Perhimpunan Agung UMNO 2015, 8-12 Dis
Khamis 21 September 2017 / 29 Zulhijjah 1438

Perhimpunan Agung UMNO 2015, 8-12 Dis

Perhimpunan Agung UMNO 2015, yang diadakan dari 8 hingga 12 Disember ini turut menandakan ulang tahun penubuhan UMNO yang ke-69.

  • Khairy Jamaludin menyerahkan Anugerah Kesatria Terbilang Pemuda UMNO kepada atlet Paralimpik, Muhammad Ridzuan Muhammad Puzi

  • Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya, Anuar Mansor kini menyertai rakan-rakan setugas, Mohd. Hazli Hassan dan Hasnurul Mohamed membawakan laporan langsung perasmian persidangan sayap-sayap UMNO.

    Saya akan membawakan anda laporan mengenai persidangan Pergerakan Wanita UMNO.

  • [WANITA]Acara dimulakan dengan bacaan doa diikuti nyanyian lagu Kebangsaan dan lagu UMNO.

  • [WANITA] Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah untuk para penerima Anugerah Nadi Negara.

  • [KHAIRY] Bila Pemuda mampu memberi generasi muda apa yang mereka dahaga dan inginkan, tanpa perlu dikerah tanpa perlu diupah, mereka akan datang berbondongan. Inilah idealisme orang muda Melayu hari ini. Sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki diri dan masa depan mereka. Buktinya, Kursus ProSkill anjuran Biro Profesional Muda yang mengajar tentang pengucapan awam, bagaimana hendak berjaya dalam temuduga, amat baik sambutannya; Simposium Pengurusan Ringgit, atau SUPER yang memberikan pendedahan bagaimana hendak mengurus kewangan dan mengelak bankrap, pun sama juga – sampai berdiri dan hampir melimpah keluar dewan pesertanya. Anak muda Melayu atas pagar, yang tiada kepentingan politik tetapi membentuk kelompok terbesar di kalangan generasi muda di luar sana, pun ramai yang hadir. Ini kerana program yang dibuat menarik minat dan memberi manfaat kepada mereka.
  • [WANITA] Perasmian persidangan sayap kini bermula. Para pimpinan kanan parti antaranya Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut hadir ke perasmian persidangan Wanita ini.
  • [KHAIRY] Anak muda sekarang mahukan pemimpin yang membantu mereka menjadi insan yang lebih perkasa dalam mencapai cita-cita, untuk menjadi lebih berjaya – bukannya pemimpin yang membuatkan mereka berasa terancam dan rendah diri. Itulah tugas Pemuda, dari zaman ke zaman, memenuhi tuntutan anak muda, agar kita terus relevan dengan kehendak rakyat, sekaligus mendapat mandat untuk meneruskan perjuangan agama, bangsa dan tanahair.
  • [KHAIRY] UMNO semasa ditubuhkan, adalah ibarat sebuah khemah yang cukup besar, menjadi pohon rendang tempat berteduh bagi orang Melayu dari pelbagai latar belakang – baik bangsawan atau kebanyakan, guru, ilmuan mahupun agamawan, miskin dan kaya, orang bandar juga desa, kerani dan petani, askar atau jaga, semuanya diwakili dan dipayungi. UMNO wujud untuk semua orang Melayu di negara kita.
  • [KHAIRY] Idealisme perjuangan kita sudah dipertegas dengan terang dan nyata. Namun sebagai pejuang rakyat jelata, ada baiknya kita renungkan semula dan bermuhasabah – milik siapa dan untuk siapakah sebenarnya UMNO ini?


    Bukankah UMNO ditubuhkan untuk semua orang Melayu? Sebelum UMNO ditubuhkan, orang Melayu berselerak dan tidak dihimpun untuk memberi kuasa kolektif menentang penjajah. Apabila UMNO ditubuhkan, barulah orang Melayu bersatu dan kesatuan itulah yang berjaya membawa kemerdekaan.
  • [WANITA] Persidangan dipengerusikan oleh Datuk Seri Nafsiah Omar.

  • [KHAIRY] Apabila UMNO dianggap khemah besar untuk pelbagai kumpulan Melayu, UMNO kuat sebab ia mendapat sokongan daripada semua. Majoriti orang Melayu percaya UMNO sahajalah yang dapat memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair dan membela rakyat. Majoriti orang Melayu juga merasakan kedatangan mereka diundang dan dirai oleh UMNO – tiada yang berasa tersisih. Hari ini kita melihat sokongan ini mula terhakis sebab UMNO bukan lagi khemah besar sepertimana dulu, untuk semua orang Melayu. Kita tidak lagi raikan kepelbagaian yang ada di kalangan masyarakat Melayu.
  • [KHAIRY] Bukan semua, tetapi masih terdengar rungutan bahawa UMNO ini terlalu eksklusif dan tidak membuka pintu secara luas dan ikhlas kepada semua orang Melayu dari pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada parti. Golongan bandar yang profesional dan speaking omputeh dipandang serong. Kalau ada yang berpandangan progresif, terus dituduh pembelot bangsa. Para profesor yang hendak menyumbang kepada UMNO, kalau sedikit kritikal, disisih dan dikatakan terlalu banyak teori, justeru disuruh duduk sahaja di menara gading. Anak muda bergayahipster, bermisai Wak Doyok dikecam poyo. Tok Lebai berjanggut enam inci dengan jubah dan serban ditolak kerana mesti orang PAS katanya.
  • [KHAIRY] Bukan saya minta kita ambil ahli baharu di kalangan orang yang jelas menentang UMNO dan perjuangannya. Parti politik mesti ada disiplinnya. Tetapi selagi mereka berpegang pada perjuangan agama, bangsa dan tanahair dan hormat pada tataetika parti, mengapa pula tiada ruang untuk mereka?

    Cukup-cukuplah UMNO menjadi kelab yang eksklusif. UMNO kena kembali jadi khemah yang besar untuk kita kembali kuat. Jangan tolak ke tepi pandangan orang lain yang berbeza daripada mainstream UMNO. Dengar dahulu. Cari jalan untuk bertemu di titik tengah. Kita mendokong Wasatiyyah. Namun kalau kita sendiri singkirkan orang Melayu sebab rupa dan pandangan mereka yang berbeza, kita akan menjadi kelompok yang semakin kecil dan lemah.
  • [KHAIRY] Sebab itu saya sokong bila Pemuda mendekati pelbagai kumpulan. Tunjuk kita tidak sombong dan eksklusif. Walaupun ada kalanya kita dilihat seakan mendekati kumpulan pelbagai bangsa, tetapi realitinya, majoriti daripada kumpulan ini adalah anak-anak Melayu. Armand buat program dengan gamers, ramai Melayu. Jeffri jumpa buskers, juga ramai Melayu. Firdaus pergi jumpa NGO sana sini, ada yang UMNO, ada atas pagar, pun ramai Melayu. Azwan Bro dengan vapers, lagilah ramai Melayu. Shahril dan Zuhri pula dengan profesional muda Melayu. Selepas ini, marilah kita masuk ke sekolah pondok pula, jemput guru agama, pensyarah, pekerja kilang dan pelbagai lagi golongan lain. Jemput mereka masuk UMNO. Kembalikan harapan bahawa pintu UMNO terbuka untuk semua. Kembalikan UMNO sebagai wadah untuk semua orang Melayu. Biar khemah yang besar ini kembali memayungi sesiapa sahaja yang bernama Melayu. Biar setiap orang Melayu di bandar, di desa, di kota bahkan di mana sahaja, walau apa pekerjaan dan kedudukannya, walau berbeza bagaimanapun latar belakangnya, namun akan tetap mengakui bahawa UMNO lah yang terbaik untuk orang Melayu, yang akan memperjuangkan jatuh bangun dan hidup matinya setiap yang bernama Melayu.
  • [KHAIRY] Dewasa ini, terdapat beberapa isu yang terbentang di hadapan kerajaan dan Pemuda amat terpanggil untuk memberikan pandangan kami terhadap isu-isu tersebut. Isu-isu ini bersifat nasional dan ada juga yang menyentuh anak muda Melayu secara langsung. Kebimbangan kami adalah jika isu-isu ini tidak ditangani dengan bijak, berhemah dan teliti, maka ia boleh menjejaskan masa depan anak bangsa atau mengundang kemarahan rakyat.
  • [KHAIRY] Yang pertama adalah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik atau TPP. Secara amnya, tidak salah untuk saya katakan bahawa sentimen rakyat masih negatif terhadapnya. Macam-macam kesangsian dan kecurigaan dizahirkan terhadap TPP – “penjajahan semula”, “jual negara” dan “hilang kedaulatan” merupakan antara reaksi negatif yang dilemparkan. Kesan persepsi negatif ini adalah sangat serius. Ia menghakis dan menyusutkan lagi sokongan rakyat terhadap kerajaan dan UMNO.
  • [KHAIRY] Demi ketelusan, Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telahpun membentangkan dapatan dari dua kajian oleh pakar perunding bebas untuk menilai untung rugi negara menyertai TPP. Secara keseluruhannya, kedua-dua kajian ini telah membuat kesimpulan bahawa lebih banyak faedah bakal diperolehi dengan TPP – antaranya peningkatan pelaburan, penambahan pekerjaan dan peluang eksport yang lebih luas. Walaupun ada kekhuatiran yang dibangkitkan tetapi keseluruhannya, perjanjian ini dirumuskan sebagai tawaran yang terbaik untuk Malaysia kerana terdapat banyak pengecualian khusus untuk kita sahaja, termasuklah mengekalkan dasar Bumiputera.
  • [KHAIRY] Walaupun rumusannya jelas, ramai yang masih was-was dan tidak berpuas hati. Akibatnya, isu ini masih digunakan untuk menyerang kerajaan dengan tuduhan seperti negara kini tergadai. Justeru satu kempen menyeluruh perlu digerakkan untuk menerangkan fakta, terutamanya faedah sebenar TPP serta dasar-dasar yang tidak terkesan olehnya. Kerajaan juga harus menggunakan masa yang ada sebelum TPP dikuatkuasakan dalam beberapa tahun ini untuk memastikan sektor ekonomi kita diperkukuhkan. Ini termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS)Bumiputera yang walaupun dilindungi di pasaran tempatan, mungkin masih memerlukan bantuan untuk menembusi pasaran luar yang semakin terbuka hasil TPP nanti. Adalah sangat merugikan sekiranya apa yang sepatutnya menjadi peluang tidak direbut kerana kita tidak bersedia.
  • [KHAIRY] Bercakap tentang isu maruah dan kedaulatan, Pemuda ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan Asia Timur yang sangat berjaya. Bukan sekadar penganjuran yang hebat, apa yang lebih penting adalah kepakaran diplomasi yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN. Sedar atau tidak, rantau Asia Tenggara sudah menjadi medan perselisihan kuasa-kuasa besar. Masing-masing cuba meluaskan pengaruh mereka terutamanya di kawasan strategik seperti Laut China Selatan. Perdana Menteri berjaya mengimbangi pengaruh kuasa-kuasa besar ini tanpa tunduk kepada sesiapa. ASEAN berjaya dikekalkan sebagai kawasan bebas dan berkecuali.
  • [KHAIRY] Namun begitu, Pemuda harap kerajaan akan terus tegas dalam mempertahankan kawasan Asia Tenggara sebagai wilayah yang bebas dan berkecuali, dan pada masa yang sama, sempadan negara baik di darat mahupun di laut.

    Kita tidak mahu persaingan kuasa-kuasa besar menjejaskan keamanan di Asia Tenggara. Kuasa-kuasa besar sama sekali tidak boleh dibenarkan untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada medan persenjataan mereka. Mereka mesti menghormati persempadanan kita yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa. Jangan sampai nelayan-nelayan kita diusir daripada wilayah kita sendiri hanya kerana ada negara yang tidak menghormati sempadan kita.
  • [KHAIRY] Kerajaan juga mesti siap siaga dan tegas dalam mematahkan ancaman yang masih wujud dari Selatan Filipina. Kes-kes penculikan yang berlaku menjadi peringatan bahawa masih wujud musuh di luar dan Si Kitol yang membantu mereka dari dalam negara. Salah satu kelebihan yang ada pada kerajaan UMNO-BN adalah ketegasan kita mempertahankan kedaulatan negara berbanding pembangkang. Di kala mereka sanggup bergambar dengan kaum kerabat yang telah menyerang negara dan membunuh rakyat kita, UMNO-BN masih dilihat oleh rakyat sebagai tegas dalam isu keselamatan. Pemuda menyokong segala usaha supaya tidak lagi berlaku pencerobohan walau seincipun di negara kita. Ini adalah tanah tumpah darah kita dan biar apapun terjadi, kita sanggup berputih tulang hingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan maruah dan kesucian tanahair tercinta ini.
  • [KHAIRY] Dunia hari ini berhadapan dengan satu lagi ancaman global yang amat membimbangkan. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ia merupakan ancaman keselamatan nombor satu dunia buat masa ini dan bahang ancamannya sudah mula dirasai di negara kita. Ancaman yang saya maksudkan adalah kumpulan pengganas yang dikenali sebagai IS atau singkatan nama Arabnya – Daesh – yang telah memutarbelitkan ajaran agama Islam demi penubuhan kononnya sebuah Wilayah Islam. Segala perbuatan yang salah mereka halalkan – pembunuhan, pengabdian manusia, pemusnahan harta, paksaan seks dan pelbagai kepincangan dan kezaliman lagi. Ini bukan Islam sama sekali!
  • [KHAIRY] Walaupun begitu, Daesh telah berjaya mempengaruhi ribuan orang muda untuk menyertai mereka. Ini termasuk anak muda dari negara kita sendiri. Ada yang sudah pergi ke Syria dan Iraq. Ada yang dibunuh. Ada yang dikesan justeru ditangkap. Media sosial juga begitu sarat dengan propaganda mereka.
  • [KHAIRY] Sebelum terlewat, sebelum bilangan belia yang bersimpati dengan Daesh ini semakin bertambah, Pemuda menggesa agensi-agensi keselamatan negara untuk mempergiatkan usaha dan tidak sekali-kali berkompromi dalam hal ini. Gunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada untuk menghentikan pengaruh Daesh termasuk dalam media sosial. Malaysia adalah negara yang sederhana, yang berpegang kepada prinsip Wasatiyyah. Sesungguhnya, tiada tempat bagi kumpulan pengganas ini untuk bertapak walau sezarahpun di sini. Jangan sampai nauzubillah, ada serangan di negara kita sendiri baru kita hendak bertindak.
  • [KHAIRY] 48. Pemuda ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Ini adalah peluang terbaik – apabila individu yang sama memegang jawatan TPM dan Menteri Dalam Negeri. Secara khusus, Pemuda berharap agar agensi-agensi penguatkuasaan serius dalam memerangi sindiket-sidiket jenayah yang memangsakan orang muda terutamanya anak muda Melayu. Pemuda sudah jelak mendengar statistik yang menunjukkan remaja dan belia Melayu sebagai juara dalam penagihan dadah, perjudian haram dan pelbagai gejala sosial yang lain.
  • [KHAIRY] Sememangnya kita akui bahawa institusi kekeluargaan, pendidikan, pengisian agama dan kaunseling merupakan antara benteng utama anak muda kita dari segala anasir durjana ini. Namun, perlu kita ingat bahawa punca masalahnya adalah sindiket penjenayah yang menjual dan menyediakan barangan dan perkhidmatan yang menjahanamkan masa depan belia kita. Justeru, Pemuda menaruh harapan yang tinggi agar TPM dan Kementerian Dalam Negeri melipatgandakan usaha untuk menewaskan sindiket-sindiket ini. Daripada pintu masuk sempadan yang berjaya dibolosi, penyeludupan dadah, sampailah ke pusat-pusat perjudian atas talian yang melata bak cendawan tumbuh selepas hujan – banteraslah ia, selamatkanlah anak muda kita.
  • [KHAIRY] Kepedulian Pemuda terhadap nasib anak muda tidak hanya terhad kepada usaha untuk menjauhkan mereka dari gejala sosial. Politik khidmat bakti yang telah merapatkan Pemuda dengan generasi muda telah membawa kita untuk sentiasa memikirkan apa lagi yang boleh kita perjuangkan demi kesejahteraan mereka. Dalam hal ini ada tiga inisiatif utama yang akan diberikan fokus dalam gerak kerja Pemuda untuk tahun 2016 dimana program-program ini akan memberi sentuhan nilai tambah kepada anak muda Melayu dan sedikit sebanyak memungkinkan masa depan yang lebih cerah untuk mereka.
  • [KHAIRY] Pertama, susulan daripada Konvensyen Dana Bumiputera yang dianjurkan baru-baru ini, Pemuda dapati masih wujud jurang pemahaman dan kerjasama yang besar antara usahawan muda yang kecil perniagaannya dan institusi-institusi kewangan kerajaan yang boleh menyediakan dana pinjaman.
  • [KHAIRY] Walaupun wujud pelbagai skim pinjaman yang seharusnya membantu, ramai usahawan kecil tidak dapat menembusi birokrasi yang ada untuk mendapatkan bantuan kewangan. Oleh itu, Pemuda akan memperluaskan skop Konvensyen Dana Bumiputera kepada satu Gerakan Merakyatkan Institusi Kewangan, agar jurang yang sedia wujud dapat dirapatkan.
  • [KHAIRY] Gerakan ini akan dibawa ke peringkat negeri melalui program seminar dan kursus yang akan turut dihadiri oleh semua agensi pembangunan usahawan untuk membantu usahawan muda dan kecil Melayu mendapatkan modal awal mereka. Pemuda akan menjuarai nasib anak muda Melayu yang mula bertatih dalam dunia perniagaan tetapi tidak mendapat bantuan untuk mendapat suntikan dana.
  • [KHAIRY] Kedua, dari sebelum saya menjadi seorang menteri, saya telah memperjuangkan isu latihan teknikal dan vokasional. Sebahagian besar daripada pelajar yang mengikuti jurusan ini adalah orang Melayu. Mereka tidak sampai ke menara gading universiti tetapi dilatih di peringkat sijil dan diploma. Walaupun tahap kebolehpasaran mereka semakin tinggi, ada kalanya lebih tinggi daripada sebahagian lepasan universiti, masyarakat masih menganggap aliran ini sebagai pilihan terakhir bagi anak muda yang tidak cemerlang dalam peperiksaan. Ini persepsi mereka.
  • [KHAIRY] Persepsi ini perlu diubah. Di negara maju, tukang paip mendapat upah yang tinggi kerana kemahiran mereka dinilai dengan tepat. Jangan kita memandang rendah pelatih-pelatih vokasional ini. Saya tertarik dengan program yang dibuat oleh Pemuda Johor yang diberikan nama Johor Mahir. Pemuda Johor cuba mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan vokasional melalui usaha untuk mengarus perdanakannya. Secara tidak langsung, apabila pekerja ini diberikan persepsi berbeza, nilai pasaran mereka meningkat, begitu juga dengan gaji mereka.
  • [KHAIRY] Pemuda UMNO akan mengangkat program Johor Mahir dan melancarkan Pemuda Mahir. Kita akan menjuarai pendidikan vokasional dan membantu mengubah persepsi rakyat dan pasaran terhadap anak-anak muda ini. Inilah cara kita memartabatkan Melayu.
  • [KHAIRY] Ketiga, kita masih lagi mendengar polemik tentang bahasa. Bahasa Melayu dimartabatkan, Bahasa Inggeris dipertingkatkan, Bahasa Ketiga diperkenalkan. Pemuda tidak bermaksud untuk menambah kepada polemik berkenaan bahasa tradisi ini. Namun, dalam kita sibuk berdebat tentang bahasa-bahasa tradisi ini, kita perlu sedar bahawa penguasaan bahasa tradisi semata-mata dalam dunia digital hari ini adalah tidak mencukupi. Orang lain sudah mula mengajar anak-anak mereka dengan bahasa masa hadapan.
  • [KHAIRY] Secara khususnya, bahasa yang saya maksudkan saya ialah bahasa komputer iaitu pengekodan atau coding. Di kala kita masih lagi mengajar anak-anak kita apa itu tetikus, cara hendak melancarkan internet atau perkara lain yang sangat asas, teknologi dan aplikasi berubah dengan pesat. Jika hari ini kita masih lagi mengukur kejayaan profesional Melayu dengan peratusan doktor, jurutera dan peguam, tidak lama lagi ia akan diukur melalui peratusan programmer, content developer dan digital marketer. Justeru, generasi akan datang kalau tidak mahir dalam bahasa digital, pastinya akan jauh ketinggalan.
  • [KHAIRY] Oleh itu, Pemuda akan melancarkan program Jom Belajar Coding. Program ini akan mendedahkan anak muda Melayu yang berpendapatan rendah dari kawasan kampung, pedalaman dan pinggiran bandar kepada kemahiran bahasa komputer. Walaupun hanya permulaan, program ini perlu dijayakan agar kita tidak lagi ketinggalan dan Melayu juga dapat menguasai teknologi daripada usia muda, agar sama hebat dengan orang lain. Lihat sahaja kisah kejayaan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg yang belajar programming ketika berusia 10 tahun.
  • [KHAIRY] Inilah cara kita menjaga maruah bangsa. Jika kita mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya, maruah bangsa turut dapat dipelihara. Jika pelajar-pelajar vokasional yang selama ini dipandang rendah mendapat pekerjaan yang lebih berkualiti dengan gaji yang lebih tinggi, kita akan lebih bermaruah. Dan apabila seorang anak muda dari kampung berjaya mencipta aplikasi yang diguna pakai seluruh dunia kerana mendapat peluang belajar coding melalui Pemuda, maruah Melayu akan diangkat ke seantero dunia.

    Duduk bersimpuh di tepi tabir,
    Manis wajahnya pandang tak jemu;
    Maruah Melayu bukan di bibir,
    Ditongkat akal, didukung ilmu.

    Jangan dibuang batang jerami,
    Buat diikat atap yang senget;
    Biar mengalir darah ke bumi,
    Asal maruah terjulang ke langit.
  • [KHAIRY] Pentas dan ruang yang diberikan kepada saya pada pagi ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya saya tidak menyentuh perkara yang paling utama di benak pemikiran rakyat terutamanya anak muda. Apa yang saya maksudkan adalah peningkatan kos sara hidup yang memeritkan semua.

    Tak perlu saya bercerita panjang lebar. Umum tahu 2015 merupakan tahun yang mengejutkan rakyat dengan pelbagai kenaikan. Satu demi satu, harga dan tambang meningkat. Beban tanggungan rakyat turut meningkat. Duit simpanan semakin merosot, jika tidak langsung kering kontang. Hutang bertambah. Ada yang terpaksa cari Ah Long.
  • [KHAIRY] Awal tadi saya telah menyebut, jangan kata Pemuda populis. Kalau populis, kita akan suruh hapuskan GST dan batalkan semua kenaikan ini. Namun Pemuda bertanggungjawab. Kita memahami keperluan itu semua. Namun pada masa yang sama, apabila rakyat semakin terhimpit dengan segala kenaikan ini, kita tidak boleh diam membisu sahaja.

    Kami tidak minta dimansuhkan itu dan ini, tetapi Pemuda ingin memberitahu kepimpinan parti dan kerajaan - Cukuplah! Hentikan semua kenaikan ini. Jangan ada kenaikan lagi.
  • [KHAIRY] Mungkin ada yang tertanya-tanya, Ketua Pemuda ahli Jemaah Menteri. Tidakkah beliau bersuara dalam Kabinet? Ingin saya tegaskan di sini bahawa pendirian saya sama di dalam dan di luar Kabinet. Bila ada pembentangan yang menambahkan beban, saya sentiasa bersuara untuk cuba elakkan kesengsaraan terhadap rakyat. Sebagai contoh, tol lebuh raya. Terpaksa dinaikkan kalau tidak kerajaan kena bayar pampasan RM500 juta. Saya selaku Ketua Pemuda mengingatkan Kabinet tentang Aku Janji BN. Kalau terpaksa naikkan tol, jangan sampai tol antara bandar seperti Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur dinaikkan. Itu janji kita. Dan pada hari ini saya ingin tegaskan, Pemuda bantah apa jua kenaikan tol selepas ini baikuntuk dua lebuh raya antara bandar ini, mahupun mana-mana lebuh raya sekalipun.
Powered by ScribbleLive Content Marketing Software Platform