,

    Pergerakan Puteri juga sedar akan keperluan untuk membina hubungan dalam peringkat serantau. Sebagai sebahagian usaha untuk merealisasikan matlamat tersebut, Biro Antarabangsa dan IPT Pergerakan Puteri UMNO telah menganjurkan Persidangan Kepimpinan Wanita Muda ASEAN. Program itu telah berjaya dilangsungkan dari 8 hingga 11 November yang lalu. Dari program itu, Puteri UMNO secara langsung telah berjaya memanfatkannya dengan membina rangkaian wanita muda di peringkat ASEAN.

    Persidangan itu juga telah berjaya mencapai beberapa resolusi yang bakal memberikan kesan positif kepada wanita muda. Antaranya ialah penegasan terhadap emansipasi wanita muda yang harus merentas sempadan negara anggota ASEAN. Dalam sektor ekonomi pula, sidang menggesa agar golongan wanita muda harus diberikan ruang yang lebih luas dan bebas agar kebergantungan mutlak terhadap kaum lelaki dapat dielakkan. Dalam konteks sosio-budaya pula, sidang membuat resolusi supaya perlunya penekanan yang berterusan terhadap usaha memperkasa wanita dengan melalui pendidikan berkualiti agar mampu mencapai kehidupan yang sejahtera.


    Rakan-rakan yang dikasihi

    Wawasan 2020 hanya kurang lebih 5 tahun dari sekarang. Visi kita adalah untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun tersebut. Sebagai salah satu sayap penting UMNO, Puteri sewajibnya lebih agresif dan berperanan secara aktif dan berkesan dalam menggembleng tenaga untuk mencapai hasrat ini. Antara inisiatif Puteri adalah dengan menganjurkan program untuk mengasah potensi dan kebolehan yang ada dalam 4 golongan utama iaitu golongan remaja & siswi, golongan graduan, kelompok profesional, dan ibu-ibu muda.

    Pemfokusan terhadap empat golongan utama tadi perlu dilakukan secara bersepadu bersama-sama dengan usaha memenangi PRU ke-14. Saya melihat, kemenangan PRU ke-14 adalah penting jika kita ingin merealisasikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020. Jika PRU 14 menolak kita, maka, Wawasan 2020 tidak akan menjadi agenda penting oleh lawan kita.

    Untuk itu, Puteri UMNO memperlihatkan komitmen yang tinggi bagi menyemarakkan semangat kesukarelawan dengan menyentuh akar umbi. Maka, dilaksanakan program SPIRIT, yakni usaha sukarela Puteri dalam membantu mangsa banjir yang telah melanda Pantai Timur baru-baru ini. Supaya lebih menyuluruh, SPIRIT juga turut memperjuangkan nasib golongan anak-anak OKU, terutamanya mereka yang tidak mendapat pembelaan.

    Selain itu, Biro Pendidikan melalui kembara ilmunya juga telah banyak menjalankan banyak aktiviti bersama pelajar sekolah. Anataranya seperti latih tubi dan motivasi. Pendekatan akar umbi sedikit sebanyak akan memberi pendedahan kepada anak-anak kecil, sekaligus mendapat tempat di hati ibu bapa mereka.

    Tidak dilupa, program sukarelawanan oleh puteri seperti SPIRIT, yang memberi tumpuan dalam menambah bilangan pengundi UMNO. Sejajar dengan itu, Puteri UMNO mengambil pendekatan untuk mendekati pengundi di atas pagar. Pada PRU-13, golongan pengundi di atas pagar mencapai jumlah 26 peratus. Tidak mustahil golongan ini akan bertambah menjelang PRU ke-14.


    Melihat kepada kebarangkalian ini, Puteri mewujudkan rangkaian yang lebih berkesan untuk membina hubungan dengan golongan tersebut. Oleh itu, anggota Puteri berserta rangkaian ADINDA, SWINAS dan skuad DIAN telah digerakkan untuk mendekati dan membina kepercayaan mereka terhadap perjuangan Puteri. Dengan sinergi tersebut, saya yakin, kita akan mampu menarik mereka untuk lebih berkeyakinan dengan kepimpinan Barisan Nasional.

    Para pewakilan dan pemerhati sekalian,

    Kalau Mencari Tempat Mandi
    Pertama Teluk Kedua Pantai
    Apa guna Memimpin Puteri
    Jika tempat Sendiri Tergadai

    Cukup besar maknanya menjadi pemimpin Puteri. Namun tiada ertinya memimpin Puteri jika tidak dapat menambah kerusi dalam pilihan raya akan datang. Oleh sebab itu, dari sekarang, Puteri perlu memperkukuh jenteranya. Dengan ini, saya bersama barisan kepimpinan Puteri melihat soal latihan dan pengkaderan adalah tindakan yang sangat penting.

    Oleh sebab itu, Puteri UMNO menyambut baik usaha Biro Latihan Umno Malaysia dengan pelaksanaan KERIS 2314. Sebanyak 177 bahagian telah menjalani kursus tersebut. Seramai 3,556 orang ahli Puteri telah menyertai KERIS 2314. Program yang mendapat seliaan langsung YAB Datuk Zahid Hamidi ternyata begitu menjanjikan suatu gelombang baru dalam UMNO. Melalui konsep yang berbeza daripada modul latihan sebelum ini, saya yakin, ada keperluan untuk diperluaskan. Malah, golongan pelapis baru akan dapat mengisi kekosongan yang nanti akan berlaku akibat proses transisi dalam Puteri.

    Apa pun, Puteri hanya berjaya memberikan impak yang besar jika kita berjaya mengukuhkan kekuatan dalaman. Sebagai Ketua Puteri saya tahu saya tidak keseorangan. Saya sentiasa bersama keluarga UMNO iaitu keluarga besar saya yang memberi semangat. Saya bukan sahaja mengambil alih jawatan ini tetapi saya memikul amanah dan tanggungjawab yang besar dengan seikhlas hati demi memastikan kebajikan ahli-ahli Puteri serta UMNO sentiasa terpelihara dan dihormati selalu.

    MENDEPANI CABARAN MASA KINI

    Sidang pewakilan yang dirahmati oleh ALLAH sekalian.

    Kerisauan orang muda di Malaysia kini adalah tekanan kos sarahidup yang meningkat, pada masa yang sama, kadar penganguran yang membimbangkan menjadi punca kepada kegelisahan rata-rata orang muda. Warga kota kini amat terkesan dengan ketakstabilan ekonomi yang ketara. Bagi mereka yang baru merancang untuk memulakan kehidupan berkeluarga, beban kos sara hidup yang tinggi adalah perkara yang perlu diambil kira.

    Puteri melihat perkara utama yang mempengaruhi kos kehidupan wanita muda adalah pendapatan bulanan yang tidak seimbang dengan keperluan kos sara hidup yang merangkumi kos pengangkutan dan tempat tinggal serta keperluan untuk menyimpan untuk masa depan.

    Pemerkasaan sistem pengangkutan awam perlu menjadi agenda utama kerana ia merupakan nadi kehidupan seharian masyarakat. Kami mendesak pihak kerajaan melalui SPAD untuk mengkaji semula dan merationalisasikan kenaikan harga pengangkutan awam yang membebankan pengguna melalui kenaikan tambang LRT serta ERL yang mendadak serta pengenalan tambang yang agak tinggi bagi perkhidmatan baru iaitu Bus Rapid Transit (BRT) .
    Kadar tambang yang bagaikan sedang meraikan musim kenaikan harga memberi kesan yang sangat mendalam kepada orang muda. Namun, Pergerakan Puteri UMNO menyambut baik langkah Prasarana Malaysia Berhad yang menawarkan pakej diskaun kepada golongan pelajar, warga emas dan OKU. Puteri berharap tawaran ini turut dilakukan oleh semua syarikat pengendali perkhidmatan pengangkutan awam.

    Statistik menunjukkan lebih 50% pengguna pengangkutan awam adalah dari kumpulan umur dibawah 35 tahun dan 52% pengguna tersebut adalah golongan pelajar. Kita perlu sedar bahawa matlamat memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam adalah agar kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan melalui lebih banyak pilihan mod pengangkutan dengan kos yang berpatutan untuk menjalankan aktiviti seharian. Jika kita gagal menarik minat kumpulan sasaran ini, matlamat jangkapanjang untuk menjadikan sistem pengangkutan awam sebagai pilihan nombor satu tidak akan dicapai dan ini akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam merealisasikan matlamat pembangunan lestari yang merupakan tren pembangunan global.


    Bagi meringankan beban kos sara hidup, Puteri juga mencadangkan agar program Kedai Rakyat 1 Malaysia diperkasakan lagi. Ini perlu melibatkan penambahan jumlah cawangan serta penawaran lebih banyak produk dari jenama-jenama pilihan utama rakyat.

    Puteri memohon agar masyarakat diluar sana tidak terpengaruh dengan propaganda negatif yang dimainkan oleh pihak tertentu untuk mengagalkan usaha murni ini. Konsep Kedai Rakyat 1 Malaysia adalah bertujuan untuk meringankan beban serta menzahirkan kesejahteraan rakyat.

    Mengenai isu perumahan, ada keluhan akar umbi yang mengatakan, “rumah yang dibina hari ini bukannya rumah yang mampu milik, tetapi rumah yang mampu tengok”.

    Atas dasar Puteri Peduli, saya ingin menyeru kepada para perwakilan agar marilah kita....

    “Berfikir diluar kotak, berenang dilautan biru” agar cabaran ini dapat kita ubah menjadi peluang untuk memperkasakan perkhidmatan demi untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

    Sahabat Perwakilan Puteri Sekalian,

    Kita amat bertuah kerana selama hampir 20 tahun, kadar pengangguran negara telah dapat dikawal dan kekal pada tahap dibawah 4%. Ketika ini kadar pengangguran negara adalah pada tahap 3.1%.

    Sekirannya kita ingin memperkukuhkan ekonomi bumiputera, maka kita hendaklah menumpukan kepada bidang perkerjaan dan juga peluang perniagaan. Dengan penyelesaian terhadap dua isu ini, sekaligus kita dapat mengatasi dua isu tersebut iaitu pertama kemisikinan atau isu rendah pendapatan, dan yang keduannya jurang yang lebar. Maksudnya di sini, apabila pendapatan telah meningkat, maka dengan sendirinya akan dapat mengatasi isu getir, iaitu kos sara hidup yang tinggi.

    Setakat tahun 2015 jumlah pengangguran dinegara kita adalah seramai 454,000 meningkat 9.2% dari tahun 2014. Lebih 67% daripada jumlah tersebut adalah bumiputera.

    Dari DNA gunatenaga perkerja Malaysia menunjukkan 67% pekerja di malaysia adalah bumiputera. 72% adalah pekerja makan gaji, 3% adalah majikan,4% adalah pengurus. Di mana, 65% daripada pekerja makan gaji adalah bumiputera. Lebih menyedihkan 48% gaji permulaan bumiputera kurang dari RM1500 sebulan.

    Oleh yang demikian, Pergerakan Puteri Umno Malaysia mancadangkan untuk mengambil beberapa langkah pro-aktif serta bersifat tindakan penyelesaian jangka panjang boleh diambil dengan agar isu pengangguran ini dapat dibendung sebelum parah demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang mapan.

    Yang pertama Puteri mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan kaunseling pekerjaan seawal peringkat sekolah menegah lagi supaya pelajar-pelajar tersebut tidak salah memilih jurusan atau bidang yang tidak megikut kehendah pasaran hari ini dan pada masa yang sama mengambil kira minat dan bukannya memenuhi impian keluarga semata-mata.

    Yang kedua mewujudkan penglibatan secara menyeluruh pihak IPT dalam memberi pendedahan dan siapsiagaan pelajar-pelajar dalam menempuh alam pekerjaan kepada pelajar dalam masa yang sama membantu penempatan pekerjaan kepada pelajar. Disini Sekretariat Mahasiswi Nasional (swinas) boleh memainkan peranan dalam membantu bahagian hal ehwal pelajar (HEP) dalam merealisasikan usaha ini.

    Pada masa yang sama Pergerakan Puteri Umno Malaysia menyambut baik usaha Kerajaan telah mengambil langkah jangka panjang dengan menaik taraf dan memperkasakan sistem Pendidikan Teknikal dan Vokasional. Bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia, langkah ini sekaligus meluaskan kebolehpasaran tenaga kerja negara. Pendidikan lepasan menengah dan tertiari akan menjadi pemangkin kepada satu perubahan di mana keperluan tenaga mahir dan separa mahir yang diperlukan oleh industri dilihat dapat menjana perkembangan ekonomi yang lebih mapan. Dan kami berharap agar para majikan tanpa mendiskriminasikan Gender. Data menunjukkan 57% lulusan tertiari yang menganggur adalah wanita.

    Selain itu Bidang keusahawanan juga sebenarnya semakin mendapat tempat dihati anak muda Malaysia. Penglibatan mereka didalam industri kecil dan sederhana akan memantapkan ekonomi negara. Namun keluhan sering terdengar mengenai kepayahan untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan.

    Oleh yang demikian, bagi memperkasakan bidang keusahawanan di kalangan wanita muda kamiPergerakan Puteri UMNO Malaysia mencadangkan supaya kerajaan memastikan pakej bantuan perniagaan yang lebih bersifat menyeluruh dapat ditawarkan agar permohonan perniagaan bersekala kecil atau sedarhana mendapat memberi manfaat selain memudahkan urusan tersebut..
    Oleh yang demikian latihan yang berkualiti mengenai ilmu perniagaan juga harus ditekankan agardapat membantu golongan muda menceburi bidang perniagaan sekaligus dapat mengurangkan masalah penganguran.

    Sebagai contoh, seorang surirumah atau graduan yang menganggur boleh memulakan perniagaan dari rumah jika mereka mendapat latihan pemasaran media sosial yang berkesan. Ianya juga bukan hanya dapat mengurangkan kadar pengangguran secara berkesan, malah tekanan kos sara hidup keluarga juga dapat diringankan. Seterusnya kita dapat meningkatkan produktiviti rakyat Malaysia.


    PEMERKASAAN KELUARGA MUDA

    “SOAL KELUARGA ADALAH SOAL NEGARA
    SAYANG KELUARGA BERERTI SAYANG NEGARA
    SAYANG NEGARA JAGALAH KELUARGA”

    “SEKIRANYA NEGARA TIDAK PRIHATIN TENTANG KELUARGA, BERERTI NEGARA TIDAK PRIHATIN MENGENAI SOAL TERPENTING TERBINANYA SESEBUAH NEGARA”

    Saya yakin wanita muda hari ini bijak dalam menangani kerenah dan menepis cabaran kehidupan. Malah cabaran hidup kekeluargaan yang merempit di celah-celah tumpuan kerjaya juga mampu disantuni.

    Namun, bila kita bicara tentang memaksimakan produktiviti wanita muda, menjadi cabaran kepada wanita muda untuk membuat pilihan antara keluarga dan kerjaya, seharusnya perkara ini dapat dikurangkan ketahap paling minimum.

    Dengan ini Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menyeru kepada semua pihak yang terlibat supaya dapat memberi kerjasama dalam memastikan polisi tempat kerja yang berpaksikan mesra hidup kekeluargaan.

    Antara contoh polisi yang boleh dilaksanakan adalah seperti memperbaiki perlaksanaan waktu kerja anjal. Waktu mula dan akhir kerja yang berbeza hanya 30 minit belum cukup mampu memberikan kesan yang diharapkan. Oleh itu Puteri mahu polisi ini ditambah baik agar produktiviti tempat kerja seiring dengan pembangunan keluarga secara berkesan dapat direalisasikan.

    Puteri UMNO juga mahu menyarankan agar majikan dengan kerjasama pihak yang berkepentingan menyediakan pusat penjagaan dan asuhan kanak-kanak di tempat kerja. Dengan kewujudan TASKA di tempat kerja, pelbagai masalah akan dapat dikurangkan. Misalnya, perjalanan waktu pagi akan lebih lancar memandangkan anak-anak dan ibu menuju ke lokasi yang sama. Kos pengangkutan juga akan berkurangan. Hal seperti ini akan memacu produktiviti dan mewujudkan satu iklim pekerjaan yang lebih sihat.

    Selain TASKA, Pergerakan Puteri juga ingin menyarankan agar setiap pejabat dan lokasi strategik menyediakan bilik penyusuan bayi dan ruang penyimpanan susu. Dengan cara itu, aktiviti penyusuan akan dapat dilakukan dengan lebih selesa dan bukan lagi dilakukan secara tersembunyi di dalam bilik stor atau di tandas.
    *Saya mengucapkan tahniah kepada ibu-ibu muda yang turut membawa anak kecil pada hari ini.

    Pergerakan Puteri UMNO Malaysia juga mahu menarik perhatian pihak majikan, sama ada kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan mengenai keperluan melaksanakan polisi bekerja dari rumah. Memang kita sedar kebanyakan majikan bimbang bila berkerja dari rumah pekerja mungkin susah dipercayai sama ada pekerja tersebut akan melaksanakan tugas atau membuat kerja lain. Kami lihat kebimbangan tersebut berasaskankepada ketidakyakinan dan ketidakpercayaan.

    Puteri percaya jika polisi ini boleh diubahsuai sebagaimana yang telah dilaksanakan dibeberapa Negara maju. kerajaan harus memain peranandalam perubahan ini agar dapat mewujudkan suasana saling percaya antara pekerja dan majikan.

    Selain itu, Puteri sedar akan cabaran sesebuah institusi kekeluargaan akibat perkahwinan jarak jauh. Isu penempatan tempat bertugas dikalangan guru-guru muda menjadi cabaran buat mereka. Cabaran tinggal berjauhan disebabkan faktor kerjaya menjadi satu dugaan yang sangat kuat kepada pasangan ibu muda yang menempuh perkahwinan jarak jauh terutama Guru-Guru muda yang baru melangkah ke alam kerjaya.

    Mengikut data yang dikeluarkan pada 1 Oktober 2015 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seramai 12,593 permohonan yang dibuat dan hanya 1,361 sahaja yang diluluskan. Selain daripada itu banyak kes-kes sosial yang berlaku antara lain meningkatnya kes penceraian, kemurungan dan ada yang sanggup sehingga membunuh diri disebabkan tekanan yang melampau.

    Puteri sedar menjadi cabaran kepada mereka agar terus kuat semangat dan berdikari untuk menguruskan dirinya ketika berjauhan dengan keluarga, apatah lagi ketika dirinya ditimpa musibah atau masalah yang memerlukan keluarga sebagai tempat untuk mengadu.

    Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan kerana keperihatinan beliau yang memandang serius duka-lara dan rintihan golongan pendidik muda.

    Sememangnya isu ini telah lama menjadi perhatian yang serius. Seharusnya guru-guru muda ini tidak dibelenggu permasalahan yang menggugat profesion mereka sebagai seorang pendidik. Di awal perkahwinan permasalahan seperti ini sepatutnya dielakkan, ini kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain dalam apa jua keadaan sekali pun demi keharmonian rumah tangga dan kesempurnaan mengalas tanggungjawab sebagai seorang pendidik.
    *Berdasarkan pengalaman saya sendiri, didatangi oleh seorang ibu yang menangis semasa di Airport Subang....

    Masalah Ini bukan hanya dialami oleh guru-guru muda malah berlaku kepada doktor, golongan profesional muda dan golongan bukan profesional yang melibatkan generasi muda masa kini.

    Pergerakan Puteri Umno berharap tindakan yang dibuat oleh kementerian pendidikan untuk mencari kaedah terbaik, menyelesaikan masalah ini sekaligus menjadi contoh kepada kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan.


    PERTINGKATKAN KESELAMATAN DALAM DAN LUAR NEGARA

    Sidang Perwakilan dan pemerhati yang saya kasihi sekalian,

    Saban hari ada saja berita yang melibatkan keganasan terhadap wanita. Malah Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kejadian yang amat memilukan apabila seorang kerani wanita berusia 29 tahun yang telah dirogol dan dibunuh. Lebih malang sekali beliau dibunuh di rumahnya sewaktu enjin kereta masih terpasang diluar rumah.

    Terkini, isu terbaru yang dialami oleh ZK, NKPUM sendiri. Keretanya telah diserang, menggunakan tungkul besi dan beliau turut dirompak. Kejadian ini telah mengakibatkan beliau mengalami trauma untuk keluar bersendirian.

    Saya pasti,ramai antara kita mahupun keluarga terdekat kita pernah menjadi mangsa jenayah.

    Jenayah keganasan terhadap wanita semakin membimbangkan. Berdasarkan statistik PDRM sehingga September 2015 sebanyak 2,528 kes keganasan rumah tangga telah direkodkan. Bagi kes rogol pula, rekod menunjukan sebanyak 1,625 kes. Manakalah sebanyak 230 kes gangguan seksual telah dilaporkan.
    Puteri peduli serta memandang berat perkara ini dan berharap pihak yang berwajib memandang serius perkara ini agar keselamatan wanita muda diberi pehatian yang sewajarnya. Selari untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya wanita dalam dalam usaha untuk memberi pendedahan tentang betapa pentingnya seseorang wanita mempunyai pengetahuan mengenai pencegahan, perlindungan dan pemulihan serta berharap penglibatan kaum lelaki dalam usaha mencegah jenayah keganasan wanita.

    Sidang Sahabat sekalian,

    Demi memastikan keamanan dan kedaulatan berterusan bumi Malaysia serta Sabah khususnya, kami berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri dan seluruh kepimpinan atas segala keprihatinan serta komitmen dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air.

    Saya juga berterima kasih kepada YB Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, kerana memberi kepercayaan kepada saya bersama-sama beliau dalam lawatan kerja ke Filipina pada Mac yang lalu. Saya dapat lihat sendiri bagaimana kita memulakan perbincangan dengan Setiausaha Gazmin (Setiausaha Pertahanan Filipina) mengenai rancangan kerjasama untuk menyusun peronda laut di Lautan Sulu demi keselamatan perairan negara khususnya di Sabah.
    Kerjasama tersebut sebagai titik permulaan terhadap Kesedaran Domain Maritim (Maritime Domain Awareness) bagi menghalang ancaman bukan tradisional serta isu-isu lain yang berkaitan dengan keselamatan maritim. Dan ini hanyalah salah satu daripada pelbagai lagi siri dan pelan pengukuhan pertahanan negara khususnya di sempadan laut.

    Apa yang lebih penting, melalui lawatan tersebut, saya dapat melihat sendiri perbincangan yang memerlukan strategi, memerlukan sensitiviti dan memerlukan kerjasama dari dalam mahupun luar Negara.

    Sebenarnya isu pertahanan dan keselamatan adalah isu yang amat rumit dan besar. Ia bukan sahaja berkisar peluru dan senapang, malah berkaitan bom dan jet pejuang. Ia jauh lebih kompleks dari apa yang kita sangkakan dan tidak semudah itu yang kita dengar seperti yang dimomokkan oleh pihak pembangkang.

    Pada mereka, ia hanyalah satu lagi episod drama Kerajaan. Kononnya nyawa anggota keselamatan kita ini adalah taruhan dan buah catur yang kita boleh gerak-gerakkan demi kepentingan politik dan akhirnya temberang mereka sendiri yang pecah. Belang mereka semakin terserlah.


    Siapa yang hari ini menjadi musuh dalam selimut? Dan siapa pula yang kemudian berpura-pura menangis bila kerajaan ingin mengambil tindakan tegas kerana kebiadapan mereka berpeluk mesra sambil menikmati santapan enak dengan anak musuh negara? Merekalah pelakon sandiwara sebenar. Jangan dilupa bagaimana mereka mencaci dan menghina anggota keselamatan yang berhempas pulas menjaga keselamatan Negara dari diceroboh dan dipermainkan oleh pihak luar.

    Saya harap yang kesemua ini boleh menjadi gambaran yang menunjukkan keprihatinan dan sikap kepimpinan kita yang sentiasa meletakkan kepentingan negara melebihi dari perkara yang lain dan yang lebih penting, janganlah kita termakan hasutan serta menjadi agen penyebaran maklumat palsu tanpa kita sedar ianya hanyalah diperdaya oleh permainan licik mereka.

    Dewasa ini perkembangan teknologi komunikasi tanpa sempadan memberi cabaran baru didalam isu keselamatan negara. Peperangan alaf baru menentang keganasan dan extremism (counter-violence and extremism (CVE)) bukanlah sekadar dari bentuk fizilkal tetapi juga ideologi.


    Tindakan menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak berkuasa adalah kesalahan yang harus kita elakkan. Semua rakyat Malaysia terutama ibu bapa harus memastikan keadaan yang harmoni dan penuh kasih sayang wujud dalam keluarga bagi menangkis sebarang ruang dari idea keganasan yang ekstrim dari menyusup masuk kedalam minda ahli keluarga kita.

    Kumpulan Militan Negara Islam - IS - adalah antara contoh yang paling tragis. Mereka telah berjaya merekrut penganut Islam termasuk rakyat Malaysia dalam perjuangan songsang mereka. Mereka telah secara efektif memanfaatkan sepenuhnya media sosial dalam penyebaran fahaman bersifat songsang. Hasilnya ada rakan-rakan kita yang telah terpengaruh dan bersama mengangkat senjata. Lebih menyedihkan apabila terdapat wanita yang terpengaruh dan akhirnya menjadi mangsa perjuangan songsang, Jihad Cinta.

    Justeru itu, saya amat bersetuju saranan YAB Menteri KDN untuk menghentikan penggunaan terma Islamic State ini dan digantikan kepada Daesh adalah satu permulaan yang baik untuk menentang habis-habisan demi menjaga maruah dan kesucian agama Islam.


    DAULATKAN ISLAM AGAMA NEGARA

    Ahli-ahli perwakilan yang saya kasihi,

    Kita perlu sentiasa bersyukur kerana, agama yang sedang kita anuti bersama ini iaitu agama Islam, telah diperuntukkan secara khusus didalam Perlembagaan. Kita jaga agama islam, biar sentiasa hidup dalam jiwa kita. Kita pelihara agama islam, agar kita tidak jatuh tersungkur dan tersimpang. Begitu juga UMNO, nilai-nilai yang ditekankan didalam Islam kita sebatikan didalam setiap pelan dan tindakan.

    UMNO sentiasa mendokong dan mengangkat hikmah-hikmah Islam ini sejak sekian lama. Sejarah dunia juga telah berjaya membuktikan, ketamadunan Andalusia yang kental membawa kegemilangan tamadunnya. UMNO turut inginkan impian yang sama.

    Justeru, apabila Islam disebutkan secara khusus sebagai agama persekutuan. Sewajarnya saya, anda dan kita semua puteri-puteri UMNO mengenggam tangan seeratnya untuk menjaga kemulian agama ini. Bak pesanan Naib Presiden kita, DSZH “Gunakan Politik untuk menjaga dan memperkukuhkan agama kita, bukan jadikan agama alat untuk memperkukuhkan politik kita”.

    Namun puteri-puteri sekalian, jauh disudut hati saya. Saya turut rasa terkilan dengan segelintir pihak yang seringkali dan begitu gemar memperlekeh usaha kita dalam memelihara kemuliaan Islam ini.

    Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
    Majlis-majlis Agama Negeri
    Jabatan-jabatan Agama Negeri

    Institusi-institusi ini mula diserang, dipersoal dan diperlekeh. Mana pergi janji kita konon pejuang agama? Mana sikap penduli kita?

    Tindakan-tindakan ini jelas memperlihatkan, kita lebih gemar menggunakan mata lalat berbanding mata lebah. Ingatlah semua puteri-puteri kesayangan, institusi Islam jangan sekali-kali dipandang rendah. UMNO sentiasa mendokong perjuangan memperkasa agama Islam. Buktinya, pengurusan haji dibawah kelolaan Tabung Haji telah diiktiraf sebagai yang terbaik oleh badan pengurusan dunia. Kita juga diangkat sebagai pengeluar produk hub halal. Soal kewangan Islam pula, kita menjadi peneraju ke hadapan sebagai rujukan. Inilah bukti-bukti pembangunan dan kemampanan Islam yang giat diusahakan.


    Para perwakilan puteri-puteri UMNO sekalian,

    Dibawah perjuangan puteri UMNO, kita juga menyahut seruan memperkasa agenda Islam. Kerana kita sentiasa percaya, Islamlah ad-din yang paling diredhai oleh Allah. Membawa cahaya dalam gelapnya sebuah kehidupan.

    Puteri UMNO juga sedar dan peduli, ada dalam kalangan masyarakat kita yang perlukan bimbingan. Oleh itu, satu unit khas telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO. Sebuah unit yang digelar “Daulatkan Islam Agama Negara”. Visi kita adalah memastikan ia menjadi obor pencerahan Islam agar lebih berkesan.

    Andai ada yang mempersoal kedudukan Islam didalam Perlembagaan, DIAN hadir memberi pencerahan terperinci. Andai ada yang keliru tentang status Islam di negera ini, DIAN hadir memberi pencerahan kefahaman kepada mereka. Dan akhirnya, aspirasi kita, impian kita, dan harapan kita untuk ‘Daulatkan Islam Agama Negara’ menjadi sebuah kenyataan.


    Sahabat-sahabat pimpinan Puteri sekalian,

    Puteri UMNO tidak berhenti setakat itu, Pergerakkan Puteri UMNO turut melancarkan TRAPI. Sebuah Program Transformasi Pemikir Islam.TRAPI menginginkan agar kewujudannya bukan sahaja dapat menjelaskan dan membongkar ancaman-ancaman terhadap agama Islam didalam Perlembagaan bahkan menyekat dan membendung daripada lebih berleluasa.

    Puteri-puteri UMNO sekalian,

    Mengapakah saya begitu menekankan soal menjaga kedaulatan agama Islam didalam Perlembagaan? Kerana saya percaya, diluar sana ada tangan-tangan hitam dan kotor yang cuba membuat ancaman. Mengganggu gugat kedudukan agama Islam ini. Saya berharap, 2 badan dibawah pergerakkan puteri UMNO ini dapat menyekat tindak-tanduk mereka. Dan saya sangat berharap, kita semua puteri-puteri UMNO turut bergerak seiringan, menjaga, berdiri teguh, bersatu dan kekal kukuh mempertahankan agama mulia ini. Agama Islam! Agama rasmi persekutuan!


    POLITIK PERPECAHAN & KEBENCIAN

    Ketika mengambilalih tampuk pemerintahan negara, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah menetapkan pentadbirannya berpaksi atas moto perjuangan - 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Langkah ini diambil untuk memastikan sebuah pentadbiran yang inklusif, agar setiap rakyat Malaysia tidak tertinggal di dalam arus pemodenan negara.

    YAB PM telah memperkenalkan 2 landasan utama untuk memacu perubahan dan memangkin penambahbaikan negara. Dengan melancarkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Keduanya adalah usaha menyeluruh yang akan merubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

    Ahli-ahli UMNO mesti mendukung usaha transformasi negara dan inilah bukti bahawa parti ini amat bertanggungjawab ke atas pembangunan negara. Justeru, saya mengharapkan setiap rakyat tampil memberikan pandangan serta maklumbalas yang konstruktif terhadap pelaksanaan pelan transformasi ini. Sekiranya terdapat kekurangan, teguran bersama cadangan-cadangan yang membina, amat digalakkan.

    Sebagai sebuah negara demokrasi yang bertamadun dan matang, perbincangan intelektual perlu mengambil tempat dalam membincangkan keberkesanan dan pencapaian segala polisi serta program yang telah, sedang dan akan dilaksanakan. Disinilah sepatutnya medan perdebatan nasional berlaku.

    Malangnya, suasana politik di Malaysia pada hari ini mempamerkan satu sindrom politik perpecahan dan kebencian yang seolah-olah menjadi asas perjuangan parti politik pembangkang.

    Politik perpecahan dan kebencian ini berpaksikan amalan memfitnah, mencaci maki serta mempromosikan pemikiran ekstrem. Politik tidak matang ini sudah pastinya memberi kesan yang cukup mendalam kepada pengikut dan penyokong mereka. Realitinya, memang amat mudah untuk merangsang perpecahan dan kebencian. Hanya dengan berbekalkan kepetahan berkata-kata di tempat awam, kedai kopi dan pentas ceramah, matlamat ini mudah capai.

    Namun begitu, bagi tujuan mempromosi politik kemajuan dan kemakmuran, ia memerlukan kombinasi ilmu pengetahuan, daya fikir kreativiti dan inovasi, perlakuan yang berhemah serta kemampuan menghayati perbincangan intelektual adalah bersandarkan kepada kematangan fikiran.

    Kemampuan berhujah secara rasional dan ‘substantial’ atau berfakta yang perlu menjadi pegangan! Kami ingin mengingatkan mereka bahawa tindakan mereka boleh memberi kesan signifikan jika tidak dibendung dan boleh menimbulkan provokasi, kebencian dan kemarahan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

    Setiap seorang daripada kita perlu memikul tanggungjawab ini. Ingatlah, kita terpaksa melalui jalan yang perit serta masa yang panjang untuk memperbaiki semula segala kemusnahan, membina semula kepercayaan dunia serta menyulam semula kerosakan hubungan sesama rakyat suatu ketika dahulu. Tiada siapa yang menang daripada peristiwa itu.

    Sebagai rakyat Malaysia yang mendokong Rukunegara yang kelima, KESOPANAN & KESUSILAAN. Kami amat tersentak dan hampa bila terbaca kata-kata nista yang dilemparkan oleh sesetengah pengguna media sosial. Cara mereka melahirkan kritikan serta penghinaan yang mereka hamburkan amat bercanggah dengan etika dan adab sebagai seorang insan apatah lagi rakyat Malaysia.


    Lebih mendukacitakan apabila ada di antara mereka ini bertindak biadap dengan mengkritik dan menghina Institusi Diraja yang memayungi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan Negara. Tindakan ini tidak bolehdimaafkan. Puteri UMNO mendesak pihak yang berkuasa mengambil tindakan yang sekeras-kerasnya terhadap individu-individu yang tidak menghormati institusi beraja ini. Walau apapun yang terjadi, kesucian Institusi Diraja mestilah dijaga kehormatannya. Setiap rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab dan fahami prinsip ini.

    Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memohon masyarakat di negara ini supaya tidak terpengaruh dengan sentimen politik perpecahan dan kebencian bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negara. Beradab dalam perbincangan ianya tidak menjadikan kita manusia kaku. Kritik dan berilah pandangan pada sesuatu yang wajar diperbetulkan. Sebagai umat Islam kita diajar untuk memperbetulkan keadaan jika berlaku kepincangan dalam masyarakat. Namun, lakukannya dalam lingkungan adab dan akhlak yang mulia. Ingatlah bahawa fitnah itu lebih kejam dari membunuh.


    Perbezaan politik dan pandangan bukanlah alasan untuk kita kehilangan nilai kesopanan. Semua anggota masyarakat harus memerangi polemik kotor ini. Dan para pemimpin dari semua lapisan masyarakat haruslah menunjukkan contoh dan tauladan yang baik. Apalah gunanya bergelar pemimpin jika kita hanya mampu memecah dan gagal menyatukan. Ingatlah, dihujung cerita - kita semua adalah SAUDARA SEWARGANEGARA.


    BAHASA JIWA BANGSA

    Tingkap Papan Kayu Bersegi,
    Sampan Sakat Di Pulau Angsa,
    Indah Tampan Kerana Budi,
    Tinggi Bangsa Kerana Bahasa

    Barisan Srikandi Sekalian,

    Berbanding beberapa isu lain, bahasa Melayu adalah isu yang kurang diberikan perhatian dan kurang mendapat pembelaan. Pada hal kedudukan dan fungsi bahasa Melayu di sebut secara jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Pesekutuan. Jika dilihat dari sudut perpaduan kaum pula, hanya bahasa Melayu sahaja yang mampu menjadi alat pemersatu.

    Namun begitu, fungsi bahasa Melayu dalam kehidupan seharian semakin terpinggir. Masyarakat di kota-kota besar pula lebih selesa berbual dalam bahasa Inggeris atau bahasa pasar. Namun, yang lebih membimbangkan, bahasa Melayu kurang digunakan sebagai bahasa untuk bertukar-tukar pandangan dan pemikiran. Malah, dalam pelbagai perbincangan yang tinggi, bahasa Inggeris lebih banyak digunakan.


    Saya sengaja membangkitkan hal ini kerana peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa untuk menyampaikan perasaan dan fikiran boleh memberikan kesan yang buruk terhadap perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

    Lebih-lebih lagi apabila kita berbicara tentang hal-hal yang asasi seperti agama, keadilan, kemajuan, kesejahteraan, hak-hak asasi dan sebagainya. Hal-hal sebegitu sangat dipengaruhi oleh bahasa yang digunakan. Hal ini demikan kerana maksud dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu tidak sama kerana menayangkan nilai yang berbeza.

    Hal ini pernah dijelaskan oleh Prof. Wan Nor Wan Daud, yakni salah seorang murid kepada Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Untuk pengetahuan, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah dipilih sebagai tokoh UMNO kerana sumbangannya yang besar kepada dunia ilmu. Beliau juga ialah orang yang mencipta bendera dan lambang UMNO.


    Prof. Wan Nor Wan Daud menyuarakan kebimbangan beliau terhadap potensi wujudnya persengketaan akibat istilah penting difahami dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, konsep jihad. Orang Islam di Malaysia memahami jihad dalam pengertian yang luas. Sebagai contoh, jika kita mahu memajukan ekonomi dengan ikhlas, perbuatan itu juga termasuk dalam pengertian jihad. Tetapi, dalam bahasa Inggeris, yang sering menjadi rujukan rakan-rakan kita yang tidak fasih berbahasa Melayu, jihad hanya disempitkan sebagai holywar atau perang suci. Begitu juga dengan istilah ketuanan Melayu.

    Oleh kerana Puteri Peduli, dan kita lihat bagaimana sesuatu istilah itu boleh di salah faham apabila difahami dalam Bahasa Inggeris. Sebab itu, saya sengaja bangkitkan hal ini, kerana jika bahasa melayu tidak dibangkitkan, salah faham itu akan terus berlaku. Ia akan mewujudkan keadaan yang tidak harmoni dalam masyarakat.


    Saya menyarankan kepada kerajaan agar meniru pendekatan negara-negara maju dalam soal bahasa. Di Amerika Syarikat, isu bahasa tidak lagi dilihat sebagai isu perpaduan, malah sebagai isu keselamatan negara. Begitu juga dengan negara Jepun. Di Jepun, anak-anak Jepun yang tinggal lama di luar negara dianggap oleh mereka boleh membahayakan masyarakat Jepun. Lalu, anak-anak tersebut harus menghadiri sekolah-sekolah khusus bagi menjepunkan mereka setelah berpindah kembali ke negara matahari terbit itu.

    Hal ini tentunya lebih genting di Malaysia. Masyarakat kita ialah satu-satunya yang terdiri daripada pelbagai kaum yang mampu hidup aman dan damai. Tidak ada satupun negara di dunia yang memiliki bangsa besaryang berbeza agama dan bangsa dapat hidup harmoni. Ini ialah satu keadaan yang perlu dipelihara dan diperkukuh.


    SOLIDARITI BERSAMA PEMIMPIN

    Sidang Perwakilan Merah Jambu Yang saya sayangi

    Sejarah ialah guru kehidupan. Justeru, apakah yang telah sejarah ajarkan tentang negara dan politik? Sejarah dunia mengajar kita bahawa pemimpin negara hanya berjaya jika mendapat sokongan padu rakyatnya. Sejarah juga telah membuktikan bahawa mana-mana kepemimpinan negara yang gagal mendapat sokongan rakyat, lambat laun akan kecundang. Malah, lebih menggerunkan, sejarah juga mengajar kita bahawa sebuah tamadun yang hebat boleh hancur musnah oleh masalah dalaman yang serius.

    Sebagai contoh, dalam sejarah di rantau ini, Melaka pernah menjadi sebuah empayar yang besar dan kaya. Nama Melaka begitu masyhur sehingga dijuluki oleh Marco Polo sebagai “Venice di Timur”. Dalam catatan Alfonso de Albuquequer, sewaktu menyerang Melaka, dianggarkan Melaka mempunyai sekitar 8000 laras meriam. Melaka juga mempunyai angkatan laut yang kuat. Kedudukannya pula sangat strategik. Berdasarkan pelbagai keistimewaan itu, sepatutnya Melaka dengan mudah dapat berhadapan dengan angkatan Portugis yang lebih kecil. Namun begitu, mengapa Melaka kalah?


    Jawapannya adalah kerana dua faktor. Faktor yang pertama adalah perpecahan dalaman yang parah antara para pembesar. Perpecahan tersebut meruncing akibat para pembesar yang gilakan kuasa dan pangkat sehingga sanggup melakukan pelbagai perbuatan yang keji.

    Faktor yang kedua pula ialah pengkhianatan. Utimutaraja dan Nina Chatu, seorang pedagang telah senyap-senyap bekerjasama membantu dan menyalurkan maklumat kepada Portugis. Kedua-dua mereka telahpun menikmati hasil kemakmuran Melaka. Namun, apabila berada dalam suasana yang genting, mereka bukan sahaja tidak sanggup berkorban, malah, bertindak mengkhianati Melaka.

    Biarpun ini sejarah lampau, namun pengajarannya harus diinsafi oleh semua pihak. Apa yang pernah berlaku dahulu, tidak mustahil akan berlaku sekarang. Oleh sebab itulah, kita harus sentiasa merapatkan saf dan bersolidariti bersama kepimpinan yang ada sekarang ini. Kita hendaklah sentiasa awas dengan sesetengah golongan yang hanya ingin bersama sewaktu senang, tetapi meminggirkan kita ketika berhadapan dengan cabaran getir. Orang seperti Utimutaraja dan Nina Chatu, tidak harus diberi ruang dalam suasana hari ini. Watak-watak Utimutaraja dan Nina Chatu haruslah dibersihkan daripada pergerakan UMNO dalam setiap peringkat dan sayap.
    Para Perwakilan Yang Dirahmati Allah,

    Kesetiaan kepada pemimpin adalah satu perkara utama dalam Islam. Malah, pandangan ijmak ahli Sunnah wal jamaah menegaskan kepentingan untuk kita sentiasa setia dengan pemimpin yang ada selagi pemerintah tidak melakukan kefasikan secara terbuka. Hal ini menjadi asas politik Islam kerana tindakan menjatuhkan pemimpin boleh membuka pintu fitnah yang lebih besar.

    Lihat sahaja apa yang berlaku di Timur Tengah pada hari ini. Akibat perkiraan yang salah dan melampau, keadaan di Iraq dan Afghanistan lebih teruk daripada sebelumnya. Pemerintah yang zalim telah berjaya dijatuhkan. Namun, keadaan ekonomi dan politik negara-negara terbabit bertambah mundur dan teruk. Lihat juga kepada apa yang berlaku di Syria. Daripada sebuah negara yang aman dan makmur, akibat mahu menjatuhkan pemimpin mereka, fitnah yang lebih besar berlaku di Syria. Hari ini, Syria menjadi padang jarak dan padang tekukur. Kuasa asing masuk ke Syria dengan alasan untuk mengembalikan keamanan di sana. Namun, mereka mempunyai agenda yang ternyata merugikan rakyat Syria.


    Dalam konteks inilah, gesaan majoriti ulama ahli sunnah wal jamaah memperlihatkan hikmahnya. Hanya dengan kesetiaan kepada pemimpin dan sentiasa memikirkan kebaikan yang lebih besar, kewujudan sebuah organisasi seperti UMNO atau kerajaan seperti Malaysia, akan terus berlangsung. Namun, kesetiaan tersebut bukanlah pula bermakna kesetiaan membuta tuli. Sebaliknya, sebagai golongan yang mempunyai amanah dan tanggungjawab yang besar, kita semua harus bersedia untuk melakukan teguran demi kewujudan sebuah organisasi dan negara yang benar-benar berfungsi dan mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

    Dalam hal ini, Allah berfirman:

    يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِى اْلأَمْرِ مِنكُمْ
    “Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta pemimpin daripada kalangan kamu.” (Surah An-Nisaa, 4: 59)

    Dengan berpandukan semangat firman di atas, saya menyeru agar para ahli Puteri UMNO sekalian menginsafi inti pati ayat ini. Bersatu padu dan bersolidariti dengan pemimpin lebih utama daripada menjatuhkan sesama sendiri. Jangan hanya dengan kelemahan-kelemahan pemimpin kita yang kecil, kita bertindak keterlaluan untuk menjatuhkan mereka. Ayuh, dengan kesedaran ini, saya menyeru kita semua, barisan Puteri bersolidariti dengan kepimpinan dan sesiapa sahaja yang menyuruh ke arah kebaikan parti.

    Ingatlah, solidariti kepada kepimpinan sangat penting. UMNO bolehlah diumpamakan seperti sebuah rakit yang diikat oleh kesetiaan dan semangat solidariti. Jika kita bertelagah, perbuatan tersebut bolehlah disamakan seperti memotong tali yang menghubungkan kayu-kayu itu. Apabila tali diputuskan, apakah akan terjadi kepada rakit? Rakit itu akan berubah menjadi batang-batang kayu yang dihanyutkan oleh arus dan badai.

    Begitu juga dengan UMNO dan Sayap Puteri. Tanpa solidariti, UMNO dan Puteri akan goyah. Dalam jangka masa panjang, UMNO akan musnah. Apakah sahabat seperjuangan sekalian mahu melihat rakit umno kita musnah? Tepuk dada, fikirlah dengan mendalam!


    Para Pemimpin Yang Dihormati,

    Dalam UMNO ini, Puteri ibarat anak didalam keluarga. Bersama-sama mengharungi kehidupan kekeluargaan. Biasalah, hidup berkeluarga ini tidak selalunya harmoni. Kadang-kadang ada yang bertelagah, berbeza pendapat dan tidak sehaluan.

    Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Selesaikan semua isu dan permasalahan dengan baik, dengan penuh semangat kekeluargaan yang erat.

    Saya sendiri faham, permasalahan itu mungkin tidak mudah diselesaikan, namun sekurang-kurangnya angguklah demi pertalian ini, satu pertalian yang tidak bisa putus dengan konflik atau apa sahaja dugaan melanda.

    Saya akui...Mana ada keluarga yang sentiasa ceria tanpa permasalahan. Mana ada keluarga yang tidak diduga dengan konflik dan persengketaan. Namun tidak bermakna entiti didalam keluarga itu ingin berpisah. Kita juga perlu sedar, hidup ini tidak akan pernah ada yang sempurna.




    Kelemahan dan kekurangan akan sentiasa wujud dan kelihatan. Justeru, teguran perlu dilakukan untuk menampal ruang lompong yang ada. Disaat berlakunya pertelagahan dan perbezaan pendapat. Saat itu juga, setiap entiti didalam keluarga perlu untuk memainkan peranannya. Semua perlu sedar, anak-anak didalam keluarga masa kini bukan semuanya diam mengunci mulut. Bukan semua hatinya mati dengan jiwa dan rasa kepada keluarga.

    Namun, anak-anak masa kini sudah bijak dan matang. Matang dalam memberi idea. Matang dalam bersuara. Matang juga dalam membuat teguran. Ingatlah semua, teguran daripada anak adalah teguran ikhlas dan bermakna. Teguran bukan bermakna benci pada setiap ahlinya. Tetapi, kerana rasa sayang yang teramat, teguran dibuat demi kelangsungan kehidupan bagi sesebuah keluarga. Yang akhirnya, impian kita, keinginan kita dan hasrat kita untuk mengekalkan keluarga ini akan menjadi realiti. Inilah suara anak bangsu dalam keluarga, suara sayap Pergerakkan Puteri kepada keluarga UMNO.


    PENUTUP

    Secara keseluruhannya, sepanjang ucapan ini, saya telah menyentuh beberapa perkara dasar yang mesti menjadi perhatian kita semua. Apa-apa yang telah dilaksanakan dengan jaya, sebenarnya hasil kerjasama dan sokongan barisan srikandi merah jambu saya dengan sokongan padu kepimpinan tertinggi UMNO. Sungguh, saya sangat berterima kasih atas bantuan dan sokongan yang telah diberikan oleh keluarga besar Puteri ini.

    PRU14 nanti akan menyaksikan sekitar 45% daripada jumlah pengundi adalah dianggarkan mereka yang berumur bawah daripada 35 tahun. Sekiranya BN ingin menang dan memerintah lagi, seharusnya kita memberi signal yang ketara bahawa kita menyantuni golongan ini.

    Menyantuni mereka bererti kita perlukan wakil-wakil yang dapat menyelami kehidupan mereka secara dekat, memahami hasrat mereka secara tuntas dan menjiwai wawasan mereka untuk masa depan.

    Dengan ini Puteri UMNO Malaysia ingin menyarankan kepada pembuat polisi dan keputusan dalam parti, agar mengambil kira santunan anak muda sebagai salah satu strategi utama untuk memenangi PRU14.

    Maka, tidak keterlaluan jika Puteri UMNO Malaysia memohon restu agar diberi kepercayaan untuk menyantuni golongan pengundi muda ini dengan penambahan bilangan calon-calon yang dipilih daripada kalangan ahli puteri. Sekiranya fikrah ini diterima, Puteri UMNO Malaysia yakin ahli Puteri akan lebih bermotivasi untuk mempergiatkan usaha dalam mendaftarkan pengundi muda.


    BANGSAKU........INGATLAH KATA-KATA KERAMAT INI (ucapan terakhir Dato Onn Jaafar sebagai Presiden)

    Kita berkehendak supaya tanah ini terselamat dan kuat, dan hanyalah boleh jika kita bersatu padu.

    Marilah kita tunjukkan kepada dunia itu, roh dan semangat datuk nenek kita itu masih ada lagi dengan kita.

    Marilah kita tunjukkan iaitu kita masih boleh mengangkat kepala kita
    dan menatap dunia bagaimana orang yang benar dan kuat hatinya.

    Tunjukkanlah bahawa kita sebenar-benar keturunan datuk nenek kita
    yang menghadap merbahaya dengan bersatu hati.

    Bersatulah kita, seperti mana kita belum pernah bersatu
    Untukmu ku tetap berjuang.
    Untukmu semangat ini tidak akan hilang.
    Untukmu.
    Untukmu UMNO.


    Ayuh, hari esok hanya Tuhan yang tahu. Tetapi dari kita Puteri, akan kita lalui dan tempuhinya dengan penuh keberanian, demi memartabatkan agama, bangsa dan tanah air tercinta.

    Hidup Puteri. Hidup UMNO. Perkasakan Wanita muda: Satu suara, satu nada, satu gerakan! Ke arah UMNO dan Puteri yang lebih gemilang!

    Maka dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim saya rasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

    Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
  • Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO Di Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2015

    UCAPAN DASAR
    YBHG DATUK SERI PANGLIMA SHAHRIZAT ABDUL JALIL
    KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA
    DI PERHIMPUNAN AGUNG
    PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA 2015
    PADA 9 DISEMBER 2015

    TAJUK : WANITA TUNGGAK PENYATU UMNO

    Bismillahirrahmanirrahim

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

    Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadarat Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., keluarga dan para sahabat Baginda.

    Yang Berbahagia Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Napsiah Omar,

    Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Hajah Saripah Aminah Syed Mohamed,

    Yang Berhormat Wakil-wakil Ahli Majlis Tertinggi,

    Yang Berhormat Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Dun,
    Barisan Pegawai-Pegawai, Ahli-ahli Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,

    Para perwakilan yang saya kasihi,
    Dif-dif jemputan, tetamu-tetamu khas, veteran-veteran Wanita UMNO, anak-anak Nadi Negara, para pemerhati yang berada di dalam dan di luar dewan, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

    PEMBUKA BICARA

    Bukan kacang sebarang kacang,
    Kacang melilit di pohon kayu,
    Bukan datang sebarang datang,
    Datang demi parti yang satu.

    Alhamdulillah dengan Izin dan rahmatNYA, kita dipertemukan semula di Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Tahun 2015 dalam suasana penuh permuafakatan demi menunaikan tanggungjawab seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO.
    Bagi pihak barisan kepimpinan tertinggi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, saya mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran 983 orang perwakilan wanita dari 191 bahagian seluruh negara ke perhimpunan ini. Jangan lupa kehadiran puan-puan hari ini mewakili 1,339,268 (satu juta tiga ratus tiga puluh sembilan dan dua ratus enam puluh lapan ribu) ahli Wanita UMNO dengan membawa mesej dan harapan dari peringkat akar umbi.
    Para perwakilan yang dihormati sekalian,
    Kita mesti menerima hakikat bahawa dunia ini baharu, tiada siapa yang kekal melainkan ALLAH SWT yang Maha Esa. Saat demi saat keadaan sentiasa berubah, apatah lagi kita dalam arena politik. Perubahan itu datang dengan pelbagai rupa. Kadangkala kita yang membawa perubahan, dan ada kalanya kita terpaksa menerima perubahan. Yang pentingnya sebagai pemimpin UMNO apa jua perubahan yang kita pelopori maupun yang terpaksa kita lalui, mesti berpaksikan perjuangan kepada Agama, Bangsa dan Negara. Firman Allah dalam Surah al-Mu’min ayat 39:-

    “Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itu sahajalah yang kekal.”

    Para hadirin sekalian,
    Wanita UMNO kini jauh melangkah ke hadapan. Selaku Ketua Wanita, saya amat insaf bahawa saya perlu berani memimpin puan-puan untuk kita sama-sama berjuang di atas landasan yang tepat, ke arah matlamat yang jelas, bagi menentukan Wanita UMNO sentiasa dalam satu barisan dan setia kepada parti dan pemimpin sebagaimana “seikat bak sireh, serumpun bak serai”.
    Kita mesti menjadi Tulang Belakang yang mampu memberi kekuatan kepada perjuangan parti. Untuk terus relevan di hati rakyat, kita mesti sepakat, sepadu, sehati, sejiwa dan seperjuangan dalam melayari samudera keikhlasan demi memacu wanita Malaysia ke mata dunia.Di tahun ketiga pasca PRU 13, Wanita UMNO tidak penat lelah menjalankan kerja tradisi yang kini disulami dengan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan. Gerak kerja Jalinan Rakyat diperincikan ke setiap seorang pengundi. Pentadbiran dimantapkan. KPI pemimpin wanita di peringkat Pusat, Negeri dan Bahagian saya mengikutinya. Skuad Sayang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan agar dapat bertindak pantas membantu dalam situasi yang memerlukan. Syukur Alhamdulillah, Skuad An-Nur semakin diresapi semangatnya dan dirasai kehadirannya di seluruh pelusuk negara.
    Tahniah Puan-puan, saya amat berbangga di atas kekentalan semangat yang ada pada puan-puan umpama Saidatina Siti Khadijah Khuwailid, Ummul Mukminin penguat jiwa Rasulullah SAW untuk terus memimpin umat Islam di kala suka dan duka. Hakikatnya begitulah dengan kita, tiada wanita sunyilah parti, tiada wanita hilangnya seri, tiada wanita program tak menjadi.

    WANITA UMNO DI ERA DIGITAL

    Para hadirin yang dikasihi sekalian,
    Zaman beralih, musim bertukar. Dalam mendepani era digital, wanita mesti menerima cabaran dan mendakap perubahan yang hadir bersama kemajuan teknologi. Jangan kita persia-siakan peluang ini kerana kita telah diberikan pelbagai ruang dan kesempatan untuk meletakkan UMNO dan Barisan Nasional di kedudukan yang terbaik melalui rangkaian media sosial.
    Dewasa ini pengguna internet telah mencecah 2.4 bilion di seluruh dunia. Setiap hari, terdapat 1,300 pengguna baru aplikasi mudahalih didaftarkan. Setiap minit 204 emel dihantar dan jika semua video yang telah dimuatnaik di YouTube disambungkan, kita memerlukan 412 tahun untuk menonton kesemuanya. Fikirkan dan bayangkanlah betapa luasnya peluang dan cabaran yang terhidang serta betapa derasnya arus digital yang hadir dalam kehidupan seharian kita. Alangkah ruginya jika kita membiarkannya ianya berlalu begitu sahaja seperti kekabu ditiup terbang di bawa angin.
    Dalam meniti kepesatan dunia komunikasi digital ini, Wanita UMNO amat berbangga menjadi sebahagian dari jawatankuasa pelaksana kepada World Communication Forum Kuala Lumpur 2015 (WCFKL 2015) pada 28 dan 29 September 2015 yang bertemakan ‘Communication World: Changes, Challenges and Chances‘. Penghormatan kepada Malaysia sebagai tuan rumah untuk menganjurkan forum yang berprestij ini selepas enam kali ianya berlangsung di Davos, Switzerland, membuktikan kemampuan negara kita setara dan standing dengan negara-negara lain di mata dunia.

    PINDAAN AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA

    Sidang Perwakilan yang dihormati sekalian,
    Perkembangan teknologi digital yang berlaku dengan amat pesatnya menuntut wanita untuk terus mendayaupayakan diri dan memahami penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan seharian mereka. Internet dan ICT merupakan platform yang begitu berkuasa untuk menghubung rakyat dan membina masyarakat bermaklumat. Saya yakin era digital menyediakan peluang dan ruang yang membolehkan wanita dalam pelbagai bidang berhubung dengan lebih cepat (real time), tepat dan berkesan. Malah, ia mampu meluaskan keterangkuman rangkaian dan jaringan kerja serta hubungan di antara pemimpin dan rakyat di rantau ini.
    Statistik pada tahun 2014 menunjukkan bahawa 48.6% pengguna internet di Malaysia terdiri daripada golongan wanita. Oleh itu saya menyeru agar wanita mengambil peluang dalam menggunakan internet secara optimum bagi mendapatkan maklumat pembelajaran dan berkecimpung dalam bidang perniagaan secara dalam talian yang boleh menjana pendapatan.
    Namun begitu, kita juga harus sedar bahawa penggunaan internet yang tidak terkawal boleh mendatangkan implikasi yang tidak baik kepada kita dan negara. Dalam hubungan ini wanita UMNO menyokong penuh usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk meminda dan menambahbaik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998. Kami mendapat maklum bahawa KKMM melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengadakan pertemuan, perbincangan dan konsultasi dengan semua pihak berkepentingan dengan Akta ini bagi menentukan suara dan maklumbalas mereka didengar, dipertimbang dan diambil kira sebelum draf Akta dibentangkan di Parlimen nanti. Wanita UMNO memuji tindakan pro-aktif KKMM ke arah penambahbaikan Akta ini. Kami yakin engagement yang telah diadakan akan menyuburkan inklusiviti rakyat dalam bidang pembuat keputusan dimana pandangan dan suara mereka tidak diketepikan.
    Kita juga menerima cadangan YAB Perdana Menteri untuk meletakkan penanda aras antarabangsa dalam meningkatkan kawal selia internet tanpa menyekat hak pengguna internet di negara ini. Ia amat penting untuk memastikan para pengguna lebih bertanggungjawab, berintegriti dan peka terhadap maklumat yang mereka siarkan di laman sosial.
    Kita juga menyedari bahawa kepesatan teknologi perkongsian maklumat dan keterujaan untuk menjalani gaya hidup digital telah mendorong kepada penyalahgunaan fakta yang boleh mewujudkan fitnah serta masalah sosial. Gara-gara mahu menjadi yang pertama berkongsi maklumat, segelintir pengguna alam siber mengabaikan kesahihan fakta yang disebarkan. Sikap ini mencetuskan krisis komunikasi. Di alam siber, wanita merupakan kumpulan yang terdedah kepada pelbagai tindakan negatif yang boleh menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik mereka. Oleh itu ingin saya mengingatkan supaya wanita sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam setiap perkongsian maklumat dan menyuarakan pandangan atau pendapat peribadi di media sosial. Wanita jangan mudah terpedaya dengan keseronokan berkomunikasi di Internet sehingga terperangkap dalam kancah jenayah. Sesungguhnya segala bentuk perlakuan jenayah di alam siber juga boleh dikenakan tindakan sepertimana perlakuan jenayah di alam nyata.

    ASEAN KOMUNITI
    Malaysia mencatat sejarah apabila diberi tanggungjawab mempengerusikan ASEAN dan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN yang menyaksikan termeterainya Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi pembentukan Komuniti ASEAN. Wanita merasa bangga di atas pencapaian ini yang pastinya mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa. Syabas dan tahniah Wanita ucapkan di atas kejayaan cemerlang YAB Perdana Menteri dan jawatankuasa penganjur serta semua kementerian yang terlibat menganjurkan sidang kemuncak ASEAN pada 18 hingga 22 November 2015. Tahniah juga Wanita ucapkan kepada YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang turut menganjurkan program khas untuk wanita iaitu Program Voices of ASEAN Women 2015 dan The ASEAN Food Fiesta bersempena dengan sidang kemuncak ASEAN 2015. Kehadiran sebahagian besar Wanita Pertama dari negara-negara ASEAN ke program ini sudah semestinya dapat mengeratkan lagi hubungan wanita di rantau ini.
    Dalam Sidang Kemuncak ASEAN 2015, isu wanita telah diberi perhatian, antaranya penglibatan wanita dalam bidang membuat keputusan samada dalam bidang politik atau korporat yang masih rendah. Saya bimbang jika pembabitan wanita masih kurang dalam kedua-dua bidang ini, tidak mustahil suara dan perjuangan wanita dinafikan haknya dalam pembangunan negara.
    Mengambil semangat kesatuan Komuniti ASEAN, Wanita UMNO bersama rakan Wanita Barisan Nasional buat julung kalinya telah menganjurkan program ASEAN Women in Politics: Promoting Representation Through Connectivity and Innovation (WIPKL 2015) pada 17 Oktober 2015. Forum yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia turut disokong dengan kehadiran YAB Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kabinet dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Saya amat berpuas hati, WIPKL 2015 berjaya mengumpul hampir 5,000 hadirin termasuk 150 pemimpin wanita dari 25 buah parti politik negara ASEAN dan negara-negara pemerhati di antaranya China, Korea, Rusia, Palestin, Maldives dan Bangladesh.
    Semasa WIPKL 2015, topik Power of 51 dan Women At The Epicentre of Winning Elections turut diperbincangkan. Walaupun kita ramai, adakalanya wanita tidak menyedari betapa besarnya kuasa yang dimiliki. oleh kita dalam memenangkan sesuatu pilihanraya atau memperjuangkan sesuatu isu. Saya mahu melihat wanita di semua peringkat lebih komited dan berani menyuarakan isu-isu yang membabitkan kehidupan wanita sama ada dalam politik, ekonomi atau mana-mana bidang yang berkait rapat dengan kehidupan wanita. Kita mesti berjuang ke arah Power of 51 di mana suara wanita akan berkumandang seantero dunia dan diberi perhatian.
    WIPKL 2015 juga menyentuh tentang penggubalan undang-undang atau polisi dalam mempertingkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan. Contohnya, Filipina menyediakan kuota kepada wanita mewakili pelbagai lapisan masyarakat sebagai calon pilihanraya, dan yang terbaharu, Kanada, membariskan 50% ahli kabinetnya terdiri daripada wanita. Justeru, saya menggesa kepimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional memberikan perhatian kepada trend memperkasakan penglibatan wanita yang berlaku di seluruh dunia dan mempertimbangkan polisi sekurang-kurangnya 30% calon wanita untuk Pilihanraya Umum ke 14 nanti.
    Wanita UMNO juga menyedari pendekatan dan pemikiran anak-anak Gen Z dan Milennial jauh berbeza dari generasi sebelumnya. Keterbukaan dan pendedahan kepada pelbagai senario dunia menjadikan mereka lebih kritikal dan analitikal. Oleh itu, kita mesti memahami dan mendekati agar mereka menjadi pemimpin yang menghormati kita dan pada waktu yang sama bersedia untuk mentadbir urus negara. Jangan kita takut dengan anak-anak kita. Kita kan ibu. Kita mesti mendidik mereka dengan ilmu pengetahuan. Percayalah kita mampu untuk membimbing mereka ke jalan yang baik dan diredhai.
    Tahniah dan terima kasih tidak terhingga kepada barisan ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus berkorban masa dan tenaga bagi memastikan kesempurnaan penganjuran WIPKL 2015. Alhamdulillah, satu Cadangan Bersama (Joint Recommendation) yang disepakati dalam WIPKL 2015 telah dihantar kepada Sekretariat ASEAN. In Sha Allah, WIPKL akan diteruskan pada tahun 2016.


    IKLIM EKONOMI NEGARA

    Para Perwakilan yang dikasihi,
    Kita bersyukur pada hari ini Malaysia terus berdaya saing dalam kekuatan ekonomi di rantau Asia. Alhamdulillah ekonomi Malaysia tetap kukuh dan stabil dan mampu berkembang 5.3 peratus bagi separuh tahun pertama 2015 dan dijangka mencapai 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun dalam keadaan ekonomi dunia dijangka berkembang hanya pada kadar 3.1 peratus tahun ini. Pengalihan kebergantungan pendapatan negara daripada hasil petroleum kepada segmen lain telah terbukti satu keputusan yang tepat apabila harga minyak dunia terus tidak menentu. Sehubungan itu, Wanita UMNO akan terus memberikan sokongan penuh terhadap apa juga langkah dan usaha kerajaan untuk mengangkat kedudukan ekonomi negara.
    Wanita UMNO turut mengikuti perkembangan perbincangan perjanjian mengenai Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA). Menyedari apa jua keputusan yang kita ambil hari ini akan dipikul kesannya oleh generasi yang akan datang. Saya menyeru kerajaan untuk meneliti dan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara.
    Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan awal tahun ini telah mula menampakkan hasil positif kepada pendapatan negara. Hasil positif ini telah memberi keyakinan kepada YAB Perdana Menteri untuk membentangkan Bajet 2016 yang lebih mesra rakyat di mana kepentingan dan keperluan rakyat diberi keutamaan. Jangkaan pendapatan GST sebanyak 39 bilion berbanding 18 bilion jika SST terus digunapakai telah membolehkan kerajaan memberi peruntukan yang lebih besar kepada insiatif dan pelbagai bantuan terus untuk kumpulan usahawan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemupukan budaya keusahawanan, penggalakan inovasi dan mengeksport produk ke peringkat global. Wanita UMNO minta penerangan berterusan dan penambahbaikan kaedah pelaksanaan sistem percukaian GST ini lebih terancang dan teliti supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dan mendera rakyat dengan harga barangan yang keterlaluan juga menyedari kebaikan sistem ini untuk jangka masa panjang.

    EKOSISTEM EKONOMI UNTUK WANITA
    Bagi mencapai Wawasan 2020 yang menyasarkan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi, sudah tiba masanya kerajaan mengiktiraf pentingnya sumbangan wanita sebagai enjin pertumbuhan utama (Key Engine of Growth) dalam pembangunan negara. Dengan iklim ekonomi dunia yang sukar diramal, kerajaan perlu menyediakan ekosistem ekonomi yang mesra wanita sekaligus dapat merealisasikan impian setiap wanita mempunyai dompetnya sendiri. Jika tidak, pasti negara akan kehilangan aset berharga yang menjadi penjana utama ekonomi.
    Saya mencadangkan Gabenor Bank Negara, yang juga seorang wanita, meneliti dan menambahbaik polisi kewangan untuk wanita terutamanya dalam bidang keusahawanan dengan mewujudkan Laluan Khas Usahawan Wanita di semua bank dan institusi kewangan. Saya yakin, jika cadangan ini dilaksanakan, ianya akan memudahkan usahawan wanita berurusan untuk membuat pinjaman perniagaan. Maklumlah naluri wanita amat pemalu, walau mempunyai bakat dan potensi, tetapi perlukan khidmat nasihat dan dorongan bagi meningkatkan keyakinan diri.
    Sebagai Penasihat Pembangunan Keusahawan dan Ikhtisas Wanita (KIW) di Jabatan Perdana Menteri, pelbagai usaha dan inisiatif dilakukan bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita di samping membantu memperkukuhkan ekosistem ekonomi keluarga. KIW telah memperkenalkan program PASARNITA yang dilaksanakan sejak tahun 2014 untuk memberi ruang dan peluang kepada usahawan wanita mempamer dan memasarkan produk mereka di samping melebarkan jaringan perniagaan masing-masing. Alhamdulilah program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Justeru pada 31 Mei 2015 YAB Perdana Menteri telah merasmikan PASARNITA Kebangsaan dengan mengumumkan Tapak Kekal PASARNITA di Kuala Lumpur. YAB Menteri Besar Terengganu turut menyokong usaha KIW dan berbesar hati menyediakan Tapak Kekal PASARNITA di Terengganu. Terima kasih di atas keprihatinan kerajaan persekutuan dan negeri dalam membantu dan memperkasakan Wanita Malaysia. YAB-YAB negeri-negeri lain bila lagi?

    Puan-puan yang saya hormati sekalian,
    Wanita mewakili sebanyak 53.6% daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 1.2 mata peratus pada tahun 2014. Sumbangan mereka ini amat signifikan dalam menjana ekonomi negara. Namun demikian lanskap kehidupan telah berubah dengan memaksa wanita untuk mengambil pendekatan berbeza dalam menangani pelbagai isu dan kekangan masa kini. Antaranya isu pembantu rumah, kenaikan harga barang dan servis, pendapatan isi rumah rumah yang rendah termasuk tuntutan kerja kurang fleksi menjadi punca penurunan produktiviti dan hilang konsentrasi semasa bekerja. Adakalanya, wanita terpaksa membuat keputusan memilih antara keluarga atau kerjaya yang akhirnya secara tidak langsung memberi impak terhadap ekonomi negara. Wanita UMNO memandang serius isu-isu ini dan bertekad untuk memperjuangkannya sehabis-habisan.
    Berdasarkan senario ini, Wanita UMNO menggesa kerajaan meneliti semula Memorandum Pelaksanaan Proses Pengambilan Pembantu Rumah Asing di Malaysia yang telah diserahkan kepada YB Menteri Sumber Manusia untuk membantu mempercepatkan solusi isu pembantu rumah. Selain itu, Wanita UMNO juga mendesak semua agensi kerajaan dan swasta untuk melaksanakan kaedah waktu kerja anjal bagi memudahkan wanita menguruskan kerjaya dan keluarga.

    KESELAMATAN & UNDANG-UNDANG JENAYAH

    Sidang Perwakilan yang dihormati,
    Keganasan tiada agama. “Terrorism has no religion”. Tidak kira di mana kita berada, keganasan seolah-olah mengekori kita. Hari demi hari, dunia semakin dikejutkan dengan episod-episod keganasan yang merencatkan impian, peluang dan perancangan dunia untuk maju. Ambillah iktibar dengan apa yang berlaku di Iraq, Mesir, Paris, Syria, Yemen, Mali dan negara-negara lain. Demokrasi, hak asasi dan kebebasan yang dilaungkan beradun dendam dan bermatlamatkan peribadi akhirnya menjadi api meranap keindahan yang lahir dari penat jerih pejuang-pejuang negara terdahulu.
    Justeru itu, Wanita UMNO mengucapkan syabas kepada Kementerian Dalam Negeri di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana bertindak tegas mengambil langkah pencegahan dalam memusnahkan benih-benih keganasan dan elemen ekstremisme.
    Wanita UMNO sedar akan ada gerakan dan komplot yang ingin menjatuhkan kerajaan juga campur tangan orang asing, tidak kira mereka dari kumpulan mana, parti apa, sama ada ahli atau bukan ahli, mereka mesti ditentang sekeras-kerasnya. Tugas ini tidak mudah, adakalanya keputusan yang tidak popular perlu dibuat demi menyelamatkan negara. Ketika ini pengorbanan perlu dilakukan demi memastikan rakyat terus dapat menikmati kehidupan yang aman dan damai.

    Sidang hadirin sekalian,
    Saya masih ingat, pertemuan saya dengan Puan Rosna Shariff, yang telah dipenjara selama 7 tahun di Peru akibat ditipu oleh teman lelakinya yang menjadikannya keldai dadah pada tahun 2012. Beberapa tahun telah berlalu, modus operandi dalang-dalang pengedar dadah ini kian menakutkan. Bukan hanya wanita berusia yang dieksploitasi, malah kini sindiket dadah semakin berani memperdaya pelajar-pelajar perempuan yang masih mentah untuk dipergunakan sebagai pengedar dadah tanpa pengetahuan mereka. Dengan diumpan wang ringgit dan dijanjikan kebahagiaan palsu, mangsa-mangsa ini berdepan dengan tindakan undang-undang yang membawa hukuman berat sekiranya tertangkap, sedangkan penjenayah yang sebenar lepas bebas menikmati keseronokan dunia dan mengaut keuntungan dari kesengsaraan mangsa.
    Cuba puan-puan bayangkan jika mangsa ini anak atau keluarga kita. Nauzubillah bagaimana trauma dan fobianya mereka serta keperitan yang ditanggung oleh mangsa dan keluarga. Kesannya bukan sahaja menggugat aktiviti harian malah menyekat perhubungan sosial dan membantutkan pertumbuhan ekonomi.
    Sudah tiba masanya kerajaan perlu memperketatkan undang-undang jenayah agar rakyat dilindungi dari sebarang ancaman jenayah. Selain itu, saya juga meminta semua Pengerusi Sekretariat di bawah Wanita UMNO Malaysia, mengambil langkah pro aktif melalui program atau kempen untuk memberi kesedaran dan maklumat kepada akar umbi tentang peri pentingnya menjaga keselamatan diri dan keluarga. Saya yakin gerakan bersepadu mengikut variasi keperluan sekretariat dapat menjadikan masyarakat lebih peka dengan kemungkinan berlakunya jenayah di sekeliling kita.

    MENYUBURKAN INTEGRASI NASIONAL (KAWAN)

    Para Perwakilan dan siding hadirin sekalian,
    Kita sedar bahawa perpaduan kaum amat penting bagi rakyat Malaysia. Segala-galanya bermula dengan perpaduan. Malaysia akan hancur jika kita benarkan anasir-anasir yang mengganggu gugat perpaduan kaum. Saya amat bimbang dengan insiden yang mencemarkan perpaduan antara kaum. Walhal sebenarnya di akar umbi, jika tidak ada yang mengusik, Malaysia masih bersatu padu. Walau berbeza budaya dan agama, kita tak boleh rasis. Dal hal ini, marilah kita berganding bahu dan bekerjasama memastikan integrasi sosial diamal dan dikekalkan.
    Saya ada menyatakan pada perhimpunan tahun lalu, “alangkah indahnya jika kita dan anak-anak kita dapat menguasai pelbagai bahasa kerana bahasa merupakan pengikat kepada keharmonian bangsa”. Malah penguasaan pelbagai bahasa adalah salah satu cara untuk menjayakan diri kita, terutama di peringkat global. Menyedari hakikat ini, Wanita UMNO telah melancarkan Komunikasi Wanita Nasional (KAWAN). KAWAN berpaksikan kepada 2 elemen utama iaitu pendidikan dan sosial ke arah integrasi nasional.
    Pelancaran KAWAN pada 18 November 2015 oleh YB Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah turut mencatat sejarah baru. Peringkat pertama menyaksikan seramai 46 orang ahli Wanita UMNO sekitar Lembah Klang berjaya menamatkan Program Mandarin Journey For Wanita (MJ4W) yang diadakan selama tiga bulan mulai Jun hingga Ogos 2015. Projek percubaan (pilot project) ini bukan sahaja memberikan kemahiran asas memahami dan bertutur bahasa Mandarin, malah pelajar dan guru-guru turut berkongsi pelbagai pengetahuan mengenai budaya masing-masing. In Sha Allah, pada tahun hadapan Wanita UMNO akan mulakan English Journey For Wanita (EJ4W), Arab Journey For Wanita (AJ4W) dan Tamil Journey For Wanita (TJ4W), serta meneruskan pembelajaran MJ4W peringkat kedua. Wanita UMNO juga akan memperluaskan MJ4W ke negeri-negeri lain.

    PEMBANGUNAN SYARIAH DI MALAYSIA

    Para Perwakilan yang dihormati,
    Kita harus bersyukur kerana kerajaan sekarang tidak pernah alpa membela hak-hak semua rakyat dan pada masa yang sama menegakkan syiar Islam yang termaktub sebagai agama rasmi negara ini. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri kerana pada Februari 2015 yang lalu, telah melancarkan Indeks Syariah yang pertama seumpamanya di dunia. Merangkumi aspek perundangan, politik, kesihatan, infrastruktur dan alam sekitar, pendidikan, budaya, sosial dan ekonomi, Malaysia akan menjadi penanda aras tahap patuh syariah yang lebih objektif dan menyeluruh. Insyaallah, kemaslahatan umat Islam di negara ini akan terus terpelihara.

    MAJLIS PEGUAM SYARIE DAN AKTA GUAMAN SYARIE
    Sebagai seorang peguam, isu-isu perundangan Islam dan di mahkamah syariah sentiasa dekat di hati saya. Cerita dari rakan-rakan peguam syarie sering sampai ke telinga dan menarik perhatian saya. Banyak rungutannya sama ada dari Peguam-peguam Syarie sendiri mahupun dari klien-klien mereka. Satu perkara yang amat jelas ketika ini adalah ketiadaan satu badan khusus yang mengurustadbir profesion Peguam Syarie ini.
    Seperti mana peguam di Mahkamah Sivil, fungsi Peguam Syarie tidak sekelumit pun kurang untuk membantu hakim menghukum dengan adil, tepat dan berkesan. Jika peguam di Mahkamah Sivil diurustadbir oleh Bar Council yang ditubuhkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976, Peguam Syarie hanya mempunyai Kaedah-Kaedah atau Peraturan yang berbeza-beza di setiap negeri yang mengawal selia Peguam Syarie. Sudah banyak gesaan yang saya dengar dari pelbagai pihak supaya penubuhan Majlis Peguam Syarie (Syariah Bar Council) direalisasikan secepat mungkin.
    Wanita UMNO juga menggesa pihak yang bertanggungjawab melihat kepada pentingnya menyegerakan kewujudan Akta Guaman Syarie agar dapat memantau dan mengawalselia peguam syarie dari pelbagai aspek. Jika dua perkara ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat, bukan sahaja kepentingan anak guam dapat dilindungi dan dibela, malah martabat dan kedudukan Peguam Syarie turut dapat dipertingkat dan dimuliakan setanding kedudukan peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Sivil.

    Puan-Puan dan sidang hadirin,
    Peranan Skuad An-Nur sebagai Sahabat Mahkamah Syariah yang menjadi mata dan telinga dalam membantu Mahkamah Syariah akan dipertingkatkan lagi. Wanita UMNO berhasrat memperlengkapkan ahli Skuad An-Nur dengan kemahiran dan pengetahuan dalam undang-undang syariah dengan harapan dapat membantu ahli keluarga yang tidak berkemampuan mendapat keadilan.
    Sebagai contoh, Skuad An-nur yang menziarahi isteri yang kematian suami, mampu memberi nasihat dan maklumat mengenai siapa dan ke mana mereka harus pergi untuk menguruskan isu berkaitan anak-anak dan harta pusaka. Selain membantu proses undang-undang, Skuad An-nur juga akan menyalurkan informasi berkenaan bantuan yang disediakan oleh badan-badan atau agensi agama seperti Pusat Zakat, Baitulmal dan JAKIM kepada mereka yang memerlukan bantuan. Alhamdulillah senyuman insan-insan yang dibantu menjadi manisan kepada kami yang menjalankan tugas demi meringankan beban masyarakat.
    Saya merancang pada tahun hadapan, In Sha Allah Sekretriat Agama akan bergabung dengan Skuad An-Nur untuk menganjurkan satu konvensyen syariah di mana isu-isu wanita dan syariah mesti diberi perhatian dan penyelesaian.


    WANITA TUNGGAK PENYATU UMNO

    Sidang Perwakilan yang dikasihi,
    Adat resam parti politik, sentiasa berhadapan dengan cabaran. UMNO sebenarnya sedang menghadapi ujian dan ini bukan sesuatu yang asing kepada ahlinya yang setia. Bermula sejak zaman awal penubuhannya, UMNO sering diuji seperti pengunduran pengasasnya Datuk Onn Jaafar. UMNO pernah diduga dengan pengharaman UMNO pada tahun 1988. Perletakan jawatan Tun Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri semasa beliau memgang jawatan Timbalan Presiden UMNO. Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjadi Timbalan Presiden UMNO oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1998 dan pelbagai lagi peristiwa kelabu dan hitam yang dilalui oleh UMNO. Kala ini kita sedang melalui saat-saat getir umpama langit akan runtuh, bumi akan rebah, sungai akan kering, laut akan kontang. Namun begitu acap kali kita menghadapi cabaran, dugaan, tentangan, tregedi, trauma, kita masih bersatu menghadapinya, ibarat Setempuh lalu, sebondong surut dan berkat kesatuan ini kita dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi.
    UMNO matang dengan jiwa yang besar, penuh dengan pengalaman yang mendewasakan, tenang dalam kesatuan yang diwariskan. Kita ikut tradisi. Kita sokong Presiden kita. Kita sokong pemimpin-pemimpin kita. Maka pada akhirnya kita mampu keluar daripada kemelut dan krisis dengan mencapai kejayaan yang membanggakan. Mentaati pemimpin menjadi kekuatan yang dicemburui mereka yang ingin memusnahkan parti yang subur dengan pejuang bangsa yang berjiwa kental. Kita mesti memberi kekuatan kepada Presiden kita supaya pembangkang di luar atau dalam parti tidak dapat melemahkan Presiden kita. Kita ibu yang menjadi tulang belakang parti. Tidakkan haus kepercayaan kami, tidakkan usai perpaduan kami demi parti UMNO yang telah banyak berbakti kepada rakyat.
    Saya nak mengajak puan-puan semua marilah kita bersatu teguh berdiri disisi YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia serta memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada beliau dengan menghayati maksud Surah An Nissa ayat 59:-

    “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.
    Mari kita wanita terus bekerja kuat dengan penuh komitmen, membela nasib rakyat, menyuburkan semangat perpaduan, eratkan tali silaturrahim, mengubah cara yang lama dengan penuh keberanian dan membawa transformasi dan inovasi di dalam UMNO seperti mana wanita dahpun mulakan. Kita sama-sama memperkuatkan kesatuan kita sendiri. Nyahlah kepada pembangkang yang tungging langgang sekarang menghadapi pelbagai masalah mereka.
    Para Perwakilan Wanita yang disayangi,
    Hari ini genap 69 tahun usia UMNO. Dalam menyusuri perjuangan diulit suka dan duka, tidak pernah sekali kami derhaka kepada parti. Kata keramat BERSETIA disemat erat membalut jiwa. Wanita sabar mencari cahaya yang pasti bersinar. Wanita percaya UMNO dikurniakan barakah, pemimpinnya hadir tepat untuk mengemudi zaman. Sokongan kita bukan membuta tuli, dukungan kita menyemarak bangsa. Jika runtuh institusi ketuanan parti, di mana letaknya kekuatan hakiki?.
    Biar Wanita mendahului memberi kekuatan kepada YAB Dato’ Sri Najib mengemudi parti. Biar wanita menjadi benteng mempertahankan parti. Kita adalah Srikandi yang mewarisi pusaka turun temurun sebagai penyatuan ummah. Kita ampuh diduga untuk terus setia, diduga untuk terus istiqamah, diduga untuk mencari yang sohih. Kala disakiti, menangislah di dalam hati. Di kala sangsi, carilah petunjuk Ilahi. Di kala marah, carilah penyejuk hati. Kuatlah Wanita. Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? In Sha Allah, Wanita UMNO akan terus kukuh mempertahankan parti, pemimpin dan membela nasib rakyat.

    Kita Wanita nadinya satu,
    Kita Wanita hatinya padu,
    Kita Wanita jiwanya tak seteru,
    Kita Wanita sentuhnya ke kalbu,
    Kita Wanita geraknya jitu,
    Kita Wanita prinsipnya terakru,

    Wahai Wanita kekal bersatu, demi perjuangan yang tak pernah layu, demi negara tanahairku!!

    Hidup Wanita!
    Hidup Wanita!
    Hidup Wanita!

    Wassalamualaikum warahmatullahi wabaratuh
  • UCAPAN DASAR
    KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
    KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
    SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG
    PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2015
    27 SAFAR 1437 / 9 DISEMBER 2015
    8.30 PAGI, DEWAN TUN DR ISMAIL, PWTC

    “IDEALISME PERJUANGAN”


    Bismillahirrahmanirrahim

    Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

    Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap
    Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap
    Wakil-wakil Majlis Tertinggi
    Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
    Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
    Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
    Para Perwakilan dan Pemerhati



    1. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Kahfi ayat 13-14, yang bermaksud: Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayat petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadaNya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.

    Sidang Perwakilan sekalian,

    2. Di dalam ayat-ayat ini, Allah menceritakan siapakah kelompok anak muda Ashabul Kahfi, yang mulia di bumi juga di langit. Mereka adalah anak-anak muda yang beriman dan berani dalam menegakkan kebenaran. Allah menegaskan mereka ini qaamu yakni bangun, peka kepada ehwal sekeliling dan tidak hanya berpeluk tubuh dan memikirkan hal kepentingan sendiri. Bahkan mereka berani berdiri demi menegakkan kebenaran berhadapan raja yang zalim. Allah juga menyebut mereka qaalu yakni berkata, dengan maksud bukan sahaja berilmu tetapi tidak berdiam diri dan membisu daripada menegakkan kebenaran dan menyanggah kebatilan.

    3. Inilah sifat-sifat sejati anak muda yang dimuliakan Allah - beriman, berani, berilmu dan tidak berdiam diri daripada tanggungjawab menegakkan kebenaran. Dalam erti kata lain, selain beriman, anak muda tidak boleh tidak punyai pendirian, sejajar dengan penegasan Rukun Pemuda kita yang pertama – berprinsip!

    4. Di pagi yang mulia dan indah ini, di atas pentas gah mesyuarat sayap hulubalang parti UMNO yang keramat ini, saya ingin mengajak kita semua – saya, barisan Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia dan saudara-saudara sekalian untuk bertanya kepada hati kita, berfikir secara jujur dan ikhlas, merenung sedalam-dalamnya, apakah sebenarnya agenda yang memandu sayap inidulu, kini, dan selamanya? Apakah sebenarnya idealisme perjuangan Pemuda UMNO Malaysia?

    5. Apabila disentuh sahaja soal perjuangan kita, sudah tentu ia tidak boleh menyimpang daripada sebab utama UMNO ditubuhkan yang termaktub dalam fasal tiga perlembagaan parti iaitu mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanah air (ABATA). Perjuangan demi ABATA ini adalah darah daging gerakan politik kita. Tiada matlamat yang lebih mulia daripada iltizam dan keazaman untuk memajukan bangsa, memelihara kesucian agama dan mempertahankan kedaulatan negara sehingga ke titisan darah terakhir.

    6. Namun demikian, perjuangan demi ABATA ini tidak akan berjaya, malah tidak akan ke mana-mana, sekiranya UMNO tiada kuasa. Tanpa kuasa politik, manakan mungkin ada senjata pentadbiran untuk kita mengangkat martabat ekonomi orang Melayu, menegakkan syiar agama Islam dan mengisi kemerdekaan watan. Namun, dari manakah datangnya kuasa politik ini? Amanah untuk mentadbir dan memerintah negara, manakah asal mandatnya? Kepercayaan untuk terus diletakkan di tampuk kepimpinan ini, restu siapa?

    7. Sedarkah kita, kuasa paling mutlak dan hakiki dalam politik duniawi adalah rakyat - bukannya pembesar, bangsawan dan kenamaan, tidak juga para Menteri, tetapi rakyat jelata. Tanpa amanah dan sokongan rakyat, perjuangan demi ABATA hanyalah retorik kerana ia menuntut kuasa pentadbiran yang juga datang hanya daripada mandat rakyat. Perjuangan demi ABATA dan sokongan rakyat tidak boleh dipisah. Justeru UMNO dan rakyat juga berpisah tiada. Di sebalik asas perjuangan agama, bangsa dan tanah air yang ditarbiyahkan ke dalam hati sanubari setiap ahli parti, jiwa UMNO sebagai sebuah parti politik Melayu sendiri tidak pernah tersasar tumpuannya kepada rakyat. Lihat sahaja slogan, gagasan, program parti dan kerajaan UMNO – tidak pernah tiada disebut rakyat: Rakyat Didahulukan, Pemuda UMNO Tradisi Membela Rakyat, Wanita Nadi Rakyat, Juara Rakyat, UMNO Membantu Rakyat (Membara), Setia Bersama Rakyat (Semarak) dan banyak lagi. Semuanya kerana rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat.

    8. Di sinilah letaknya jawapan kepada soalan yang saya ajukan tadi. Apakah idealisme perjuangan Pemuda? Pastinya untuk rakyat. Kita tidak boleh berasa bangga dalam kelompok kecil parti kita sekiranya rakyat sudah menolak kita. Apa gunanya jika hanya kuat dalam parti tetapi kalah apabila bertarung dalam merebut sokongan rakyat. Kita tidak boleh bercakap hanya untuk menjadi halwa telinga penyokong kita, kerana yang jauh lebih besar jumlahnya adalah rakyat. Apakah gunanya memenangi hati 3 juta ahli UMNO sahaja, tetapi tidak mengambil peduli lebih 10 juta pengundi yang bukan ahli parti. Ucapan ini juga bukan hanya untuk para perwakilan di dalam dewan ini dan ahli Pemuda UMNO, tetapi juga untuk orang muda dan rakyat di serata negara.

    9. Namun jangan pula bicara saya ini disalahertikan dan dianggap sebagai isyarat bahawa parti dan ahlinya tidak penting. Sama sekali tidak. Ahli dan penyokong kita sentiasa perlu dijaga. Merekalah yang bersama dengan kita di kala susah dan senang. Itu adalah kewajipan politik kita. Namun pada masa yang sama, kita kena akui kuasa rakyat lebih besar dan lebih berpengaruh.

    10. Kita sering kali mengingatkan sesama sendiri, apalah erti menang jawatan dalam parti, jika di pilihanraya umum, kita tumbang di peti undi. Kalau rakyat sudah menolak kita, perjuangan kita tak ubah umpama membandarkan air ke bukit - hendak bercakap tentang agama bangsa dan tanahair pun tiada ertinya lantaran UMNO sudah tiada kuasa.

    11. Menyedari akan hakikat itulah, Pemuda harus sentiasa mendampingi rakyat, mendengar rintihan rakyat serta membawa suara dan aspirasi rakyat ke tengah gelanggang perjuangan kita. Ini sudah sekian lama menjadi idealisme perjuangan kita. ‘Pemuda UMNO: Tradisi Membela Rakyat dulu, kini dan selamanya’ bukanlah slogan yang dicipta hari ini oleh saya, tetapi sudah menjadi DNA politik kita, sebati selari dengan matlamat setiap daripada kita dalam menyertai gelanggang politik. Kita tidak masuk politik untuk mengejar jawatan atau meraih kekayaan – agenda peribadi tidak harus wujud sama sekali.

    12. Di kalangan kita ada yang menyertai Pemuda di peringkat cawangan kerana mahu membawa pembangunan di kampung halaman. Ada yang menyertai UMNO kerana melihat sendiri bagaimana parti keramat kita telah berjaya membawa pendidikan kepada anak bangsa di pedalaman, langsung mengubah nasib mereka dan keluarga, lantas mahu meneruskan agenda ini untuk generasi seterusnya. Ada juga yang menyertai politik untuk menyambung perjuangan semasa menjadi pemimpin mahasiswa dan kini dengan lantang menyuarakan pelbagai isu di pentas yang lebih gah dengan matlamat ingin membawa perubahan yang lebih besar kepada khalayak yang lebih meluas.

    13. Pendek kata, kita berada di sini bukan untuk diri kita, tidak juga untuk penyokong dan ahli UMNO semata-mata - tetapi untuk rakyat. Bukankah ini yang diseru oleh Presiden bila acapkali disebut bahawa kita mesti menjadi pemimpin yang disukai rakyat, a likeable leader, yang mampu menjadi calon yang boleh menang, a winnable candidate, pada pilihanraya?

    14. Soalnya, bagaimana hendak menjadi seorang pemimpin yang disukai rakyat dan bukan sekadar hebat di cawangan, bahagian atau parti? Dalam konteks Pemuda, sudah pasti ini bermaksud kita memahami dan menjiwai fikiran serta perasaan rakyat dan membawanya ke medan yang sewajarnya. Kadang kala membawa suara rakyat menuntut Pemuda membuat pendirian yang kurang disenangi sesetengah pihak. Ada kalanya ia menyebabkan kita menentang arus.

    15. Mutakhir ini bila Pemuda menyampaikan rintihan orang ramai dengan membangkitkan isu-isu hangat, ada suara-suara sinis yang berbunyi, kononnya ini semua tindakan populis, hendak mengambil kesempatan menangguk di air keruh serta melawan tauke. Takkanlah usaha Pemuda menjadi utusan dan membawa fikiran dan suara rakyat pun dianggap menderhaka? Kalau begitu baik dijahit sahaja mulut kami.

    16. Pendirian Pemuda tidak pernah populis. Yang menuduh kita populis ternyata tidak faham erti populis. Kalau Pemuda populis, kita sudah menabur kata-kata manis, menjanjikan bulan, bintang dan matahari sedangkan kita tahu ianya mustahil ditunai. Kalau hendak jadi populis, paling mudah Pemuda bantah sahaja GST, bantah TPP, bantah segala usaha menstrukturkan subsidi. Mudah tetapi tidak bertanggungjawab. Namun Pemuda tidak buat begitu. Sebaliknya, kita anjurkan forum untuk jelaskan semua isu-isu ini. Kita sertai debat dan berdepan dengan mahasiswa untuk menjawab segala persoalan dan ketidakpuashatian. Lihat sahaja aktiviti Akademi Kepimpinan Kapten Hussein – isu kes Mahkamah Anwar, isu TPP, isu tol naik, isu boikot barangan dan macam-macam lagi – semuanya diperjelas.

    17. Apa yang Pemuda lakukan bukan populis tetapi untuk membuatkan UMNO kembali popular di kalangan rakyat. Kita tahu isu-isu seperti GST, penstrukturan subsidi, dan lain-lain perlu dibuat demi masa depan negara - supaya cukup pendapatan kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan. Namun bila timbul isu yang menjadi buah mulut sebahagian besar rakyat kita, apakah Pemuda harus hanya pekakkan telinga dan membisu sahaja? Bila ada tuduhan berat seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, takkan kita diam tidak minta penjelasan?

    18. Bila kita nyatakan pendirian, bukanlah niatnya untuk menuduh - tetapi untuk kita memperjelaskan keadaan dan menjernihkan semula imej kerajaan dan parti di mata rakyat. Ingat, rakyat yang menentukan masa depan politik kita. Kalau respon yang diberikan adalah jawapan yang tidak masuk akal, bagaimana penerimaan rakyat nanti? Kalau respon kita hanya mengejar dan menghukum pemberi maklumat tanpa menyiasat tuduhan yang serius, apa pula pandangan rakyat? Kalau respon kita seolah-olah mengganggu siasatan, apa yang rakyat akan rumuskan akhirnya?

    19. Pemuda hanya mahu parti keramat kita kekal keramat, kekal memimpin. Untuk itu, parti kita perlu menang pilihanraya. Untuk menang pilihanraya, pemimpin kita mesti dihormati dan disegani oleh orang ramai. Sebab itulah kita bangkitkan isu-isu penting yang sudah lama bersarang di benak fikiran rakyat terutamanya orang muda. Bukan susah untuk diterima dan menjadi popular di kalangan rakyat. Kalau ada tuduhan, jawab dengan cepat dan menyeluruh. Buktikan kita telus dan mengamalkan tadbir urus yang baik. Tunjukkan pada semua tidak ada apa yang hendak kita sembunyikan.

    Para perwakilan sekalian,

    20. Seni politik mengajar kita untuk terlebih dahulu memahami rakyat sebelum kita berangan untuk memperoleh sokongan mereka. Apakah kita benar-benar memahami kumpulan sasar kita di kalangan rakyat jelata iaitu orang muda, yang bakal menjadi kuasa penentu dalam pilihanraya akan datang? Apakah kita peka dengan perubahan yang sedang berlaku kepada Gen Y dan kelompok millenials, atau kita langsung tidak tau menahu dan out of touch dengan mereka? Adakah mereka melihat kita sebagai sumber inspirasi yang bukan hanya boleh dijadikan role model tetapi juga tempat bergantung harap untuk membantu meringankan beban keperitan hidup, juga juara dalam membantu menyelesaikan masalah mereka?

    21. Sememangnya kita khilaf jika tidak berubah mengikut peredaran zaman. Anak muda zaman ini lain ragamnya, berbeda kerenahnya. Memang ada kalanya mereka sukar untuk kita fahami namun itulah cabaran yang harus kita hadapi dan bukan alasan untuk kita menjauhkan diri. Siapa lagi yang patut mendengar, memahami dan membantu generasi muda ini jika tidak Pemuda sendiri. Lantaran itulah, Pemuda perlu sentiasa berada di hadapan kelok perubahan yang sedang berlaku. Inilah tuntutan idealisme perjuangan masa kini.

    22. Dan apakah perubahan yang dimaksudkan ini? Apa yang membezakan orang muda hari ini dengan orang muda masa dahulu? Sepintas lalu ada beberapa perubahan ketara yangmula dilihat. Orang muda Melayu hari ini lebih ramai berhijrah ke bandar, kalau tahun 1970 - 73 peratus rakyat di luar bandar, tahun ini, polanya terbalik di mana 74 peratus rakyat tinggal di bandar. Hasil perjuangan UMNO juga kini melihat lebih ramai yang berkelulusan tinggi dan bergelar profesional. Kalau dulu profesionalbumiputera itu seciput, kini hampir 40 peratus profesional itu dari kalangan bumiputera.

    23. Penembusan internet setinggi 72 peratus menjadikan mereka generasi yang paling banyak mendapat maklumat sama ada yang sahih atau tidak. Semakin ramai anak muda Melayu kini tidak lagi melihat identiti mereka berteraskan kaum dan tidak mudah dimomok-momokkan dengan emosi perkauman. Generasi muda hari ini tidak mudah dipengaruhi dengan retorik bangsa dan lebih cenderung membincangkan isu sejagat seperti membanteras rasuah, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, tadbir urus yang baik dan pembaziran wang rakyat.Mengikut Indeks Belia Malaysia 2015, ramai yang bimbang tentang masa depan ekonomi mereka tetapi tidak yakin dengan sistem politik sedia ada.

    24. Ini realitinya. Jangan menidakkan realiti ini. Ini juga hasil perjuangan UMNO - yang membesarkan generasi baharu dalam keadaan yang lebih selesa dari dahulu. Mereka lebih terdedah, justeru lebih cerdik dan kritikal. Mereka hendak lihat hasil kerja, bukan kenyataan berapi-api, berdegar-degar tapi hanya retorik. Ironinya, ini juga kejayaan kita.

    25. Sebab itulah kita mengamalkan konsep politik khidmat bakti, untuk menjadi wadah yang membawa kepada idealisme untuk merapatkan Pemuda dengan rakyat. Politik khidmat bakti ini sepanjang hayat dirasai kesannya, insya-Allah. Kalau kerahkan orang muda dengan bersenjatakan pengangkutan, baju, rokok, makan-makan dan duit minum untuk berhimpun mendengar ceramah berapi-api, kesannya mungkin sekejap sahaja. Bila masing-masing pulang ke kampung dan datang bil api, air, ASTRO dan segala hutang piutang lain di hujung bulan, padamlah semua api semangat yang dijerit-jeritkan.

    26. Melalui politik khidmat bakti Pemuda, mereka mendapat pekerjaan sekaligus berpeluang mengubah masa depan. Mereka memperoleh biasiswa yang membantu memecah tembok pencapaian yang tidak pernah dimimpi dalam keluarga mereka. Tuisyen HELP di bawah Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan memberi anak Melayu harapan untuk mendapat keputusan peperiksaan yang lebih baik dan peluang kerjaya yang lebih cerah. Apa Khabar Bro anjuran Biro Luar Bandar menghubungkan usahawan muda kecil dari kampung dan FELDA dengan agensi kewangan kerajaan.

    27. Bila Pemuda mampu memberi generasi muda apa yang mereka dahaga dan inginkan, tanpa perlu dikerah tanpa perlu diupah, mereka akan datang berbondongan. Inilah idealisme orang muda Melayu hari ini. Sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki diri dan masa depan mereka. Buktinya, Kursus ProSkill anjuran Biro Profesional Muda yang mengajar tentang pengucapan awam, bagaimana hendak berjaya dalam temuduga, amat baik sambutannya; Simposium Pengurusan Ringgit, atau SUPER yang memberikan pendedahan bagaimana hendak mengurus kewangan dan mengelak bankrap, pun sama juga – sampai berdiri dan hampir melimpah keluar dewan pesertanya. Anak muda Melayu atas pagar, yang tiada kepentingan politik tetapi membentuk kelompok terbesar di kalangan generasi muda di luar sana, pun ramai yang hadir. Ini kerana program yang dibuat menarik minat dan memberi manfaat kepada mereka.

    28. Anak muda sekarang mahukan pemimpin yang membantu mereka menjadi insan yang lebih perkasa dalam mencapai cita-cita, untuk menjadi lebih berjaya – bukannya pemimpin yang membuatkan mereka berasa terancam dan rendah diri. Itulah tugas Pemuda, dari zaman ke zaman, memenuhi tuntutan anak muda, agar kita terus relevan dengan kehendak rakyat, sekaligus mendapat mandat untuk meneruskan perjuangan agama, bangsa dan tanahair.

    Para perwakilan sekalian,

    29. Idealisme perjuangan kita sudah dipertegas dengan terang dan nyata. Namun sebagai pejuang rakyat jelata, ada baiknya kita renungkan semula dan bermuhasabah – milik siapa dan untuk siapakah sebenarnya UMNO ini?

    30. Bukankah UMNO ditubuhkan untuk semua orang Melayu? Sebelum UMNO ditubuhkan, orang Melayu berselerak dan tidak dihimpun untuk memberi kuasa kolektif menentang penjajah. Apabila UMNO ditubuhkan, barulah orang Melayu bersatu dan kesatuan itulah yang berjaya membawa kemerdekaan.

    31. UMNO semasa ditubuhkan, adalah ibarat sebuah khemah yang cukup besar, menjadi pohon rendang tempat berteduh bagi orang Melayu dari pelbagai latar belakang – baik bangsawan atau kebanyakan, guru, ilmuan mahupun agamawan, miskin dan kaya, orang bandar juga desa, kerani dan petani, askar atau jaga, semuanya diwakili dan dipayungi. UMNO wujud untuk semua orang Melayu di negara kita.

    32. Apabila UMNO dianggap khemah besar untuk pelbagai kumpulan Melayu, UMNO kuat sebab ia mendapat sokongan daripada semua. Majoriti orang Melayu percaya UMNO sahajalah yang dapat memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair dan membela rakyat. Majoriti orang Melayu juga merasakan kedatangan mereka diundang dan dirai oleh UMNO – tiada yang berasa tersisih. Hari ini kita melihat sokongan ini mula terhakis sebab UMNO bukan lagi khemah besar sepertimana dulu, untuk semua orang Melayu. Kita tidak lagi raikan kepelbagaian yang ada di kalangan masyarakat Melayu.

    33. Bukan semua, tetapi masih terdengar rungutan bahawa UMNO ini terlalu eksklusif dan tidak membuka pintu secara luas dan ikhlas kepada semua orang Melayu dari pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada parti. Golongan bandar yang profesional dan speaking omputeh dipandang serong. Kalau ada yang berpandangan progresif, terus dituduh pembelot bangsa. Para profesor yang hendak menyumbang kepada UMNO, kalau sedikit kritikal, disisih dan dikatakan terlalu banyak teori, justeru disuruh duduk sahaja di menara gading. Anak muda bergayahipster, bermisai Wak Doyok dikecam poyo. Tok Lebai berjanggut enam inci dengan jubah dan serban ditolak kerana mesti orang PAS katanya.

    34. Bukan saya minta kita ambil ahli baharu di kalangan orang yang jelas menentang UMNO dan perjuangannya. Parti politik mesti ada disiplinnya. Tetapi selagi mereka berpegang pada perjuangan agama, bangsa dan tanahair dan hormat pada tataetika parti, mengapa pula tiada ruang untuk mereka?

    35. Cukup-cukuplah UMNO menjadi kelab yang eksklusif. UMNO kena kembali jadi khemah yang besar untuk kita kembali kuat. Jangan tolak ke tepi pandangan orang lain yang berbeza daripada mainstream UMNO. Dengar dahulu. Cari jalan untuk bertemu di titik tengah. Kita mendokong Wasatiyyah. Namun kalau kita sendiri singkirkan orang Melayu sebab rupa dan pandangan mereka yang berbeza, kita akan menjadi kelompok yang semakin kecil dan lemah.

    36. Sebab itu saya sokong bila Pemuda mendekati pelbagai kumpulan. Tunjuk kita tidak sombong dan eksklusif. Walaupun ada kalanya kita dilihat seakan mendekati kumpulan pelbagai bangsa, tetapi realitinya, majoriti daripada kumpulan ini adalah anak-anak Melayu. Armand buat program dengan gamers, ramai Melayu. Jeffri jumpa buskers, juga ramai Melayu. Firdaus pergi jumpa NGO sana sini, ada yang UMNO, ada atas pagar, pun ramai Melayu. Azwan Bro dengan vapers, lagilah ramai Melayu. Shahril dan Zuhri pula dengan profesional muda Melayu. Selepas ini, marilah kita masuk ke sekolah pondok pula, jemput guru agama, pensyarah, pekerja kilang dan pelbagai lagi golongan lain. Jemput mereka masuk UMNO. Kembalikan harapan bahawa pintu UMNO terbuka untuk semua. Kembalikan UMNO sebagai wadah untuk semua orang Melayu. Biar khemah yang besar ini kembali memayungi sesiapa sahaja yang bernama Melayu. Biar setiap orang Melayu di bandar, di desa, di kota bahkan di mana sahaja, walau apa pekerjaan dan kedudukannya, walau berbeza bagaimanapun latar belakangnya, namun akan tetap mengakui bahawa UMNO lah yang terbaik untuk orang Melayu, yang akan memperjuangkan jatuh bangun dan hidup matinya setiap yang bernama Melayu.

    Sidang Perwakilan sekalian,

    37. Dewasa ini, terdapat beberapa isu yang terbentang di hadapan kerajaan dan Pemuda amat terpanggil untuk memberikan pandangan kami terhadap isu-isu tersebut. Isu-isu ini bersifat nasional dan ada juga yang menyentuh anak muda Melayu secara langsung. Kebimbangan kami adalah jika isu-isu ini tidak ditangani dengan bijak, berhemah dan teliti, maka ia boleh menjejaskan masa depan anak bangsa atau mengundang kemarahan rakyat.

    38. Yang pertama adalah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik atau TPP. Secara amnya, tidak salah untuk saya katakan bahawa sentimen rakyat masih negatif terhadapnya. Macam-macam kesangsian dan kecurigaan dizahirkan terhadap TPP – “penjajahan semula”, “jual negara” dan “hilang kedaulatan” merupakan antara reaksi negatif yang dilemparkan. Kesan persepsi negatif ini adalah sangat serius. Ia menghakis dan menyusutkan lagi sokongan rakyat terhadap kerajaan dan UMNO.

    39. Demi ketelusan, Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telahpun membentangkan dapatan dari dua kajian oleh pakar perunding bebas untuk menilai untung rugi negara menyertai TPP. Secara keseluruhannya, kedua-dua kajian ini telah membuat kesimpulan bahawa lebih banyak faedah bakal diperolehi dengan TPP – antaranya peningkatan pelaburan, penambahan pekerjaan dan peluang eksport yang lebih luas. Walaupun ada kekhuatiran yang dibangkitkan tetapi keseluruhannya, perjanjian ini dirumuskan sebagai tawaran yang terbaik untuk Malaysia kerana terdapat banyak pengecualian khusus untuk kita sahaja, termasuklah mengekalkan dasar Bumiputera.

    40. Walaupun rumusannya jelas, ramai yang masih was-was dan tidak berpuas hati. Akibatnya, isu ini masih digunakan untuk menyerang kerajaan dengan tuduhan seperti negara kini tergadai. Justeru satu kempen menyeluruh perlu digerakkan untuk menerangkan fakta, terutamanya faedah sebenar TPP serta dasar-dasar yang tidak terkesan olehnya. Kerajaan juga harus menggunakan masa yang ada sebelum TPP dikuatkuasakan dalam beberapa tahun ini untuk memastikan sektor ekonomi kita diperkukuhkan. Ini termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS)Bumiputera yang walaupun dilindungi di pasaran tempatan, mungkin masih memerlukan bantuan untuk menembusi pasaran luar yang semakin terbuka hasil TPP nanti. Adalah sangat merugikan sekiranya apa yang sepatutnya menjadi peluang tidak direbut kerana kita tidak bersedia.

    Para Perwakilan sekalian,

    41. Bercakap tentang isu maruah dan kedaulatan, Pemuda ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan Asia Timur yang sangat berjaya. Bukan sekadar penganjuran yang hebat, apa yang lebih penting adalah kepakaran diplomasi yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN. Sedar atau tidak, rantau Asia Tenggara sudah menjadi medan perselisihan kuasa-kuasa besar. Masing-masing cuba meluaskan pengaruh mereka terutamanya di kawasan strategik seperti Laut China Selatan. Perdana Menteri berjaya mengimbangi pengaruh kuasa-kuasa besar ini tanpa tunduk kepada sesiapa. ASEAN berjaya dikekalkan sebagai kawasan bebas dan berkecuali.

    42. Namun begitu, Pemuda harap kerajaan akan terus tegas dalam mempertahankan kawasan Asia Tenggara sebagai wilayah yang bebas dan berkecuali, dan pada masa yang sama, sempadan negara baik di darat mahupun di laut.

    43. Kita tidak mahu persaingan kuasa-kuasa besar menjejaskan keamanan di Asia Tenggara. Kuasa-kuasa besar sama sekali tidak boleh dibenarkan untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada medan persenjataan mereka. Mereka mesti menghormati persempadanan kita yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa. Jangan sampai nelayan-nelayan kita diusir daripada wilayah kita sendiri hanya kerana ada negara yang tidak menghormati sempadan kita.

    44. Kerajaan juga mesti siap siaga dan tegas dalam mematahkan ancaman yang masih wujud dari Selatan Filipina. Kes-kes penculikan yang berlaku menjadi peringatan bahawa masih wujud musuh di luar dan Si Kitol yang membantu mereka dari dalam negara. Salah satu kelebihan yang ada pada kerajaan UMNO-BN adalah ketegasan kita mempertahankan kedaulatan negara berbanding pembangkang. Di kala mereka sanggup bergambar dengan kaum kerabat yang telah menyerang negara dan membunuh rakyat kita, UMNO-BN masih dilihat oleh rakyat sebagai tegas dalam isu keselamatan. Pemuda menyokong segala usaha supaya tidak lagi berlaku pencerobohan walau seincipun di negara kita. Ini adalah tanah tumpah darah kita dan biar apapun terjadi, kita sanggup berputih tulanghingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan maruah dan kesucian tanahair tercinta ini.

    Para Perwakilan sekalian,

    45. Dunia hari ini berhadapan dengan satu lagi ancaman global yang amat membimbangkan. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ia merupakan ancaman keselamatan nombor satu dunia buat masa ini dan bahang ancamannya sudah mula dirasai di negara kita. Ancaman yang saya maksudkan adalah kumpulan pengganas yang dikenali sebagai IS atau singkatan nama Arabnya – Daesh – yang telah memutarbelitkan ajaran agama Islam demi penubuhan kononnya sebuah Wilayah Islam. Segala perbuatan yang salah mereka halalkan – pembunuhan, pengabdian manusia, pemusnahan harta, paksaan seks dan pelbagai kepincangan dan kezaliman lagi. Ini bukan Islam sama sekali!

    46. Walaupun begitu, Daesh telah berjaya mempengaruhi ribuan orang muda untuk menyertai mereka. Ini termasuk anak muda dari negara kita sendiri. Ada yang sudah pergi ke Syria dan Iraq. Ada yang dibunuh. Ada yang dikesan justeru ditangkap. Media sosial juga begitu sarat dengan propaganda mereka.

    47. Sebelum terlewat, sebelum bilangan belia yang bersimpati dengan Daesh ini semakin bertambah, Pemuda menggesa agensi-agensi keselamatan negara untuk mempergiatkan usaha dan tidak sekali-kali berkompromi dalam hal ini. Gunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada untuk menghentikan pengaruh Daesh termasuk dalam media sosial. Malaysia adalah negara yang sederhana, yang berpegang kepada prinsip Wasatiyyah. Sesungguhnya, tiada tempat bagi kumpulan pengganas ini untuk bertapak walau sezarahpun di sini. Jangan sampai nauzubillah, ada serangan di negara kita sendiri baru kita hendak bertindak.

    48. Pemuda ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Ini adalah peluang terbaik – apabila individu yang sama memegang jawatan TPM dan Menteri Dalam Negeri. Secara khusus, Pemuda berharap agar agensi-agensi penguatkuasaan serius dalam memerangi sindiket-sidiket jenayah yang memangsakan orang muda terutamanya anak muda Melayu. Pemuda sudah jelak mendengar statistik yang menunjukkan remaja dan belia Melayu sebagai juara dalam penagihan dadah, perjudian haram dan pelbagai gejala sosial yang lain.

    49. Sememangnya kita akui bahawa institusi kekeluargaan, pendidikan, pengisian agama dan kaunseling merupakan antara benteng utama anak muda kita dari segala anasir durjana ini. Namun, perlu kita ingat bahawa punca masalahnya adalah sindiket penjenayah yang menjual dan menyediakan barangan dan perkhidmatan yang menjahanamkan masa depan belia kita. Justeru, Pemuda menaruh harapan yang tinggi agar TPM dan Kementerian Dalam Negeri melipatgandakan usaha untuk menewaskan sindiket-sindiket ini. Daripada pintu masuk sempadan yang berjaya dibolosi, penyeludupan dadah, sampailah ke pusat-pusat perjudian atas talian yang melata bak cendawan tumbuh selepas hujan – banteraslah ia, selamatkanlah anak muda kita.

    Para perwakilan sekalian,

    50. Kepedulian Pemuda terhadap nasib anak muda tidak hanya terhad kepada usaha untuk menjauhkan mereka dari gejala sosial. Politik khidmat bakti yang telah merapatkan Pemuda dengan generasi muda telah membawa kita untuk sentiasa memikirkan apa lagi yang boleh kita perjuangkan demi kesejahteraan mereka. Dalam hal ini ada tiga inisiatif utama yang akan diberikan fokus dalam gerak kerja Pemuda untuk tahun 2016 dimana program-program ini akan memberi sentuhan nilai tambah kepada anak muda Melayu dan sedikit sebanyak memungkinkan masa depan yang lebih cerah untuk mereka.

    51. Pertama, susulan daripada Konvensyen Dana Bumiputera yang dianjurkan baru-baru ini, Pemuda dapati masih wujud jurang pemahaman dan kerjasama yang besar antara usahawan muda yang kecil perniagaannya dan institusi-institusi kewangan kerajaan yang boleh menyediakan dana pinjaman.

    52. Walaupun wujud pelbagai skim pinjaman yang seharusnya membantu, ramai usahawan kecil tidak dapat menembusi birokrasi yang ada untuk mendapatkan bantuan kewangan. Oleh itu, Pemuda akan memperluaskan skop Konvensyen Dana Bumiputera kepada satu Gerakan Merakyatkan Institusi Kewangan, agar jurang yang sedia wujud dapat dirapatkan.

    53. Gerakan ini akan dibawa ke peringkat negeri melalui program seminar dan kursus yang akan turut dihadiri oleh semua agensi pembangunan usahawan untuk membantu usahawan muda dan kecil Melayu mendapatkan modal awal mereka. Pemuda akan menjuarai nasib anak muda Melayu yang mula bertatih dalam dunia perniagaan tetapi tidak mendapat bantuan untuk mendapat suntikan dana.

    54. Kedua, dari sebelum saya menjadi seorang menteri, saya telah memperjuangkan isu latihan teknikal dan vokasional. Sebahagian besar daripada pelajar yang mengikuti jurusan ini adalah orang Melayu. Mereka tidak sampai ke menara gading universiti tetapi dilatih di peringkat sijil dan diploma. Walaupun tahap kebolehpasaran mereka semakin tinggi, ada kalanya lebih tinggi daripada sebahagian lepasan universiti, masyarakat masih menganggap aliran ini sebagai pilihan terakhir bagi anak muda yang tidak cemerlang dalam peperiksaan. Ini persepsi mereka.

    55. Persepsi ini perlu diubah. Di negara maju, tukang paip mendapat upah yang tinggi kerana kemahiran mereka dinilai dengan tepat. Jangan kita memandang rendah pelatih-pelatih vokasional ini. Saya tertarik dengan program yang dibuat oleh Pemuda Johor yang diberikan nama Johor Mahir. Pemuda Johor cuba mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan vokasional melalui usaha untuk mengarus perdanakannya. Secara tidak langsung, apabila pekerja ini diberikan persepsi berbeza, nilai pasaran mereka meningkat, begitu juga dengan gaji mereka.

    56. Pemuda UMNO akan mengangkat program Johor Mahir dan melancarkan Pemuda Mahir. Kita akan menjuarai pendidikan vokasional dan membantu mengubah persepsi rakyat dan pasaran terhadap anak-anak muda ini. Inilah cara kita memartabatkan Melayu.

    57. Ketiga, kita masih lagi mendengar polemik tentang bahasa. Bahasa Melayu dimartabatkan, Bahasa Inggeris dipertingkatkan, Bahasa Ketiga diperkenalkan. Pemuda tidak bermaksud untuk menambah kepada polemik berkenaan bahasa tradisi ini. Namun, dalam kita sibuk berdebat tentang bahasa-bahasa tradisi ini, kita perlu sedar bahawa penguasaan bahasa tradisi semata-mata dalam dunia digital hari ini adalah tidak mencukupi. Orang lain sudah mula mengajar anak-anak mereka dengan bahasa masa hadapan.

    58. Secara khususnya, bahasa yang saya maksudkan saya ialah bahasa komputer iaitu pengekodan atau coding. Di kala kita masih lagi mengajar anak-anak kita apa itu tetikus, cara hendak melancarkan internet atau perkara lain yang sangat asas, teknologi dan aplikasi berubah dengan pesat. Jika hari ini kita masih lagi mengukur kejayaan profesional Melayu dengan peratusan doktor, jurutera dan peguam, tidak lama lagi ia akan diukur melalui peratusan programmer, content developer dan digital marketer. Justeru, generasi akan datang kalau tidak mahir dalam bahasa digital, pastinya akan jauh ketinggalan.

    59. Oleh itu, Pemuda akan melancarkan program Jom Belajar Coding. Program ini akan mendedahkan anak muda Melayu yang berpendapatan rendah dari kawasan kampung, pedalaman dan pinggiran bandar kepada kemahiran bahasa komputer. Walaupun hanya permulaan, program ini perlu dijayakan agar kita tidak lagi ketinggalan dan Melayu juga dapat menguasai teknologi daripada usia muda, agar sama hebat dengan orang lain. Lihat sahaja kisah kejayaan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg yang belajar programming ketika berusia 10 tahun.

    60. Inilah cara kita menjaga maruah bangsa. Jika kita mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya, maruah bangsa turut dapat dipelihara. Jika pelajar-pelajar vokasional yang selama ini dipandang rendah mendapat pekerjaan yang lebih berkualiti dengan gaji yang lebih tinggi, kita akan lebih bermaruah. Dan apabila seorang anak muda dari kampung berjaya mencipta aplikasi yang diguna pakai seluruh dunia kerana mendapat peluang belajar coding melalui Pemuda, maruah Melayu akan diangkat ke seantero dunia.

    Duduk bersimpuh di tepi tabir,
    Manis wajahnya pandang tak jemu;
    Maruah Melayu bukan di bibir,
    Ditongkat akal, didukung ilmu.

    Jangan dibuang batang jerami,
    Buat diikat atap yang senget;
    Biar mengalir darah ke bumi,
    Asal maruah terjulang ke langit.

    Para perwakilan sekalian,

    61. Pentas dan ruang yang diberikan kepada saya pada pagi ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya saya tidak menyentuh perkara yang paling utama di benak pemikiran rakyat terutamanya anak muda. Apa yang saya maksudkan adalah peningkatan kos sara hidup yang memeritkan semua.

    62. Tak perlu saya bercerita panjang lebar. Umum tahu 2015 merupakan tahun yang mengejutkan rakyat dengan pelbagai kenaikan. Satu demi satu, harga dan tambang meningkat. Beban tanggungan rakyat turut meningkat. Duit simpanan semakin merosot, jika tidak langsung kering kontang. Hutang bertambah. Ada yang terpaksa cari Ah Long.

    63. Awal tadi saya telah menyebut, jangan kata Pemuda populis. Kalau populis, kita akan suruh hapuskan GST dan batalkan semua kenaikan ini. Namun Pemuda bertanggungjawab. Kita memahami keperluan itu semua. Namun pada masa yang sama, apabila rakyat semakin terhimpit dengan segala kenaikan ini, kita tidak boleh diam membisu sahaja.

    64. Kami tidak minta dimansuhkan itu dan ini, tetapi Pemuda ingin memberitahu kepimpinan parti dan kerajaan - Cukuplah! Hentikan semua kenaikan ini. Jangan ada kenaikan lagi.

    65. Mungkin ada yang tertanya-tanya, Ketua Pemuda ahli Jemaah Menteri. Tidakkah beliau bersuara dalam Kabinet? Ingin saya tegaskan di sini bahawa pendirian saya sama di dalam dan di luar Kabinet. Bila ada pembentangan yang menambahkan beban, saya sentiasa bersuara untuk cuba elakkan kesengsaraan terhadap rakyat. Sebagai contoh, tol lebuh raya. Terpaksa dinaikkan kalau tidak kerajaan kena bayar pampasan RM500 juta. Saya selaku Ketua Pemuda mengingatkan Kabinet tentang Aku Janji BN. Kalau terpaksa naikkan tol, jangan sampai tol antara bandar seperti Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur dinaikkan. Itu janji kita. Dan pada hari ini saya ingin tegaskan, Pemuda bantah apa jua kenaikan tol selepas ini baikuntuk dua lebuh raya antara bandar ini, mahupun mana-mana lebuh raya sekalipun.

    66. Sama juga dengan kenaikan yang lain. Walaupun kita faham beberapa langkah pedih terpaksa diambil tetapi hakikatnya, rakyat sudah tidak boleh terima lagi dan sudah sampai ke breaking point. Jadi cukup-cukuplah. Jangan ditambah lagi bebanan rakyat. Jangan dicurah lagi minyak ke atas api kemarahan rakyat yang marak membara. Pemuda mahu Kerajaan hentikan segala kenaikan selepas ini. Enough is enough.

    67. Dua tahun akan datang ini, oleh kerana kita sudah membuat segala penjimatan melalui GST, pemotongan subsidi, kenaikan tarif, tambang, tol dan sebagainya, Pemuda hanya mahu mendengar berita yang baik-baik dan menyenangkan rakyat sahaja. Inilah masanya kita gunakan segala penjimatan yang dikatakan kita perolehi daripada segala langkah pedih ini, untuk menggembirakan rakyat. Tunjukkan bahawa langkah penjimatan selama ini boleh membawa kebaikan pada mereka.

    68. Pemuda juga berharap agar kerajaan dapat menyediakan diskaun khusus untuk orang muda yang menggunakan pengangkutan awam. Selama ini bila tol naik, kita minta anak muda guna pengangkutan awam. Tapi sekarang, lepas kita naikkan harga tol, tambang komuter, tambang ERL, segala-gala tambang pun naik juga. Apa lagi pilihan yang ada pada rakyat, nak suruh mereka jalan kaki? Di banyak negara lain, golongan belia diberikan diskaun yang sama seperti warga emas untuk pelbagai kemudahan awam. Kalau nak bantu orang muda, inilah masanya. Saya tengok kesan kenaikan tambang Komuter contohnya, begitu membebankan. Buatlah diskaun untuk belia bagi pengangkutan awam. Jangan harga dinaikkan semata-mata, tanpa langsung memikirkan langkah-langkah yang boleh meringankan beban tambahan ini.

    Para perwakilan sekalian,

    69. Hari ini kita rasa bertuah dengan kehadiran bekas Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Rahman Dahlan selaku wakil Majlis Tertinggi. Bertuahnya kita sebab beliau juga Menteri Perumahan dan isu perumahan saban tahun dibangkitkan dalam perbahasan kita.

    70. Untuk makluman Datuk Rahman, Pemuda sentiasa menyokong Kementerian Perumahan untuk mendapat peruntukan yang lebih besar, terutamanya bagi membina rumah kos rendah dan sederhana seperti Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Transit untuk orang muda. Kami pegang pada janji pembinaan sejuta rumah mampu milik sebelum Pilihan Raya Umum ke 14. YAB Presiden sendiri mengakui, setakat ini, baru 16 peratus sahaja sudah disiapkan! Kalau permohonan untuk rumah PR1MA di Cheras sampai lima kali ganda, di Bukit Bintang sampai 25 kali ganda, kedahagaan rakyat untuk perumahan sememangnya cukup terang lagi nyata.

    71. Pemuda juga minta semua kerajaan negeri mencontohi tindakan tegas dan berani Kerajaan Negeri Sembilan di mana 50 peratus daripada semua projek perumahan di negeri itu mestilah terdiri daripada rumah mampu milik. Inilah masanya kuasa pentadbiran yang ada digunakan untuk memihak kepada pembeli rumah dan bukannya pemaju.

    72. Seperkara lagi yang mahu saya bangkitkan di sini ialah kemudahan kewangan untuk membantu orang muda membeli rumah pertama. Pemuda antara yang pertama memperjuangkan isu bayaran deposit yang tidak mampu ditanggung oleh orang muda. Selepas perkara itu diketengahkan, kerajaan telah memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku dengan pinjaman seratus peratus untuk pembeli rumah pertama. Dengan itu, ramai orang muda yang seharusnya dapat dibantu. Namun seperti biasa, perlaksanaan sering menggagalkan dasar yang murni.

    73. Apa yang sepatutnya membantu pembeli rumah, tidak dirasai oleh kebanyakan mereka yang memohon. Saya diberitahu, mengikut,Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) untuk permohonan pertama, kadar penolakan pinjaman perumahan setinggi 70 peratus.

    74. Oleh itu Pemuda menyokong Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama di bawah Kementerian Perumahan dengan peruntukan RM200 juta. Saya akan berbincang dengan Datuk Rahman supaya pelaksanaannya tidak menghampakan seperti Skim Rumah Pertamaku. Carilah mereka yang betul-betul layak menerima geran ini. Bantulah mereka membeli rumah yang pertama. Pada masa yang sama perbaiki juga Skim Rumah Pertamaku yang sedia ada. Jangan lagi ada halangan yang besar untuk orang muda memiliki rumah pertama mereka.

    Para perwakilan sekalian,

    75. Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada hari ini tidak lengkap jika saya memilih pendirian untuk tidak menyentuh dan mengupas isu paling pokok yang sedang dihadapi oleh UMNO ketika ini. Pemuda akan disifatkan berada dalam budaya penafian jika tidak berani menghadapi ombak ketika berumah di tepi pantai. Pemuda UMNO tidak boleh membutakan mata, menulikan telinga dan mengelukan lidah, seolah-olah tidak ada perkara besar yang sedang berlaku di dalam parti, lalu memilih untuk membiarkan tertimbun habuk dan sarap di bawah tikar.

    76. Sepertimana yang saya petik dalam surah al-Kahfi, Islam menuntut untuk menyatakan yang benar, sementara adat Melayu pula memperingatkan ketika menarik rambut di dalam tepung, dipastikan rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Pemuda UMNO dalam menghadapi situasi diluah mati emak, ditelan mati bapa, wajib memiliki hikmah untuk mengimbangkan pelbagai faktor, merangkumi pemimpin, parti, penerimaan rakyat dan perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Bagaimana kesetiaan wajib disemak dengan keadilan dan kebenaran. Bagaimana hasrat menyuarakan kebenaran tidak ditafsirkan sebagai penderhakaan. Namun Pemuda juga amat sedar akan realiti pemikiran dan perasaan yang sedang bergelora baik di dalam parti mahupun di kalangan orang Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya; terutama di kalangan generasi muda.

    77. Tidak dapat dinafikan bahawa suasana Perhimpunan Agung kali ini sangat berbeza. Kita tidak boleh menyalahkan rasa gelisah sebahagian daripada perwakilan, begitu juga di kalangan sebahagian pimpinan dan ahli-ahli parti. Kita sewajibnya berasa bimbang jika rasa gelisah ini mula menghidupkan puntung-puntung penentangan yang mampu menyalakan api kemarahan lebih besar yang boleh membakar hangus seluruh rumah, sehingga pada akhirnya nanti, yang menang menjadi arang – yang kalah menjadi abu. Senario tersebut amat wajib dijauhkan.

    78. Parti ketika ini amat memerlukan hikmah para pemimpin untuk berfikiran rasional, berupaya memperlihatkan kebijaksanaan mengurus perbezaan, mengamalkan budaya inklusif hingga membuktikan UMNO ini benar-benar sebuah parti yang matang lagi demokratik, parti yang kekal bersatu teguh meskipun terdapat pelbagai pandangan dan perbezaan pendapat.

    79. Di samping itu, isu-isu yang kini menjadi cabaran besar kepada parti dan semakin mengakibatkan berlakunya defisit keyakinan di kalangan rakyat perlu terus dijernihkan tanpa kompromi. Presiden parti sendiri tersangat sedar betapa isu-isu seperti 1MDB dan derma politik telah mencalarkan imej pemerintahan, baik di dalam negara begitu juga di peringkat antarabangsa. Presiden parti telah meminta diberikan beliau masa untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi. Pemuda mengakui kesungguhan Presiden dalam usahanya untuk merungkai segala permasalahan yang berlingkar pada masa ini. Hutang 1MDB telah diusaha untuk dikurangkan. Siasatan terhadap derma politik sedang dijalankan dan Presiden parti sendiri disoal siasat selama dua jam lebih oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

    80. Jelas, sudah ada perkembangan positif dalam meleraikan kemelut. Namun Pemuda berharap agar usaha-usaha ini tidak terhenti, sebaliknya diteruskan sehingga mencapai noktah penyelesaian yang hakiki. Isu 1MDB bukan hanya menuntut pengurangan hutang yang ditanggung tetapi sama penting adalah meyakinkan rakyat bahawa tiada penyelewengan yang berlaku. Defisit keyakinan di kalangan rakyat perlu ditangani.

    81. Maka, Pemuda akan terus bersuara untuk rakyat. Pemuda tetap menghormati tataetika parti dan tidak melampaui batas dalam menyampaikan pandangan dan teguran, namun tiada siapa yang boleh menutup mulut Pemuda dan menidakkan tanggungjawab kita untuk terus menyuarakan rasa hati rakyat. Yang hitam akan tetap hitam, yang putih akan tetap putih. Kebenaran akan sentiasa menjadi paksi. Itulah peranan Pemuda – menzahirkan nurani dan suara hati rakyat dari dalam parti.

    82. Tegur dan bertanya bukan menderhaka; kerana cara ini lebih mulia daripada pendekatan yang lain – sama ada telunjuk mencucuk, menjadi api dalam sekam yang akhirnya memusnahkan parti, mahupun yang menyokong membuta tuli sehingga membawa rebahnya institusi.

    83. Justeru atas semangat kebersamaan dalam perjuangan, Pemuda akan terus berganding bahu dengan barisan kepimpinan parti untuk mendukung kebenaran dan memperbetulkan apa jua salah tanggapan yang membelenggu parti kita ini. Baik lagi suara ini datang daripada Pemuda yang menghormati parti, bukannya asakan keras dari pihak-pihak yang tak ubah seperti kelik-kelik dalam baju, musuh dalam selimut,sebelah kakinya mungkin masih di dalam parti tetapi hatinya seolah mahu meruntuhkan institusi, untuk kepentingan diri.

    84. Dalam sejarah penubuhannya selama 69 tahun, UMNO telah dilanda pelbagai ujian. UMNO terus kukuh dan utuh, berjaya mengatasi setiap ujian yang melanda kerana kebijaksanaan pimpinan menangani masalah yang dihadapi. Kinisekali lagi bahtera UMNO dilanda badai. Namun sebagaimana sejarah telah membuktikan, tiada lambungan gelora yang tidak dapat kita redahi dan tiada lautan api yang terlalu marak untuk kita tempuhi. Dan berbekalkan kebijaksanaan dan kematangan yang telah dikurniakan kepada kita setelah 69 tahun berada di muka bumi ini, saya percaya kita akan sekali lagi dapat mendepani ranjau duri ujian ini. Kita mungkin tercalar, kita mungkin terluka, tetapi apa yang lebih penting adalah kita akan melangkah keluar dengan lebih matang, gagah dan dewasa.

    85. Para Pemuda bakal mewarisi parti ini pada satu masa nanti. Wariskanlah kepada kami, sebuah parti yang kuat, teguh, bersatu lagi dihormati seperti mana pemimpin terdahulu telah mewariskannya kepada pemimpin pada hari ini.

    86. Dalam sebuah kesempatan, Amirul Mukminin Saidina Umar bin Khattab berkata: “jika aku sedang menghadapi masalah besar, maka yang kupanggil adalah para pemuda.” Yakinlah bahawa berdirinya kami barisan Pemuda hari ini adalah untuk bersamaPresiden, juga barisan kepimpinan di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian, Cawangan dan juga setiap ahli partiuntuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.

    87. Marilah bersamasaya dalam mendukung idealisme perjuangan kita ini. Bersama kita pastikan agar parti ini dapat kembali berpijak di bumi nyata. Agar akarnya kembali berlegar subur mendekati, mendampingi rakyat. Agar pohonnya tumbuh subur merendang, untuk terus memberikan naungan kepada negara bangsa. Agar UMNO akan terus menjadi nadi dan semangat orang Melayu untuk dulu, kini dan selamanya.

    88. Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

    89. Dan dengan itu,serta lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
  • Ketibaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bagi memerhati perjalanan persidangan sayap-sayap UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015

    by UTUSAN.ONLINE edited by MOHD. HAZLI HASSAN 12/9/2015 7:00:58 AM
  • Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri tiba di PWTC

  • Ketibaan Shafie Apdal

Powered by ScribbleLive Content Marketing Software Platform