Utusan Business Awards 2015, 1 Mac 2016
Isnin 26 September 2016 / 24 Zulhijjah 1437

Utusan Business Awards 2015, 1 Mac 2016

Aktiviti syarikat dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dianjurkan oleh Kumpulan Utusan sepanjang tahun 2016

  • Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas.

  • Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Mohd. Noordin Abbas menyampaikan ucapan:

    Syukur pada Allah kerana dapat berkumpul bersama Tuanku, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang terus menyokong kewujudan Kumpulan Utusan.

    Terima kasih kehadiran kepada semua.

    Memetik kata-kata Allahyarham Tun Razak,"Belum ada dalam sejarah kewujudan surat khabar Melayu begitu lama." Ketika itu Utusan 30 tahun, kini berumur 78 tahun.




  • Datuk Mohd. Noordin:

    Utusan terus mengorak langkah. Anugerah hari ini yang terbahagi 31 kategori mengiktiraf pencapaian syarikat-syarikat.

    Mendapat pencalonan banyak syarikat. Kepada syarikat berjaya akan diberi keutamaan liputan oleh akhbar Kumpulan Utusan. Banyak yang akan kami hulurkan bagi impak anugerah ini.

  • Sultan Nazrin dan Tun Rahah dijemput naik ke atas pentas.

  • Sultan Nazrin menyampaikan titah

  • Pada ketika ini, Sultan Nazrin sedang menyatakan kekecewaan baginda terhadap nasib malang tulisan Jawi.

  • Petikan titah ucapan Sultan Nazrin ketika ini.

  • Hadirin memberi tumpuan penuh kepada titah yang sedang disampaikan oleh Sultan Nazrin.

  • TITAH
    DULI YANG MAHA MULIA
    PADUKA SERI SULTAN PERAK
    SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

    MAJLIS
    ANUGERAH BISNES UTUSAN

    TARIKH: 21 JAMADIL AWAL 1437/1 MAC 2016 (SELASA)
    JAM: 10.30 PAGI
    TEMPAT: PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR.

    Salam Sejahtera.


    Kumpulan Utusan bermula dengan penubuhan Utusan Melayu Press Limited yang diperbadankan di Singapura pada tahun 1938. Akhbar sulungnya, UTUSAN MELAYU, diterbitkan dalam tulisan Jawi, telah dilancarkan pada 29 Mei 1939. Akhbar UTUSAN MELAYU, diterbitkan, tidak sekadar untuk memenuhi keperluan masyarakat Melayu yang ketika itu, majoritinya lebih celik tulisan JAWI, tetapi UTUSAN MELAYU telah memainkan peranan yang jauh lebih besar lagi signifikan, berperanan sebagai pencanai minda serta jurubicara yang menyuarakan pendirian dan tuntutan bangsa.

    2. Akhbar UTUSAN MELAYU, berperanan penting sebagai medium yang telah mencetuskan kesedaran bangsa, meniupkan semangat kebangkitan bangsa dan menggemakan suara bangsa hingga sampai ke cuping telinga pihak berkuasa Inggeris. UTUSAN MELAYU turut berperanan sebagai tapak semaian yang telah menunaskan daya pemikiran kritis di kalangan anak bangsa hingga berjaya menghasilkan angkatan pemikir, cendekiawan dan inteligensia Melayu. UTUSAN MELAYU juga adalah tempat yang turut menyalakan puntung-puntung perjuangan, lalu membara keberanian bangsa untuk bangkit menuntut kemerdekaan watan.

    3. Amatlah pilu di hati, amatlah terhiris jantung bangsa, apabila akhbar UTUSAN MELAYU bertulisan JAWI, terpaksa dihentikan penerbitannya atas timbangan yang diletakkan di dacing perniagaan. Huruf dan tulisan JAWI, bersumberkan huruf yang terkandung di dalam kitab Al-Quran, huruf dan tulisan JAWI telah lama berakar di bumi ini, dan merupakan sebahagian daripada budaya dan identiti bahasa Melayu, huruf dan tulisan JAWI mendapat tempat utama dalam persuratan Melayu, berperanan sebagai huruf yang digunakan dalam urusan surat-menyurat utama dan watikah penting Raja-raja Melayu dan kekal digunakan di istana sehingga hari ini.

    4. Amat menghibakan apabila huruf dan tulisan JAWI menghadapi nasib malang, terkubur tanpa nisan dengan pemberhentian penerbitan akhbar UTUSAN MELAYU. Lebih menghibakan, apabila hayatnya ditamatkan, bukan ketika negara diperintah oleh kuasa penjajah, tetapi akhbar UTUSAN MELAYU dikuburkan tanpa talkin dalam sebuah negara merdeka, pada waktu Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai Bahasa Kebangsaan, ketika orang Melayu masih memiliki kuasa politik dan pada waktu anak-anak Melayu yang terpelajar masih diberikan amanah menerajui pelbagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang berjaya menunjukkan keuntungan besar kewangan.

    5. Nasib malang AKHBAR UTUSAN MELAYU yang berakhir di liang lahad, adalah manifestasi yang membuktikan betapa lemahnya semangat jati diri MELAYU untuk mempertahankan satu warisan bangsa dan manifestasi yang menunjukkan betapa tipisnya semangat nasionalisme yang mengalir dalam darah bangsa. UTUSAN MELAYU tidak hanya sebuah akhbar; akhbar UTUSAN MELAYU ialah sebuah institusi bersejarah milik bangsa yang amat berjasa dalam memperjuangkan martabat bangsa. Begitu mudah bangsa melupakan jasa dan perjuangan sebuah institusi bersejarah, betapa mudahnya sikap kacang lupakan kulit berlaku hanya selepas lima puluh tahun negara mencapai kemerdekaan, di kalangan mereka yang sudah mendapat nikmat hasil daripada perjuangan akhbar UTUSAN MELAYU. Bangsa begitu cepat lupa, bahawa kejayaan sebahagian besar daripada mereka pada hari ini, menjadi kapten pelbagai konglomerat, industri dan syarikat perniagaan, telah dijaguhkan oleh suara perjuangan yang digemakan oleh akhbar bertulisan JAWI itu.

    6. Ketika menghadapi hari-hari terakhir hayatnya, Beta disembah maklumkan UTUSAN MELAYU ketika memohon dan merayu untuk mendapatkan sokongan, telah dilayani bagaikan pengemis jalanan oleh cerdik pandai Melayu yang menjadi kapten pelbagai konglomerat, industri dan syarikat perniagaan, yang tidak langsung menunjukkan semangat mahu membantu, memberikan talian hayat untuk penerusan satu warisan bangsa yang amat berharga. Malah akhbar bertulisan JAWI itu, diperlekeh kerana dianggap tidak ada nilai komersial. Terkuburnya satu warisan bangsa, tanpa diberikan pembelaan, tanpa ditangisi, tanpa disedari malah tanpa dihirau dan dipedulikan, adalah satu tamparan yang sepatutnya menyedar dan menginsafkan bangsa, betapa rapuhnya semangat daya tahan dan betapa tipisnya jati diri bangsa hingga tergamak membenarkan anak diriba mati tak makan.

    7. Sejak ditubuhkan tujuh puluh lapan (78) tahun yang lalu, KUMPULAN UTUSAN telah mengharungi perjalanan yang panjang dan telah mencipta pelbagai sejarah. Pada pagi ini, KUMPULAN UTUSAN merintis inisiatif baru dalam hasrat dan usaha mahu melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan Anugerah Bisnes Utusan. Anugerah ini merupakan satu lagi usaha berterusan KUMPULAN UTUSAN untuk sama-sama mendukung wawasan negara ke arah membentuk sebuah komuniti idaman yang makmur lagi sejahtera.
    8. Anugerah mengiktiraf pencapaian syarikat-syarikat perniagaan telah banyak dianjurkan oleh pelbagai pihak dengan pelbagai tujuan. Penganjuran Anugerah Bisness Utusan ini sekali gus menandakan ‘gergasi’ yang senantiasa wujud dalam Kumpulan Utusan Melayu kini kembali bangkit. Anugerah ini juga menandakan Kumpulan Utusan Melayu kini turut melangkah untuk melebarkan penglibatan KUMPULAN dalam segmen perniagaan berprestasi tinggi, di samping tetap berusaha mengekalkan peranan sebagai penerbit akhbar berbahasa Melayu yang berwibawa dan berwawasan, yang akan terus memastikan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kekal terjamin dan tidak tergugat.

    9. Berasaskan konsep, keanggotaan panel penilai, kriteria pemilihan dan senarai penerima ulung Anugerah ini, Kumpulan Utusan telah membuktikan bahawa ia adalah sebuah organisasi yang menghayati semangat satu Malaysia dan bukannya sebuah organisasi yang mengamalkan fahaman rasis. Kelantangan Utusan menyuarakan isu-isu berkaitan Melayu selama hari ini bukan perkara baru; kelantangan tersebut adalah satu penerusan dasar yang menjadi asas pegangan sejak penubuhannya. Peranan tersebut tidak bermakna dan sama sekali tidak boleh disimpulkan bahawa Utusan bersikap memusuhi dan membenci kaum-kaum lain.

    10. Semasa menzahirkan titah, bertemakan ‘Permuafakatan dan Perpaduan Nasional’ di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia pada 8 Julai 2013, Beta telah memetik contoh rencana tulisan Zaini Hassan membela Melissa Gooi yang dilaporkan, ditahan oleh pihak keselamatan untuk membantu siasatan kerana dikatakan menghina Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di dalam facebook. Episod Melissa Gooi dan pembelaan Utusan Malaysia, meningkatkan keyakinan Beta bahawa majoriti rakyat di negara ini tidak bersifat rasis; di sebaliknya mereka adalah insan-insan berjiwa rasional - berfikiran waras.

    11. Susulan penahanan Melissa Gooi, Zaini Hassan telah menulis rencana yang diterbitkan di muka surat 11, akhbar Utusan Malaysia bertarikh 5 Jun 2013, bertajuk “Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di sekolah.” Zaini Hassan antara lain telah menyentuh perkara-perkara berikut;

    Petikan:

    “Saya tidak salahkan Melissa Gooi yang mencetuskan kisah menghina Yang Dipertuan Agong dalam facebooknya. Sebenarnya Melissa dan rakan-rakan facebooknya Shuh Chien Loo, Hun Kiet Wong, Carol Tay yang berbicara mengenai titah Yang Dipertuan Agong itu mungkin tidak kenal pun siapa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Mereka tidak tahu pun fungsi-fungsi Baginda...

    ...Kisah Melissa Gooi seharusnya menjadi satu teladan oleh kita semua, juga oleh Kerajaan BN yang diberikan mandat baru .....

    ...Bukan masa lagi mahu menongkat dagu memandang ke langit. Sesuatu harus dilakukan terhadap orang seperti Melissa yang semakin hari, semakin tahun, semakin dekad, semakin generasi, semakin bertambah...

    ...Ia memperlihatkan berlakunya fenomena kejahilan atau ignorant mengenai sistem kebudayaan kita, sistem kenegaraan kita yang menjalar kepada sistem Perlembagaan Negara kita...

    Zaini Hassan selanjutnya menyarankan:

    Petikan:

    Oleh itu saya syorkan Kementerian Pendidikan....mula memikirkan soal ini. Ia bukan soal hari ini sahaja, atau untuk penggal ini sahaja, tetapi untuk generasi rakyat Malaysia..;.Jika subjek Asas Perlembagaan, tidak diperkenalkan...maka selama itulah orang kita akan terus menerus mempertikai Perlembagaan Negara...

    Saya berharap Kementerian Pendidikan dapat memikirkan perkara ini supaya tidak lagi melahirkan Melissa Gooi dan rakan-rakannya...Ajar subjek Asas Perlembagaan....di semua aliran sekolah”...

    12. Melissa Gooi ialah rakyat Malaysia berketurunan Cina; sementara Zaini Hassan, wartawan kanan, bukan sahaja berketurunan Melayu, berwajah Melayu, berdarah Melayu malah bertugas dengan akhbar Utusan Malaysia yang dilabel oleh sesetengah pihak sebagai akhbar yang meniup api perkauman. Zaini Hassan telah mencerminkan jiwa besar dan contoh semangat seorang Malaysian, secara tegas melahirkan pandangan kritis atas prinsip kebenaran, meskipun Beta percaya, Zaini juga tidak kenal Melissa Gooi. Apa jua jenama negatif yang dilabelkan terhadap Utusan Malaysia, akhbar tersebut tidak melakukan diskriminasi untuk tidak menyiarkan rencana yang bernada membela situasi seorang anak gadis keturunan Cina.

    13. Kumpulan Utusan dan akhbar utama penerbitannya Utusan Malaysia kini semakin dijenamakan sebagai rasis; sengaja digembar-gemburkan oleh kalangan yang tidak senang dan oleh kalangan yang mempunyai agenda terancang, mahu menghapuskan persetujuan kontrak sosial yang telah dicapai oleh pendukung-pendukung utama ketika memformulasikan dasar-dasar utama untuk membentuk sebuah negara merdeka. Mereka semakin vokal mempersoalkan status peribumi negara ini dan turut melakukan pelbagai aktiviti subversif mahu menghapuskan kedudukan istimewa peribumi yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Mereka sebenarnya sedang menjolok sarang tebuan; mereka sedang menghasut warga untuk bermain api.

    14. Anugerah Bisnes Utusan, diperkenalkan dalam persekitaran dunia perniagaan dan keusahawanan yang kini bukan sahaja semakin kompleks dan mencabar tetapi tidak kurang juga semakin dicemarkan oleh pelbagai skandal salah laku urus niaga, menyentuh penipuan, pecah amanah, rasuah, penyeludupan, percukaian, ketirisan dan pelbagai lagi. Oleh itu, Anugerah Bisnes Utusan hendaklah memiliki falsafah, mempunyai identiti dan mengandungi makna tersendiri; meletakkan statusnya sebagai anugerah yang dilandaskan kepada nilai-nilai murni, menghayati roh yang terkandung dalam ayat 85 Surah Al-Araaf yang antaranya bermaksud;

    “..........sesungguhnya telah datang kepada mu bukti yang nyata dari Tuhan mu. Kerana itu sempurnakanlah takaran dan timbangannya, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang dan timbangannya, dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya....”

    15. Kriteria penilaian anugerah ini hendaklah memberikan penekanan kepada aspek-aspek amalan yang menghormati prinsip dan etika urus niaga yang murni, pada setiap masa menghormati undang-undang dan tidak meraih keuntungan besar secara menipu. Walaupun dinamakan Anugerah Bisnes, penganjur jangan kabur penglihatan, tenggelam dalam arus perniagaan hingga anugerah ini boleh dihanyutkan oleh matlamat komersial semata-mata. Di sebaliknya, anugerah ini hendaklah berperanan sebagai penanda aras, mendorong dan menggalakkan syarikat-syarikat menjunjung prinsip perniagaan yang beretika dan bermoral tinggi dengan mengamalkan budaya niaga secara tulus, telus, jujur dan benar serta mengamalkan budaya yang memberi perhatian (caring) kepada alam sekitar, kebajikan pekerja, kemajuan kerjaya dan latihan, serta program-program tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Adalah penting untuk dipastikan, anugerah ini secara langsung atau secara tidak langsung, pada akhirnya akan berperanan sebagai penggerak membentuk nilai, moral, budaya dan etika yang berjaya mengimbangi kepentingan perniagaan untuk meraih keuntungan dengan kepentingan memenuhi tanggungjawab sosial untuk kesejahteraan dan kebahagiaan hidup masyarakat dan persekitaran secara lestari.
    16. Negara ini adalah antara negara di rantau ini yang telah berjaya mencipta nama yang harum kerana kejayaannya merangka dan melaksanakan dasar secara bijak di samping menggubal dan menguatkuasakan undang-undang secara adil lagi telus. Dasar yang bijak dan udang-undang yang adil lagi telus telah membina keyakinan para pelabur dan peniaga baik dari luar dan dalam negara untuk menjalankan urus niaga di bumi ini. Malaysia lalu diiktiraf di peringkat antarabangsa, dihormati sebagai sebuah negara contoh, menjadi negara pilihan di rantau ini untuk para pelabur kerana sifat mesra pelaburnya. Berdasarkan laporan Bank Dunia 2016, daripada 189 buah negara yang dinilai, Malaysia berada di tangga kelapan belas dari segi ranking kemudahan menjalankan perniagaan. Laporan yang sama turut mengiktiraf Malaysia kekal berada dalam kelompok dua puluh buah negara yang mesra menjalankan perniagaan.

    17. Namun panas sehari boleh terhapus bila turunnya hujan pada sebelah petang. Pada lazimnya, usaha membina nama baik dan usaha membina keyakinan, memakan masa yang panjang; sementara perbuatan yang merosakkan nama baik dan meruntuh keyakinan boleh berlaku dalam tempoh sekelip mata, hanya disebabkan tersilap perhitungan atau tersalah perkiraan. Indeks Persepsi Rasuah 2015 oleh Transparency International, meletakkan negara hanya mencapai skor 50 daripada 100 markah dan negara berada pada ranking kelima puluh empat daripada 168 buah negara yang dinilai.

    18. Rasuah merupakan isu penting yang wajib ditangani dengan segala kesungguhan melalui langkah-langkah tegas oleh pelbagai agensi yang bertanggungjawab, tanpa gentar – tanpa pilih kasih. Kebenaran yang berpaksikan undang-undang wajib ditegakkan, tanggungjawab kepada ALLAH Subahanahu Wata’ala dan tanggungjawab kepada negara hendaklah berada di atas tanggungjawab terhadap mana-mana kumpulan atau individu. Rasuah merupakan barah yang dikatakan sedang merebak dalam batang tubuh negara; rasuah bagaikan anai-anai yang sedang membusut besar dan semakin mereputkan tonggak-tonggak utama negara. Masakan pokok semakin bergoyang, jika tiada angin yang meniupnya. Kegagalan memerangi dan kegagalan membanteras rasuah secara serius, secara bersungguh, secara berkesan, secara komited, dibimbangkan berpotensi melumpuhkan negara dan rakyat keseluruhannya, terpaksa membayar dengan penderitaan dan kesengsaraan seperti yang dialami oleh rakyat di kebanyakan negara mundur.

    19. Kumpulan Utusan melalui bahan-bahan penerbitannya hendaklah berperanan aktif membantu membina sebuah pentadbiran dan sebuah negara bangsa yang sifar rasuah. Salah laku rasuah hendaklah dilaporkan tanpa memihak, tanpa gentar – tanpa berat sebelah, kerana rasuah ialah rasuah walau siapa juga yang melakukannya. Warga perlu diasuh dengan budaya yang benci rasuah dan menolak pemimpin yang melakukan rasuah. Warga perlu dididik untuk memandang rasuah dengan rasa amat jijik. Ruangan yang meningkatkan kesedaran tentang rasuah hendaklah disediakan. Contoh tokoh-tokoh yang bersih rasuah boleh dijadikan teladan sementara kisah-kisah pemimpin yang melakukan rasuah boleh dijadikan sempadan. Memerangi rasuah hendaklah dijadikan satu perjuangan – satu jihad. Adalah menjadi tanggungjawab fardu kifayah dan tanggungjawab kenegaraan untuk setiap warga berperanan aktif memelihara negara daripada terjerumus ke lembah kehinaan.

    20. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada mereka yang telah diperakukan layak menerima anugerah pada pagi ini. Beta menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur yang telah merintis inisiatif ini, begitu juga apresiasi Beta kepada panel penilai yang telah memenuhi tugas masing-masing.

    Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta mengisytiharkan pelancaran Anugerah Bisnes Utusan.

    Wabillahitaufik, walhidayah
    Wassalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh.

  • Anugerah Kecemerlangan Industri Pengangkutan:
    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Azmi Abdul Aziz.
  • Anugerah Kecemerlangan Latihan dan Pembangunan:
    Ketua Pegawai Eksekutif Human Resource Development Fund, Datuk CM Vinaesvaran a/l Jeyandran.
  • Anugerah Kecemerlangan Industri Telecommunication:
    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telecom Malaysia Berhad, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa.
  • Anugerah Kecemerlangan Indusri Teknologi:
    Ketua Pegawai Eksekutif Technology Park Malaysia, Datuk Ir. Mohd. Azman Shahidin.
  • Anugerah Kecemerlangan Industri Hiburan Sukan:
    Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali.
  • Anugerah Kecemerlangan Industri Pembangunan Hartanah:
    Pengarah Urusan Kumpulan I&P Group Sdn. Bhd., Datuk Ir. Jamaludin Osman.
  • Anugerah Kecemerlangan Indusri Pendidikan Swasta:
    Pengarah Urusan Brickfiels Asia Collage,
    Raja Singham.
  • Anugerah Kecemerlangan Industri Minyak dan Gas:
    Naib Presiden Asia Pasific Region Halliburton, Roa Abdullah.
  • Anugerah Kecemerlangan Industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran:
    Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya International Convention Centre, Datuk Badlishah Ahmad.
    by KHAIRULANUAR YAHAYA edited by UTUSAN ONLINE 3/1/2016 3:52:38 AM
  • Anugerah Kecemerlangan Industri Perkhidmatan Landskap:
    Pengarah Urusan Satar Landcaping Sdn. Bhd, Datuk Seri Abdul Satar Khan.
  • Anugerah Kecemerlangan Industri Insuran:
    Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Life Assurance (M) Berhad, Datuk Koh Yaw Hui.
  • Anugerah Kecemerlangan Industri Penjagaan Kesihatan:
    Pengarah Urusan Kumpulan, Chemical Company of Malaysia Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar.

    Anugerah Kecemerlangan Industri Hospitality:
    Pemangku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif, MK Land Holdings Berhad, Felina Mustapha Kamal.
  • Anugerah Kecemerlangan Industri Keselamatan Cyber:
    Ketua Pegawai Eksekutif AKATI Consulting (M) Sdn. Bhd.,
    Krishna Rajagopal.

    Anugerah Kecemerlangan Industri Kejuruteraan,
    TNB Repair and Maintenance Sdn. Bhd., Anuar Yusoff.
    by KHAIRULANUAR YAHAYA edited by UTUSAN ONLINE 3/1/2016 3:54:47 AM
  • Anugerah Kecemerlangan Industri dalam Tanggungjawab Sosial Korporat,
    Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Zainal.
    by KHAIRULANUAR YAHAYA edited by UTUSAN ONLINE 3/1/2016 3:55:09 AM
  • Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan:
    Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon.
    by KHAIRULANUAR YAHAYA edited by UTUSAN ONLINE 3/1/2016 3:55:26 AM
  • Anugerah Syarikat Konglomerat Tahun Ini:
    Pengarah Urusan Kumpulan, DRB-Hicom Berhad, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil.

    Anugerah Kecemerlangan Industri Automotif:
    Pengerusi Eksekutif Ingress Auto Sdn. Bhd., Datuk Dr. Rameli Musa.
  • Anugerah Jenama Tahun Ini:
    Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawao Eksekutif, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd., Datuk Ir. Zainudin A. Kadir.
  • Anugerah Usahawan Wanita Meningkat Naik:
    Pengarah Urusan Megapadu Sdn. Bhd., Datuk Normaziah Sheik Mohamed.
  • Anugerah Usahawan Bumiputera Tahun Ini:
    Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sedania Corporation Sdn. Bhd., Datuk Azrin Mohd. Noor.

  • Anugerah Personaliti Tahun Ini:
    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, MSM Malaysia Holdings Berhad, Datuk Sheikh Awab Sheikh Abod.
  • Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Berwawasan:
    Ketua Pegawai Eksekutif, Masterplan Consulting Sdn. Bhd, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim
  • Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Wanita:
    Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Farshila Emran.
  • Anugerah Keusahawanan:
    Pengarah Urusan Jakel Group, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel.
  • Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif:
    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Axiata Berhad, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim.
    by KHAIRULANUAR YAHAYA edited by UTUSAN ONLINE 3/1/2016 3:59:02 AM
  • Anugerah Ikon Pernigaan:
    Pengarah Urusan Kumpulan, Malaysia Resources Corporation Berhad, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
  • Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat:
    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, PermodalanNasional Berhad, Tan Sri Kama Piah Che Othman.

    Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat:
    Pengasas dan Presiden Limkokwing University of Creative Technology, Tan Sri Dr. Lim Kok Wing.

    Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat:
    Pengerusi Westports Malaysia Sdn. Bhd., Tan Sri G. Gnanaligam.
Powered by ScribbleLive Content Marketing Software Platform